KUALA LUMPUR 23 Nov. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Sejarah Malaysia akan bekerjasama meneroka lebih banyak fakta serta sejarah bangsa Melayu untuk pengetahuan generasi muda hari ini.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat dengan mengadakan pelbagai program ceramah dan ekspedisi ke lokasi-lokasi bersejarah yang mempunyai kaitan dengan susur galur sejarah bangsa bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka.
Katanya, fakta dan sejarah itu memainkan peranan yang cukup penting kepada masyarakat Melayu supaya mereka mengetahui asal usul bangsa serta keturunan masing-masing.
“Kita bukan ingin mendakwa mata pelajaran Sejarah di sekolah atau institusi tempatan hari ini tidak betul, tetapi masih terdapat beberapa persoalan yang gagal dibuktikan kerana fakta yang dikemukakan tidak cukup sahih.
“Dalam hal ini, sudah tentu kita perlu melihat barang peninggalan sejarah atau artifak mengenai satu-satu kisah. Justeru, PPIM akan bekerjasama dengan Persatuan Sejarah Malaysia menerusi Ketua Biro Penyelidikan dan Kajian, Datuk Zainal Johan untuk membantu misi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Wacana Sejarah Melayu Sejak 1.8 juta Tahun Lalu di Jalan Tun Ismail di sini kelmarin.
Antara pengisian yang terdapat dalam sesi wacana itu adalah topik berkaitan tujuh kekuatan bangsa Melayu yang terdiri daripada kayu, logam, darah, emas terungkai, laut, ilmu dan Imam al Hadi.
Selain itu, wacana itu turut meminta tiga laut yang mengelilingi Kepulauan Melayu iaitu Laut China Selatan, Laun Sunda dan Selat Melaka yang perlu dipelihara sebaik mungkin kerana terdapat pelbagai rahsia sejarah bangsa Melayu di dasar perairan tersebut.
Sementara itu Zainal yang juga waris ke-12 Bendahara Tun Perak berkata, usahanya mengkaji sejarah Melayu kini mendapat penerimaan baik daripada kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Negeri yang meminta beliau memberi ceramah kepada para pelajar.
Katanya, beliau mahu lebih ramai generasi muda yang terdiri daripada golongan cerdik pandai dan alim ulama supaya turut mendalami fakta serta sejarah bangsa Melayu kerana beliau tidak mampu untuk melakukannya seorang diri.
“Ilmu sejarah ini bukan perkara kecil kerana turut melibatkan tempoh waktu, peninggalan artifak bersejarah dan usaha untuk menjejak setiap lokasi dan barangan peninggalan itu. Jadi, sudah tentu saya memerlukan lebih ramai pensyarah dan tahfiz untuk bersama-sama membantu usaha ini.
“Saya juga ingin mengingatkan segelintir pihak yang bimbang apabila mendengar fakta baharu mengenai sejarah bangsa Melayu supaya tidak bersikap jumud kerana sejarah Eropah juga sentiasa dikemas kini hingga hari ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment