Artikel oleh: Harian Metro
WAKIL NGO WARNAI PRU-15?
Mengapa NGO? Itu persoalan yang ditanyakan seorang rakan kepada penulis selepas membaca artikel berkaitan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) diburu parti politik untuk menjadi calon beberapa hari lalu.
Seperti sudah tahu jawapan, dia inginkan kepastian apakah benar dan kenapa ada parti politik sudah melamar beberapa pimpinan dan aktivis untuk mengisi tempat sebagai wakil mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang sedang menghitung detiknya?
Banyak jawapan yang boleh diberikan kepada soalan itu, tetapi yang pastinya adalah kerana 'ada nama', popular dan paling penting ialah rekod perkhidmatan mereka kepada rakyat selama ini.
Terima atau tidak tawaran itu menjadi persoalan kedua, tetapi kenapa mereka ini begitu laku sehingga dimahukan oleh lebih daripada satu parti politik.
Siapa tidak kenal dengan Datuk Nadzim Johan yang sinonim dengan perjuangannya dalam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) atau Yusuf Azmi yang popular kerana kelantangannya membawa isu pengguna di negara ini.
Sebelum ini pun, umum mengetahui Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang sudah pun mencuba nasib pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 2019 dan walaupun kecundang, kerja-kerja kemasyarakatan diteruskan selepas itu.
Justeru tidak hairanlah mengapa ikon-ikon NGO ini diburu parti politik, seakan-akan menenggelamkan mereka yang sudah berada di dalam barisan dan 'geli' dan 'pasang badan' untuk menjadi calon PRU.
Satu elemen yang pasti ialah soal keyakinan kepada sistem perkhidmatan sama ada daripada kerajaan, parti politik mahu pun NGO itu sendiri.
Hakikanya, sejak puluhan tahun, banyak NGO membina naratif perjuangan menerusi khidmat bakti pelbagai lapangan serta program kemanusiaan.
Seperti dilaporkan sebuah portal berita, sehingga kini terdapat lebih 70,000 NGO berdaftar di negara ini membabitkan pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran.
Jika sebahagian daripada mereka ini mewarnai arena politik, apakah akan berlaku perubahan drastik sekali gus menjulang aspirasi rakyat di negara ini?
Persoalan ini penulis ajukan kepada Nadzim dan jawapannya mudah, ia berbalik kepada apa peranan sebenar NGO, iaitu menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dan pembangkang.
Katanya, selama lebih 22 tahun mengasas dan membawa PPIM sebagai antara NGO unggul dalam negara, beliau tidak menghitung berapa banyak kes yang sudah diselesaikan dalam tempoh itu.
Beliau turut menyentuh mengenai nikmat perjuangan memartabatkan pengguna yang menjadikannya Tokki yang dikenali ramai sehingga sudah beberapa kali PRU pun, masih ada yang mahu melihat dia menjadi ahli Yang Berhormat.
Berbalik kepada isu utama mengenai kenapa NGO menjadi pilihan, baik Nadzim, Yusuf, Jawahar Ali (Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia), Afiq Salim (Persatuan Pengguna Melayu Malaysia) dan Izzat Johari (Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia), semuanya yakin platform NGO adalah yang paling baik untuk memberikan khidmat kepada rakyat, tidak kira masa dan ketika.
Mungkin ia menjadi penunjuk tidak langsung betapa NGO di negara ini berfungsi seperti sepatutnya dan bukan hanya pandai membuat laporan polis dan kenyataan media semata-mata.
Menjadi popular adalah kelebihan untuk terus menabur budi kepada masyarakat dan sewajarnya, mempunyai kuasa pula akan membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Jika kedua-duanya digabungkan, sudah pasti banyak masalah yang membelenggu negara dapat diselesaikan, bukan?
Jadi, siapa pun calonnya, muka baharu, muka lama, kitar semula, yang pentingnya adalah sejauh mana mereka berkesan di dalam menjadi wakil kepada rakyat yang memilih.
Mungkin politik negara selepas ini diwarnai dengan atlet, artis atau ustaz selebriti yang mewakili rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, sama-sama kita nantikan.
Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro
Artikel oleh: Harian Metro
WAKIL NGO WARNAI PRU-15
https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/10/895823/wakil-ngo-warnai-pru-15
Kuala Lumpur: Ketika tumpuan terarah kepada pengumuman calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beberapa tokoh badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis masyarakat 'diintai' untuk mewakili parti politik.
Antara yang sudah pun menerima panggilan termasuk Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan; Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim; Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari yang ditawarkan untuk menjadi calon berdasarkan pengaruh dimiliki mereka.
Sejak PRU-14 pada 2018, mereka ini sudah pun mendapat tawaran diberikan tempat sebagai calon namun memilih terus berjuang sebagai aktivis masyarakat dan membantu orang ramai sebaik mungkin.

Nadzim berkata, sebagai seorang aktivis, dia mula menerima tawaran daripada pelbagai parti untuk menjadi calon dalam tiga PRU sebelum ini.
Katanya, dia menolak dengan baik kerana tidak mahu dilihat memihak kumpulan tertentu apatah lagi PPIM yang diasaskan lebih 20 tahun lalu sudah mempunyai landasan kukuh.
"Minggu ini saja sudah dua tiga kali 'orang parti' hubungi saya minta jadi calon. Ada yang bagi saya pilih kawasan mana, ada yang nak tetapkan.
"Alasannya kerana saya ada nama, orang kenal dan dapat bantu rakyat. Selepas minta pendapat, saya rasa biarlah saya dengan perjuangan ini (PPIM), beri teguran sebagai NGO saja," katanya.
Sementara itu, Yusuf berkata, dia juga menerima panggilan beberapa parti politik yang mahu dia bertanding sebagai calon mereka pada PRU-15 ini.
Katanya, ia termasuk ganjaran sekiranya dia bersetuju menerima tawaran itu selain akan ada 'tempat' sekiranya parti itu membentuk kerajaan.
"Saya tak pandai politik dan saya tidak mahu ramai musuh. Bimbang juga kalau terima, tak mampu galas tanggungjawab nanti. Jadi, saya rasa elok teruskan apa yang saya ada sekarang.
"Kalau jadi orang politik pun, saya bantu orang, apa beza dengan di sini (Semboyan). Yang hubungi saya lebih dari satu parti, saya hanya kata saya takut tak mampu," katanya.

Bagi Jawahar Ali, dia berterima kasih kepada parti politik yang menagih khidmatnya sebagai wakil rakyat namun dia tidak berhasrat untuk bertanding.
Menurutnya, sudah beberapa kali ejen parti menghubunginya, malah ada kenalan rapat meminta dia pertimbangkan keputusan menjadi calon PRU-15.
"Setakat ini, dengan rangkaian perniagaan dan maahad tahfiz yang ada sudah memadai. Saya juga terbabit secara langsung di dalam beberapa persatuan seperti PPIM dan PPMM. Itu sudah cukup untuk turut sama membantu masyarakat," katanya.
Sementara itu, Mohd Afiq yang disebut-sebut akan bertanding di Kelantan menyifatkan tawaran yang datang itu sebagai satu bentuk pengiktirafan di atas sumbangannya menerusi persatuan itu sejak dua tahun lalu.
Katanya, dia akan mempertimbangkan terlebih dahulu tawaran berkenaan kerana banyak elemen lain perlu diberi perhatian kerana tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukanlah sesuatu yang mudah.
"Besar amanah yang perlu dipikul, tapi kita tengoklah macam mana. Masih awal lagi untuk buat keputusan," katanya.
Bagi Nor Izzat, dia sudah tiga kali menghadiri taklimat anjuran sebuah parti politik yang mahukannya menjadi calon PRU-15.
Namun, katanya, dia masih sayangkan perjuangan dalam NGO ditubuhkan lebih dua tahun lalu dan mahu bergerak bebas tanpa dibayangi mana-mana pihak.
Artikel oleh: Harian Metro
TOKOH NGO JADI BURUAN
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/10/892596/tokoh-ngo-jadi-buruan