Tuesday, September 18, 2018

4630) PPIM JUMPA KELUARGA PASANGAN REMAJA TERLANJUR – HARIAN METRO – 18/9/18



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua keluarga remaja lelaki dan perempuan yang hampir kehilangan bayi mereka selepas diletakkan di sebuah pusat jagaan pada 25 Ogos lalu dalam masa terdekat.
Ketua Biro Wanitanya Suraya Ali berkata, pertemuan itu adalah susulan kesediaan mereka untuk berkahwin.
Beliau berkata, mereka perlu diberikan penjelasan daripada sudut perundangan berhubung situasi bakal dihadapi sebelum berumah tangga.
Menurutnya, pertemuan itu juga perlu bagi mengelakkan daripada timbul sebarang isu berbangkit terutama selepas berkahwin.
“Sekarang ini ibu terbabit dan bayinya diletakkan di sebuah pusat jagaan di Negeri Sembilan.
“Kami juga meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat melihat semula isu ini kerana ia akan menjadi contoh kepada kes lain.
“Sebelum ini sudah banyak kes anak tidak sah taraf dilaporkan berlaku tetapi ditinggalkan untuk dijaga orang lain.
“Tetapi dalam kes ini, kedua-dua remaja berkenaan setuju untuk berkahwin dan mahu jaga bayi mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Akhbar ini Khamis lalu melaporkan bapa bayi berkenaan mengesahkan dia dan teman wanitanya akan berkahwin dalam waktu terdekat selepas berbincang dengan keluarga kedua-dua pihak.
Dia sedia mengambil tanggungjawab itu untuk menebus kesalahannya.
Suraya berkata, pihaknya juga bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada kedua-dua remaja terbabit namun fokus yang menjadi keutamaan sekarang adalah restu daripada kedua-dua keluarga,
“Kena juga bincangkan mengenai masa depan mereka dan bayi berkenaan,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
PPIM JUMPA KELUARGA PASANGAN REMAJA TERLANJUR


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...