Tuesday, December 18, 2012

670) HARIAN METRO 4/12/12 : PPIM saran polis wujud blog khas



Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan blog khas bagi membolehkan pengguna merujuk semua jenis kegiatan jenayah yang berlaku di Malaysia.

Blog ini akan mempamerkan segala kegiatan jenayah supaya pengguna lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah penjenayah, khususnya penggodam siber.

Didik pengguna

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata dengan adanya blog khas orang ramai boleh menjadikannya sebagai rujukan, selain mendidik pengguna supaya tidak mudah terpedaya pelbagai taktik penjenayah.

"Sikap pengguna yang leka dan tidak ambil tahu menyebabkan pengguna lebih berisiko menjadi mangsa jenayah.

"Pengguna yang terbabit dengan kes penipuan perlu peka untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna lain supaya dapat mengelakkan mereka menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, bahawa tujuh juta pengguna telefon pintar berisiko menjadi mangsa penggodam siber.

Kerugian RM21.8 juta

Syed Ismail berkata, tahun ini saja orang ramai kerugian RM21.8 juta akibat kecuaian mereka dalam alam siber.

Beliau berkata, blog khas akan membantu pengguna supaya lebih berjaga-jaga dan tidak terpedaya dengan segala kes penipuan yang membabitkan jenayah siber.

"Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan dan seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di negara kita," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...