Antara isu yang kerap menjadi perhatian ramai ialah mengenai cadangan kenaikan tambang bas sekolah.
Meskipun perkara tersebut kelihatan remeh, ia sangat penting kepada seluruh anggota masyarakat terutamanya golongan ibu bapa selain pengusaha bas sekolah itu sendiri.
Baru-baru ini, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia menyatakan, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun hadapan.
Menurut Presidennya, Mohd. Rofik Mohd. Yusof, ia disebabkan oleh kenaikan pelbagai kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha termasuk alat ganti dan penyelenggaraan.
Justeru, persatuan itu menjangkakan kenaikan tambang bagi kawasan luar bandar akan mencecah sehingga RM10 manakala kawasan bandar pula sehingga RM20 sebulan.

Kaedah

Jelas beliau, kenaikan itu mungkin terpaksa dilakukan oleh pengusaha bas sekolah bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan memberikan perkhidmatan terbaik.
Mengulas mengenai perkara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Nor Hisham Abdullah Sani berkata, isu berkenaan tidak akan berkesudahan sekiranya tiada penyelesaian terbaik dilakukan oleh pihak-pihak yang terlibat.
Katanya, dari satu sudut, kenaikan tambang itu mungkin merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana kenaikan kos operasi syarikat pengusaha bas sekolah.
Namun, dari satu sudut lain, kenaikan tambang itu sudah tentu akan membebankan pengguna terutamanya ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan tersebut untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah pada setiap hari.
“Sebenarnya, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan bagi mengatasi perkara ini.
“Antaranya ialah menggunakan koperasi sekolah. Ini kerana, setiap sekolah mempunyai koperasi mereka sendiri dan ia sepatutnya digunakan untuk memberi manfaat kepada pelajar yang merupakan ahli,” katanya.
Jelas Nor Hisham lagi, sekiranya sesebuah koperasi sekolah mempunyai dana yang cukup, ia mungkin boleh digunakan untuk memberi subsidi kepada para pelajar di sekolah berkenaan khususnya dalam mengurangkan bayaran tambang.
Malah, pihak koperasi juga boleh memiliki bas sendiri dan menguruskannya untuk mengangkut pelajar tanpa perlu bergantung kepada pengusaha luar.
“Melalui cara ini, pihak sekolah dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa ekoran kenaikan kos, sekali gus menjamin keselamatan para pelajar.
“Perkara ini telah lama dilaksanakan di Eropah. Di sana, setiap sekolah mempunyai bas mereka sendiri untuk pelbagai kegunaan khususnya mengangkut pelajar sama ada ke sekolah mahupun menyertai pelbagai aktiviti luar,” katanya.

Keuntungan

Beliau menambah, pelaksanaan kaedah itu di negara ini tidak mudah kerana kebanyakan koperasi sekolah tidak mempunyai dana yang mencukupi.
Oleh itu, beliau mencadangkan supaya pihak koperasi sekolah boleh menaikkan kadar yuran yang dikenakan kepada pelajar setiap tahun agar dana yang terkumpul itu boleh digunakan untuk menjana pendapatan lebih tinggi, sekali gus memulangkan semula keuntungan yang diperoleh menerusi pemberian subsidi tambang bas atau membeli bas sekolah sendiri.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berpendapat, isu berkenaan perlu diselesaikan dengan cara situasi menang-menang agar semua pihak memperoleh manfaat.
“Berdasarkan keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil ini, kenaikan kos dan operasi syarikat pengusaha bas sekolah tidak boleh dinafikan.
“Oleh itu, satu penyelesaian perlu dicapai antara pengusaha, PIBG dan ibu bapa agar ia tidak membebankan mana-mana pihak.
“Jika kenaikan tambang perlu dilakukan, ia mesti relevan dan sesuai dengan lokasi bas sekolah berkenaan beroperasi kerana kos operasi tidak sama di semua tempat,” katanya.
Apa yang penting, kenaikan tambang itu perlu dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat agar tidak timbul isu penindasan pada kemudian hari.
Selain itu, pihak kerajaan sama ada kementerian pengangkutan mahupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat juga perlu mencari kaedah penyelesaian yang terbaik bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh pengusaha bas sekolah dan golongan ibu bapa.