Wednesday, March 14, 2018

4407) PPIM TAMPIL BANTU PPZ-MAIWP – UTUSAN MALAYSIA – 14/3/18




Usaha meningkatkan jumlah pembayar zakat tidak akan terhasil seandainya ia dilaksanakan secara bersendirian oleh Majlis Agama Islam negeri.
Kekangan sumber dana dan tenaga yang terhad bukan hanya menyebabkan mereka gagal memperluas skop kepada pembayar berpotensi. Bahkan, pembayar-pembayar sedia ada yang gagal melunaskan tanggungjawab mereka itu atas pelbagai alasan turut wujud.
Justeru, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui agensinya, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) diharapkan mampu menangani isu berkenaan. Apa tidaknya, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyatakan bahawa pihaknya mempunyai lebih kurang 50,000 ahli dalam kalangan peniaga Islam di sekitar ibu kota.
Malah, beliau menambah, melalui kerjasama itu membolehkan PPZ-MAIWP meluaskan skop mereka dalam kalangan yang berpotensi menjadi pembayar zakat pada masa depan.
“Mungkin ada dalam kalangan mereka itu belum melunaskan zakat perniagaan atas pelbagai sebab tetapi dengan adanya kerjasama ini, kita boleh bagi penerangan yang jelas.
“Diharapkan mereka juga akan beri penerangan kepada saudara mara atau rakan-rakan yang lain,” katanya pada pelancaran Kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat Perniagaan (SPPZP) 2018, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Sempena pelancaran kempen itu, hampir 100 buah premis perniagaan milik orang Islam sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Wisma Yakin, Kuala Lumpur dikunjungi.
Mana-mana peniaga yang mempunyai rekod pembayaran zakat turut diberikan satu tanda pengesahan sebagai pembayar zakat.
Sementara itu, Che Mat menyifatkan kerjasama dalam kempen sedemikian mampu menjadi platform hebahan zakat kepada umum dan menggalakkan pembayaran khususnya oleh pemilik perniagaan.
Ini sekali gus, katanya, akan meningkatkan prospek zakat bagi menambah kutipan pembayaran zakat dan mendekatkan masyarakat peniaga dengan PPZ-MAIWP serta menjauhi ejen zakat tidak bertauliah.
“Bagi menjayakannya kita turun padang, berkunjung dari pintu ke pintu untuk berjumpa peniaga dan masyarakat dalam memberi kesedaran tentang kewajipan menunaikan Rukun Islam itu.
“Kempen ini diharap dapat mengingatkan para peniaga mengenai hikmah membayar zakat bagi tujuan menyucikan harta,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung zakat khususnya zakat perniagaan boleh menghubungi talian zakat 1-30088-5757 atau melayari www. zakat.com.my. – HASHNAN ABDULLAH.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PPIM TAMPIL BANTU PPZ-MAIWP




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...