Wednesday, February 20, 2013

700) BERITA: Nur Alert perlu hebahan




Publication: Harian Metro
Date of publication: Feb 12, 2013
Page number: 016
Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi.

Kes kehilangan kanak-kanak sama ada membabitkan jenayah atau kecuaian berlaku saban tahun, namun usaha membendung kejadian itu masih gagal hingga hari ini. Ikuti pendapat dan saranan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) Datuk Nadzim Johan mengenai isu ini bersama wartawan Harian Metro, Intan Mas Ayu Shahimi.

S: Mengenai peningkatan kes kehilangan kanak-kanak di negara ini, apa komen anda?

Lee: Berdasarkan laporan media, kes kehilangan kanak-kanak meningkat serius saban tahun. Isu ini wajar diberi penekanan serius oleh semua pihak terutama ibu bapa supaya dapat ditangani dengan baik.

Nadzim: Anak tanggungjawab ibu bapa. Bagaimanapun, kes kehilangan mereka bukan saja berkait dengan kecuaian ibu bapa, malah turut membabitkan masyarakat. Masyarakat hari ini terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga lupa menjaga tepi kain orang sekeliling.

S: Ramai yang menganggap kejadian seperti itu disebabkan kecuaian ibu bapa, sebenarnya salah siapa?

Lee: Kita harus tahu punca mengapa kanak-kanak cenderung menjadi mangsa. Ada kes memang membabitkan kecuaian ibu bapa terutama meninggalkan anak kecil dalam kenderaan tanpa pengawasan dan lalai ketika keluar beriadah atau membeli-belah. Namun begitu, masih ada faktor sampingan yang menyumbang kepada peningkatan kes seperti pengaruh rakan sebaya, lari mengikut kekasih, kurang perhatian keluarga, berasa tersisih dan tidak berminat untuk belajar.

Nadzim: Jika cuai, itu memang salah ibu bapa, tetapi masyarakat juga mempunyai peranan mendidik yang sama penting dengan penjaga. Kalau diperhatikan, masyarakat sekarang bersikap ambil mudah dengan perilaku golongan muda. Apabila melihat kanak-kanak berbasikal sendirian di tengah malam atau merayau di khalayak, mereka tidak ada budaya bertanya.

S: Siapa sepatutnya memainkan peranan membantu?

Lee: Peranan paling besar di pihak ibu bapa. Bagaimanapun, ia perlu disokong dengan pendidikan bersesuaian di sekolah, masyarakat, agensi berkaitan, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sekolah menjadi tempat rujukan kedua selepas ibu bapa boleh mengambil inisiatif memperkenalkan latihan seni mempertahankan diri untuk melengkapkan murid dengan kemahiran tertentu.

Nadzim: Masyarakat kena prihatin. Kita mempunyai tanggungjawab untuk turut memantau pergerakan mereka sementara pihak berkuasa seperti polis menjalankan tugas menjaga keselamatan.

S: Sejauh mana keberkesanan talian NUR Alert?

Lee: National Urgent Response Alert System atau Sistem Nur Alert berupaya memberi manfaat besar kepada masyarakat. Bagaimanapun, sistem ini memerlukan lebih banyak publisiti supaya lebih ramai mengetahui fungsinya sebagai medium penyebaran maklumat secara pantas dan meluas mengenai kes kehilangan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Nadzim: Mungkin hanya 20 peratus saja masyarakat kita yang tahu mengenai peranan NUR Alert. Rakyat sebenarnya sudah terlalu sinonim dengan peranan polis. Jadi, apabila berlaku jenayah , mereka tidak terfikir saluran lain.

S: Apa strategi terbaik untuk mencegah peningkatan kes kehilangan kanak-kanak pada masa depan?

Lee: Aspek pendidikan dan kesedaran perlu diberi penekanan. Sudah sampai masanya kita mengingatkan ibu bapa mengenai peruntukan dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Akta itu menyebut mana-mana orang (termasuk ibu bapa) yang cuai, mengabai atau menganiaya kanak-kanak atau menyebabkan kanak-kanak cedera, mati atau mendedahkan mereka kepada risiko yang menyebabkan kecederaan dan mati, boleh dihukum, malah ia turut menekankan kesalahan meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan orang dewasa yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Nadzim: Selain menyedarkan ibu bapa dan penjaga mengenai peranan mereka, masyarakat sebenarnya perlu memainkan peranan terutama dalam menggerakkan kempen kesedaran.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL