Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, seperti rokok, kenaikan harga disebabkan cukai akan mengurangkan tabiat menghisap vape dalam kalangan orang ramai.

“Kita lihat sekarang rokok elektronik atau vape ‘digilai’ ramai orang termasuk pelajar yang merasakan vape ini mampu dimiliki sedangkan ia juga mengandungi nikotin yang boleh mengancam kesihatan sama seperti rokok.
“Jadi saya fikir langkah ini sama seperti langkah kementerian ‘berperang’ dengan rokok iaitu dengan mengenakan cukai eksais supaya boleh mengawal penggunaan vape untuk individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesi­hatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kementeriannya sedang mengkaji keperluan me­ngenakan cukai ke atas rokok elektronik atau vape disebabkan perisa yang terkandung dalam cecair rokok elektronik mempunyai nikotin yang merupakan bahan terkawal.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Joham berkata, kementerian sepatutnya menyediakan garis panduan undang-undang yang jelas kepada pengusaha rokok elektronik.

“Kita faham semua barang harus dikenakan cukai tetapi kementerian perlu ambil ini sebagai perkara positif kerana memang ternyata vape mengandungi nikotin yang jauh lebih rendah berbanding rokok.

“Yang menjadi pengusaha vape pula kebanyakannya anak Melayu yang baru mula berkecimpung dalam dunia perniagaan, jadi tiada keperluan untuk menekan golongan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pre­siden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, tiada masalah untuk kerajaan mengenakan cukai ke atas rokok elektronik tetapi tindakan merampas cecair vape adalah tidak masuk akal.

“Rakyat berhak untuk memilih produk yang mereka inginkan, selain rokok jadi saya tidak lihat ini sebagai satu kesalahan sehingga perlu dirampas cecair vape di kedai-kedai peniaga ini,” katanya.