SINAR HARIAN 5 FEBRUARI 2012
LAGAKNYA seperti ‘samseng’, terus menerjah ke arah kenderaan dan menggertak pemilik kereta di khalayak ramai, gara-gara gagal melangsaikan ansuran bulanan.
Kegiatan ejen penarik kenderaan terutamanya kereta yang sering berlagak seperti ‘samseng’ ini, kadang kala menjadi igauan setiap pemilik kenderaan.
Dalam kejadian pada dua tahun lalu yang pernah dipaparkan dalam sebuah akhbar, seorang pemilik restoran di Puchong, mendakwa menjadi mangsa sekumpulan empat penarik kereta yang berlagak samseng.
Mangsa, N Jiwanathan, 43, berkata, tanpa sebarang surat arahan tarik kereta dari bank, empat individu itu menceroboh ke dalam rumah abang iparnya di Hulu Langat untuk menarik kereta Mercedes Benz miliknya.
Insiden berlaku ketika mangsa berada di Puchong dan kejadian itu hanya diketahui apabila dimaklumkan abang iparnya. Dia berkata, kereta itu ditarik kerana dia tidak dapat membuat bayaran ansuran selama lapan bulan.
“Penarik kereta datang seperti samseng, menarik kereta tanpa mahu berbincang atau menunjukkan dokumen bagi tujuan itu. Selepas ditarik, saya percaya barulah mereka meminta surat bank. Saya syak kejadian itu mendapat kerjasama bank,” dakwanya.
Menurutnya, lebih mengecewakan, kereta itu ditunda dari hadapan mengakibatkan kotak gear kenderaan tersebut mengalami kerosakan.
Katanya, dia kemudian membuat bayaran tunggakan RM20,000 di bank, sebelum diminta mengambil keretanya di sebuah stor, lima hari kemudian.
“Ketika ingin mengambil kereta tersebut, saya dapati pemain cakera dan skrin LCD dipasang berharga RM2,900 hilang. Enjin kereta juga gagal dihidupkan kerana kotak gearnya rosak. Saya terpaksa menanggung kerugian RM20,000 akibat kejadian itu,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak kerana kehilangan barangan tersebut. Dia meminta pihak berkuasa memandang serius perkara berkenaan kerana insiden itu bukan sahaja menimpanya, malah turut terjadi kepada banyak pihak sebelum ini.
Pihak berkuasa perlu buka mata
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa harus memandang serius sikap penarik kenderaan yang diupah oleh syarikat kewangan kerana terdapat beberapa kes yang berlaku turut mengancam keselamatan orang ramai.
“PPIM menerima banyak laporan tentang perbuatan penarik kenderaan yang menggunakan kekerasan dan mengancam nyawa pengguna,” katanya.
Beliau berkata, difahamkan ejen penarik kenderaan turut menggunakan khidmat samseng semasa melakukan operasi mereka terhadap pengguna yang lewat membayar ansuran, terdapat juga sebilangan daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis.
“PPIM berharap kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap penarik kenderaan yang berlagak samseng dengan membuat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak mereka bagi memberi keadilan kepada pemilik,” katanya.
Ejen Pemilikan Semula perlu ada permit
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, setiap individu atau ejen penarik kenderaan atau dikenali Ejen Pemilikan Semula (EPS) perlu mempunyai permit.
“Permit ini bertujuan memastikan proses penarikan balik atau perolehan semula dilaksanakan mengikut peraturan. Sebelum ini terdapat kes melibatkan ejen menggunakan kekerasan semasa menarik semula kenderaan, termasuk menceroboh premis persendirian,” katanya.
Beliau berkata, KPDNKK turut bekerjasama dengan polis, sebelum seseorang itu diberikan permit, ejen berkenaan perlu menjalani tapisan oleh pihak berkuasa.
“Difahamkan seramai 133 individu atau ejen mempunyai permit di Kuala Lumpur, notis 21 hari sebelum tarikh akhir proses penarikan kenderaan mesti disampaikan kepada pemilik terbabit,” katanya.
Menurut, Abu Samah, proses pengambilan semula perlu dilakukan dengan kehadiran penyewa atau sesiapa berkenaan terhadap kenderaan atau barangan tersebut. Pencerobohan ke atas premis persendirian tidak dibenarkan kecuali dengan perintah mahkamah.
“Pemegang permit perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam, selepas proses pengambilan semula selesai dijalankan. Pengecualian hanya diberi bagi situasi tertentu, di mana tempoh masa pelanjutan tidak melebihi 48 jam,” katanya.
Beliau berkata, pemegang permit terikat dengan segala undang-undang, peraturan, terma dan syarat, kod etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPDNKK bagi menjalankan aktiviti pengambilan semula.
“Pemegang permit harus peka dan mematuhi sebarang Kod Etika dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh KPDNKK dari semasa ke semasa,” katanya.
Katanya, individu yang melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh disiasat di bawah Seksyen 17 A (2) atau 17 B (2) Pindaan Akta Sewa Beli 2010 dan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011 Beliau berkata, pemilik kereta seharusnya membayar ansuran seperti tercatat di dalam perjanjian sewa beli.
“Bagi pengguna yang menghadapi masalah atau aduan berhubung perkara ini, mereka boleh menghubungi pejabat KPDNKK KL menerusi talian 03-40454555 atau bilik gerakan Seksyen Penguat Kuasa 03-40454471 untuk mendapat bantuan dan nasihat,” katanya.
No comments:
Post a Comment