Saturday, December 22, 2012

671) HARIAN METRO 211212 : Strategi licik raih untung


KEDATANGAN musim cuti hujung tahun sememangnya dinantikan, bukan saja di kalangan kanak-kanak yang seronok bercuti sekolah tapi golongan dewasa yang mengambil kesempatan menghabiskan baki cuti tahunan dengan berehat atau keluar melancong.


Kala musim cuti hujung tahun ini jugalah wujudnya bermacam promosi jualan yang nyata berjaya menarik segenap lapisan masyarakat untuk keluar berbelanja.

Jualan perayaan, jualan kembali ke sekolah, jualan penghabisan stok serta jualan tahun baru memang menarik perhatian pengguna terutama bagi yang gemar membeli-belah barangan berjenama kerana ketika inilah harga yang ditawarkan lebih murah berbanding biasa.

Biasanya golongan wanita yang terlebih dulu bergegas menuju ke lokasi jualan kerana tertarik dengan promosi yang dipaparkan di iklan.

Namun, benarkah musim jualan murah ini benar-benar memberi keuntungan kepada pengguna? Benarkah hanya ketika jualan murah saja pengguna akan dapat menikmati banyak potongan harga untuk produk yang diingini serta barangan keperluan?

Adakah benar wujud perbezaan ketara ketika membeli-belah di musim jualan murah jika dibandingkan pada hari biasa? Persoalannya, berbaloi atau tidak?

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, sebenarnya tidak banyak perbezaan membeli ketika jualan murah atau pada hari biasa kerana penjual lazimnya mempunyai strategi licik dalam meraih keuntungan.

"Tiada peniaga yang tidak mahukan keuntungan, justeru walaupun diadakan jualan murah, mereka sebenarnya mengaut keuntungan berganda yang berpunca daripada kejahilan pembeli.

"Perangkap tidak pernah lupakan pelanduk tapi pelanduk yang sering lupa adanya perangkap yang bersedia menjeratnya. Itulah juga yang sering berlaku kepada pembeli.

"Pembeli selalu tertarik dengan gimik kempen jualan murah. Penjual pula akan cuba mengadakan kempen yang mengelirukan hingga akhirnya pembeli `terbeli' produk yang tidak berkualiti, hampir luput dan seumpamanya.

"Sebenarnya, iklan jualan murah itu mengelirukan. Selalunya produk tidak popular atau kurang mendapat jualan yang diberi diskaun, lalu di situlah mereka menjerat pembeli," katanya.

Selain itu, budaya gemar mengikut perbuatan orang lain atau `menyibuk' turut dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan ramai pembeli terjerat dengan gimik jualan murah ini.

"Masyarakat kita suka ke tempat atau kawasan tumpuan. Lebih meriah satu-satu lokasi beli-belah itu, lebih ramai orang yang akan mengerumuninya.

"Daripada niat asal untuk sekadar melihat apa yang berlaku akhirnya membuatkan mereka membeli produk yang tidak sepatutnya. Jadi di sini pentingnya teknik kawalan diri kerana biasanya situasi seperti ini akan lebih memudaratkan poket pembeli," jelasnya.

Perasaan ego dan ingin menunjuk juga menjadi punca ramai pengguna terpedaya membeli barangan yang tidak diperlukan.

"Di sini kita kembali kepada budaya `menyibuk' atau kecenderungan ke lokasi beli-belah yang penuh dan sesak.

"Apabila ramai orang memenuhi ruang jualan dan sibuk melihat barangan, pasti terbit rasa ego dalam diri masing-masing bahawa mereka perlu membeli barangan yang lebih baik atau hampir sama dengan orang di sebelahnya.

"Daripada sekadar ingin melihat dan meninjau keadaan, tangan akan mula sibuk memilih produk seperti orang lain hingga sering berlaku perebutan atau perbalahan sesama pembeli.

"Situasi seperti inilah yang menjadi senjata penjual dan walau murah sekalipun harga yang ditawarkan, pembeli akan tetap menjadi mangsa.

"Selain itu, elakkan pujuk rayu jurujual cantik atau seksi kerana itu juga salah satu taktik penjual untuk memerangkap pembeli," katanya.

Justeru, apa yang perlu dilakukan jika menjadi mangsa jualan murah ini? Aduan kepada tribunal pengguna satu cara yang boleh dilakukan, selain meningkatkan kesedaran mengenai hak pengguna.

"Jumlah aduan yang diterima hampir sama dengan tahun lalu, yang mana rata-rata melaporkan menjadi mangsa jualan murah ketika musim perayaan.

"Biasanya harga yang ditawarkan pada jualan murah sama dengan harga pada hari biasa, malah ada banyak kes yang mana harga ketika promosi jualan murah lebih tinggi berbanding hari biasa.

"Tapi disebabkan persepsi pembeli bahawa setiap barangan yang dijual ketika promosi itu murah, mereka tidak sedar ditipu sehinggalah membeli produk itu semula pada hari biasa.

"Di sinilah pentingnya kesedaran dan kawalan diri demi mengelak menjadi mangsa. Bagi saya, tabiat melihat dulu barangan (window shopping) untuk membandingkan harga itu amat penting agar pengguna mendapatkan produk yang bukan saja berkualiti tapi memberi nilai pada wang.

"Selama ini pun tabiat ini dianggap terapi diri bagi wanita, jadi saya rasa tidak salah malah menggalakkan lagi supaya pengguna mendapatkan kualiti daripada wang yang dibelanjakan itu," katanya.

Berikut beberapa panduan atau tip sebelum keluar membeli-belah ketika jualan murah:

* Sebelum keluar rumah, bincang dengan ahli keluarga atau pasangan mengenai barangan yang hendak dibeli. Tentukan barangan keutamaan sebelum barangan kehendak. Biasanya apabila berbincang, satu pihak pasti akan lebih rasional dalam mengawal perbelanjaan.

* Sentiasa buat perbandingan harga antara satu kedai dengan kedai lain.

* Beli apabila barangan itu sudah kehabisan dan hanya sasarkan produk itu ketika berada di kedai.

* Jika keluar bersama rakan pejabat ketika waktu rehat, buat senarai ringkas barangan yang hendak dibeli. Jika sekadar ingin melihat-lihat barangan, pesan pada rakan yang tegas atau tidak mudah terpengaruh untuk mengingatkan anda daripada membeli produk yang tidak perlu.

* Jadikan tabiat ke pusat beli-belah sebagai aktiviti keluarga. Apabila keluar bersama pasangan dan anak-anak, diri kurang cenderung membeli barangan yang tidak perlu kerana perlu mengenepikan belanja untuk makan di restoran, bayaran parkir, petrol dan seumpamanya.

* Percaya pada gerak hati. Jika anda rasa ada yang tidak kena atau tidak sepatutnya membeli barangan itu, segera beredar untuk mengelakkan diri terjerat dengan pujukan jurujual.

* Periksa harga yang ditawarkan berulang kali. Pernah berlaku kes di sebuah pusat beli-belah popular yang mengadakan jualan murah, tanda harga sama dilekatkan di atas pelekat asal.

* Apabila membeli barangan keperluan sekolah ketika musim jualan murah, beli secara borong atau dalam kuantiti yang banyak berbanding membelinya secara berasingan atau dalam jumlah kecil.

* Untuk mengelakkan pembelian secara melulu, tinggalkan kad kredit di rumah. Pembelian secara tunai akan membuatkan anda berfikir beberapa kali sebelum membeli.

* Jangan beli produk yang sudah ada atau mempunyai fungsi yang hampir sama seperti barangan di rumah.

* Jika melihat sesuatu yang anda inginkan, beredar dari situ. Pergi ke kedai lain, singgah di restoran atau bergerak ke tempat lain yang lebih jauh. Kembali ke lokasi jualan semula jika anda masih memikirkannya atau tidak kisah berjalan semula ke kedai terbabit.

Oleh : Nor Faizah Mohamed

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL