Monday, August 7, 2017

3990) Elak pengguna digula-gulakan - PPIM - Astro Awani - 6/8/2017


Snapshot(2)
KUALA LUMPUR: Arahan untuk memaparkan lapan maklumat penting bagi produk atau perkhidmatan yang ditawarkan atas talian perlu untuk melindungi hak pengguna.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, berkata dengan cara itu, pengguna tidak digula-gulakan dengan kaedah pemasaran mengelirukan.
"Kadang kala harga yang dinyatakan tidak termasuk kos keseluruhan perkhidmatan atau barang yang dibeli pengguna dan maklumat itu tidak dinyatakan semasa pengiklanan produk atau perkhidmatan.
"Bila kurang maklumat, kita sebagai pengguna mendedahkan diri kita kepada penipuan. Walaupun bukan semua peniaga tidak jujur, tetapi ia boleh merosakkan industri ini (perniagaan dalam talian)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya lagi unsur penipuan dapat dikurangkan dengan arahan terbaru itu sambil menegaskan langkah berkenaan akan mewujudkan suasana pembelian yang lebih telus.
Nadzim berkata, peniaga dalam talian juga perlu mempunyai etika perniagaan dan tidak mengambil kesempatan terhadap kelemahan pembeli dengan tidak memaklumkan butiran produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Pada Khamis, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan penjual dalam talian memaparkan lapan maklumat penting pada setiap produk yang diiklankan.
Antaranya harga penuh barangan atau perkhidmatan, termasuk bayaran cukai dan kos penghantaran, serta maklumat penuh produk yang diterima dengan setiap pembelian atau perkhidmatan yang diberikan.
Arahan terbaru itu bagaimanapun menimbulkan kerisauan ramai peniaga dalam talian dengan saingan perniagaan yang saling 'mencantas' strategi perniagaan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...