Showing posts with label PRODUK BERACUN. Show all posts
Showing posts with label PRODUK BERACUN. Show all posts

Tuesday, May 2, 2023

'TANGAN GHAIB' PUNCA PRODUK BERACUN BERLELUASA - UTUSAN MALAYSIA - 02/05/2023

 

KUALA LUMPUR: Ada kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ dalam kerajaan yang membiarkan produk mengandungi bahan beracun dan merisiko kesihatan masyarakat terus membolosi pasaran negara.

Malah, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, pihak-pihak yang terlibat termasuk kementerian berkaitan perlu membuktikan keinginan untuk menyekat produk-produk ini dan membuktikan produk demikian tidak akan dijual lagi.

“Nafikan sekiranya tiada ‘tangan ghaib’ yang mencampuri isu produk kosmetik yang tidak selamat digunakan ini kerana sudah saban tahun, terlalu banyak tangkapan dilakukan, namun isu ini tidak pernah selesai.

“Hal ini perlu dihentikan dengan kerjasama merentas kementerian supaya produk-produk kosmetik yang memasuki pasaran negara selamat digunakan oleh rakyat kita.

“Wujudkan task force juga untuk memantau selain mengenal pasti kumpulan-kumpulan yang terus menjadi dalang kepada kemasukan produk merbahaya ini. Tindakan tegas perlu diambil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 136,518 pelbagai pil dan krim yang mengandungi barang terlarang boleh memudaratkan pengguna.

Difahamkan, produk yang dirampas dalam tempoh 2018 hingga Februari lalu meliputi 47,466 barangan kesihatan manakala 89,052 lagi barang kosmetik yang ke semuanya bernilai RM3.84 juta.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kesedaran masyarakat berhubung penggunaan kosmetik mengandungi bahan berisiko dan beracun masih rendah.

“Ini bukan isu baru namun sehingga hari ini ia masih berlanjutan kerana rakyat kita sendiri memilih untuk menggunakan produk demikian dengan mengetepikan keselamatan diri masing-masing.

“Kalau kita tengok, produk kosmetik terutamanya yang mendapat sambutan kerana standard kecantikan yang diuar-uarkan itu menjadi ‘kegilaan’ rakyat kita. Ini sebabnya penting untuk kita mendidik rakyat kita berhubung perkara ini.

“Selain daripada kesedaran mengenai isu-isu lain, rakyat kita juga perlu dipupuk untuk mengutamakan keselamatan menggunakan produk-produk kesihatan,” ujarnya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

'TANGAN GHAIB' PUNCA PRODUK BERACUN BERLELUASA

https://www.utusan.com.my/berita/2023/05/tangan-ghaib-mungkin-punca-produk-beracun-berleluasa/

Saturday, March 5, 2022

SELEBRITI PERLU HENTI PROMOSI PRODUK 'BERACUN' - UTUSAN MALAYSIA - 05/03/2022

 

PETALING JAYA: Golongan selebriti dan pempengaruh atau influencer diminta berhenti mempromosi produk ‘beracun’ termasuk jadi duta ubat-ubatan, kesihatan dan kecantikan yang diragui keselamatannya.

Hal itu bagi mengelakkan lebih banyak kes yang mendorong orang ramai membeli produk terutama ubat di platform tidak terjamin sekali gus membelakangkan khidmat dan nasihat daripada doktor.

JACOB GEORGE

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George mencadangkan supaya kerajaan melakukan pemantauan dengan lebih agresif dan efektif terhadap golongan berkenaan yang didapati menjalankan kegiatan penjualan produk kesihatan meragukan.

Tindakan tersebut kerana berlaku kegiatan sedemikian yang hanya mahu mengaut keuntungan dengan memanfaatkan penggunaan produk itu atas sandaran dapat merawat badan dan menambahkan kecantikan, tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Tidak menyebut nama selebriti tertentu, namun beliau menyifatkan, belum ada kesanggupan politik atau tindakan lebih tegas dikenakan terhadap golongan itu menyebabkan aktiviti penjualan masih berjalan khususnya di platform e-dagang yang mudah didapati.

“Kita mesti perkasa proses untuk ambil tindakan. Tetapi, ‘ketakutan’ masih ada dalam penguatkuasaan kita sebab selebriti ada pengaruh dan cara pemasaran produk tersendiri.

“Jika ada beberapa selebriti terlibat, siasat sahaja dan ambil tindakan untuk menggambarkan kerajaan tidak kompromi dengan mereka. Justeru, pengguna mestilah bijak dalam membuat sebarang keputusan dan dengar badan-badan bertauliah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sikap segelintir pengusaha menjual ubat-ubatan dan produk kesihatan lain sehingga sanggup menggunakan khidmat selebriti atau orang kenamaan untuk melariskan produk jualan mereka.

Semalam, akhbar ini yang memetik Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Norhaliza A. Halim mendedahkan, sebanyak 8,145 produk kesihatan dijual dalam platform e-dagang tidak mendapat kelulusan kerajaan sehingga dianggap berbahaya kerana tidak dijamin keselamatannya.

Antara produk yang dijual ialah pil gugur, ubat pelangsing badan, pil perangsang seks, suntikan vitamin C dan antibiotik yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

NADZIM JOHAN

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengingatkan semua pengguna untuk terus memupuk kesedaran dengan merujuk kepada doktor berhubung preskripsi ubat sepatutnya diambil sebelum membeli ubat-ubatan di saluran lain termasuk e-dagang.

Menurutnya, membelakangi khidmat dan nasihat doktor bagi sebarang produk yang menuntut pada kesihatan tubuh badan dikhuatiri mengundang keadaan lebih teruk termasuk menghidap penyakit kritikal dalam jangka masa panjang.

“pengguna yang bijak sepatutnya mengambil bahan rawatan bersifat organik dan bukannya pil-pil yang tidak dapat diperakukan kandungan dan tahap keselamatannya.

“Segelintir pengguna tidak dilatih dan dididik untuk mencari produk tradisional yang lebih baik seperti memakan sayur dan buah. Mereka lebih gemar menggunakan jalan pintas, kalau mahu kuat makan pil sahaja. Inilah yang menjadi budaya kita sejak sekian lama.

“Bagi golongan wanita pula, mereka sinonim dengan produk-produk yang kononnya melangsungkan badan atau memberi kecantikan. Sedangkan, mereka lebih baik bersenam sahaja daripada mengambil produk yang dicurigai,” katanya. – UTUSAN


Artikel oleh: Utusan Malaysia

SELEBRITI PERLU HENTI PROMOSI PRODUK 'BERACUN'

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/selebriti-perlu-henti-promosi-produk-beracun/


PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL