Menurut Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle, Othman Md. Yussoff, video tersebut tidak menjelaskan secara sepenuhnya berkenaan produk keluaran syarikatnya.
“Kandungan gula seperti yang didakwa pada video berkenaan sebenarnya bukan produk akhir.
“Kandungan serbuk Milo mempunyai kadar gula sebanyak 40 peratus kerana ia merupakan serbuk pati, yang mana ia perlu dibancuh terlebih dahulu.
“Dan menurut arahan pembancuhan, lima sudu teh serbuk Milo yang dibancuhkan dalam air sebanyak 200 mililiter hanya mempunyai kandungan gula sebanyak enam peratus,” kata Othman dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa kandungan 40 peratus gula seperti yang tertera pada bungkusan serbuk minuman tersebut, separuhnya terdiri daripada laktosa, glukosa dan glukolaktosa iaitu bahan semulajadi yang terkandung dalam susu, dan separuh lagi gula dalam bentuk serbuk.
Isu ini timbul sejak beberapa hari lalu apabila seorang pengguna media sosial, Vishen Lakhiani pada 25 Jan lalu, memuatnaik video yang mengatakan Milo mempunyai kandungan gula yang tinggi dan ia tidak sepatutnya dilabel sebagai minuman yang menyihatkan.
Sidang akhbar yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini bertujuan untuk mendapatkan jawapan daripada pihak yang berkepentingan mengenai isu bahawa Milo bukanlah minuman yang menyihatkan dan mengandungi kandungan gula yang tinggi.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, sebagai persatuan yang memperjuangkan hak kepenggunaan, mereka terpanggil untuk mengadakan sidang akhbar supaya isu ini dapat diperjelaskan oleh pihak yang terlibat.
“Kami rasa isu ini perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam bagi mengelakkan pengguna diambil kesempatan dalam apa jua perkara sekalipun,” Kata Nadzim. – UTUSAN ONLINE