Friday, December 29, 2017

4266) 374 KES KENA TIPU MACAU SCAM DI JOHOR – BERITA HARIAN ONLINE – 28/12/17




JOHOR BAHRU: Sebanyak 374 kes penipuan panggilan telefon atau ‘Macau Scam’ direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Johor sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata daripada 374 kertas siasatan yang dibuka membabitkan penipuan pinjaman tidak wujud itu, seramai 71 individu sudah ditahan.
Katanya, JSJK Johor juga merekodkan sebanyak 589 kes penipuan pembelian atas talian di seluruh Johor sepanjang tempoh sama.
“Jenayah penipuan menerusi panggilan telefon agak rancak berlaku sekarang ini, jadi saya mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati, terutama wanita untuk tidak mudah terpedaya dengan taktik digunakan penjenayah ini.
“Pelbagai taktik mereka lakukan antaranya menggunakan talian komunikasi polis dengan menyamar sebagai polis selain mengugut mempunyai waran tangkap bagi menakutkan mangsa.
“Mekanisme polis sebenar tidak ada seperti ini. Jika ada waran tangkap kita akan terus pergi ke premis suspek dan menahan, bukan dengan membuat panggilan terlebih dahulu memaklumkan kita ada waran tangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis meraikan seramai 102 pesara dan bakal pesara Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Mohd Khalil berkata, beliau turut memuji usaha pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang merujuk kepada pihak polis bagi sama-sama mengesan dan membasmi kegiatan jenayah itu.
“Banyak NGO datang dan rujuk kepada Polis Johor dan terbaharu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung kegiatan jenayah penipuan panggilan telefon,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian
374 KES KENA TIPU MACAU SCAM DI JOHOR



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...