Showing posts with label SCOOP. Show all posts
Showing posts with label SCOOP. Show all posts

Thursday, June 4, 2026

LANGKAH PENGESAHAN UMUR PENGGUNA MEDIA SOSIAL WAJAR DEMI KESELAMATAN DIGITAL: PPIM - SCOOP - 02/06/2026

 

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh langkah tegas kerajaan mewajibkan pengesahan identiti dan menyekat akses media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, menyifatkannya sebagai tindakan tepat untuk membendung jenayah siber.

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha tersusun dalam mengimbangi kebebasan akses teknologi dengan perlindungan pengguna muda daripada ancaman penipuan dalam talian, gangguan siber, serta pendedahan kepada kandungan tidak bermoral yang kian meningkat.

Menerusi satu kenyataan hari ini, PPIM menyambut baik penguatkuasaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa semalam, dan menganggapnya sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem keselamatan digital negara.

Saring gergasi media sosial

Bermula semalam, Malaysia secara rasmi mewajibkan setiap pengguna baharu mengemukakan dokumen pengenalan rasmi seperti MyKad, pasport, atau MyDigital ID untuk pengesahan umur sebelum dibenarkan mendaftar akaun. Peraturan ketat ini terpakai di semua platform utama termasuk Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.

Penguatkuasaan ini digerakkan menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Menurut PPIM, pendekatan tersebut merupakan perkembangan positif yang secara langsung meletakkan kebertanggungjawaban lebih tinggi kepada penyedia platform digital, khususnya dalam aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem mereka.

Jaminan keselamatan data peribadi

Sehubungan itu, PPIM menggesa gergasi media sosial terbabit untuk mengambil tindakan proaktif bagi memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan CPC dan RMC, termasuk menyegerakan integrasi sistem pengesahan umur yang efektif.

Bagaimanapun, persatuan itu turut mengingatkan kerajaan dan penyedia platform agar tidak memandang remeh aspek kerahsiaan maklumat pengguna sepanjang proses ini berjalan.

“PPIM menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi. Kami akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sambil menegaskan bahawa perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan dan pemantauan berterusan, PPIM berharap dasar baharu ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal, serta memberi impak positif yang nyata kepada masyarakat.TAG: PPIM, pengesahan umur, media sosial, CPC, RMC, ONSA. – 2 Jun, 2026

Artikel oleh: Scoop

LANGKAH PENGESAHAN UMUR PENGGUNA MEDIA SOSIAL WAJAR DEMI KESELAMATAN DIGITAL: PPIM

https://www.scoop.my/berita/290647/langkah-pengesahan-umur-pengguna-media-sosial-wajar-demi-keselamatan-digital-ppim/

Saturday, August 26, 2023

MODUL PENGHAYATAN HADIS 40: JANGAN POLEMIKKAN, IA TIDAK BABITKAN PELAJAR BUKAN ISLAM - SCOOP - 24/08/2023

 

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meminta isu berhubung modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM), tidak seharusnya dipolemikkan kerana ia hanya diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pelaksanaan modul itu juga bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara, bagi memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda muslim khususnya.

Bahkan, katanya, Hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai murni dan akhlak mulia, berdasarkan sumber rujukan serta autoriti jelas daripada hadis sahih.

“Ini sekali gus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini, memandangkan ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.

“Dengan penerapan modul ini, ia secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi, bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Ia akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan, terutama untuk memastikan nilai pesanan serta perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati.

Bagaimanapun, sebuah kumpulan mewakili agama bukan Islam, iaitu Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menyifatkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dilaksanakan di sekolah di bawah kendalian KPM, sebagai tidak berperlembagaan.

Kumpulan itu mendakwa, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan pendidikan Islam diajar seperti itu di sekolah.

Pada masa sama, Muhammad Faisal berkata, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan tidak hanya bersifat ritual.

Ujarnya, ia sebaliknya tafsiran kepada peruntukan Perlembagaan berkenaan adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia, malah kedudukan Perkara 3, sudah diperjelaskan melalui penghakiman di Mahkamah Persekutuan.

“Justeru ABIM menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan, khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai murni masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meminta supaya kumpulan bukan Islam, termasuk MCCBCHST tidak mencampuri urusan umat Islam di negara ini, bagi mengelakkan tercetus masalah pada masa depan.

Katanya, tambahan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu tidak mempunyai kaitan dengan penganut agama lain, malah tiada paksaan daripada pihak kerajaan untuk pelajar bukan Islam mempelajarinya.

Nadzim berkata, PPIM tidak mempunyai masalah dengan nilai hadis itu yang dibawa ke sekolah dan pada masa sama, pihaknya mempunyai komitmen besar untuk melihat generasi Islam benar-benar menghayatinya.

“Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!” tegasnya. – 24 Ogos 2023

Artikel oleh: Scoop

MODUL PENGHAYATAN HADIS 40: JANGAN POLEMIKKAN, IA TIDAK BABITKAN PELAJAR BUKAN ISLAM

https://www.scoop.my/berita/modul-penghayatan-hadis-40-jangan-polemikkan-ia-tidak-babitkan-pelajar-bukan-islam/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL