Publication: Harian Metro
Date of publication:
Feb 22, 2013
Section heading:
Main Section
Page number: 061
Byline / Author:
Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur:
"Saya bersyukur dalam keadaan yang masih tidak menentu ini, ibu bapa masih
bersama memberikan semangat. Kalau diikutkan, memang saya sudah tak tahan
menanggung beban ini, mujur PPIM dan SukaGuam sudi membantu.
"Kalau dapat
selesai masalah ini, saya harap dapat temankan anak yang sakit kerana sejak
berdepan kes ini, saya sangat tertekan," kata Raziah Hussein, 56, yang
kini berstatus muflis, tetapi terpaksa melangsaikan hutang lebih RM80 juta.
Jumlah sebegitu
banyak kini diletakkan di bawah tanggungjawabnya gara-gara membenarkan namanya
disenaraikan dalam salah satu syarikat milik majikan sejak 1986, yang kemudian
membuat pelbagai jenis pinjaman tanpa pengetahuannya.
Raziah bagaimanapun
tidak keseorangan berdepan masalah itu selepas Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) serta Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) akan membawa
perkara itu kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) minggu depan.
Dalam pertemuan bagi
membincangkan perkara itu semalam, kedua-dua pihak komited untuk membantu Raziah
menyelesaikan masalah berkenaan dengan satu pertemuan bersama Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dijadual dalam masa
terdekat.
Pengerusi SukaGuam,
Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan maklumat awal diterima daripada
PPIM sebelum ini, pihaknya akan membantu Raziah dan mengkaji permasalahan yang
timbul.
Katanya, ia akan
menjadi kes rujukan mewakili 240,000 orang diisytihar muflis oleh MdI dan dalam
kes Raziah, ia berkemungkinan besar membabitkan sindiket tertentu yang ingin
mengaut keuntungan mudah.
Sementara itu, Ketua
Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah pun memanjangkan
perkara itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengarah Mdl,
Rohana Abdul Malek serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed untuk tindakan susulan.
Menurutnya,
perbincangan selanjutnya turut merangkumi cadangan supaya piagam pelanggan MdI
dirombak kerana ia membebankan orang ramai termasuk dibankrapkan biarpun tidak
pernah membuat sebarang pinjaman atau menjadi penjamin.
Harian Metro 31
Januari lalu melaporkan seorang kerani berkhidmat di sebuah syarikat selama 26
tahun menerima saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman sebuah
institusi kewangan berjumlah RM80 juta.
No comments:
Post a Comment