KUALA LUMPUR, 26
Oktober 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal ada syarikat
gergasi pengeluar makanan ayam negara ini sanggup membekalkan dedak tidak
berkualiti kepada penternak kontrak yang kandungannya dipercayai boleh
menjejaskan kesihatan sehingga berisiko menyebabkan penyakit kanser kepada
pengguna.
Ketua
Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@toqqi berkata, bahan makanan kitar
semula yang berisiko tercemar yang dijadikan dedak ayam sudah tentulah akan
mendedahkan manusia kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kanser. Perkara
ini adalah hasil daripada makanan yang di import dari luar negara ataupun
inisiatif yang datang dari luar negara.
Menurutnya,
boleh jadi perkara ini sengaja dibuat ataupun pihak yang terlibat tidak membuat
kajian terlebih dahulu tetapi yang menghairankan mengapa institusi kita tidak
membuat pemeriksaan dan pengesahan terhadap keselamatan bahan-bahan yang
diimport sehingga dibiarkan berlarutan.
“Kita
lihat antaranya jagung pun diimport dari jagung luar negara, jadi macam mana
kita nak dapatkan hasil yang memuaskan, sampaikan ayam yang kita pelihara pun
makanannya seperti jagung perlu diimport dan perkara ini sebenarnya tidak masuk
akal.”
“Jadi
saya melihat perkara ini adalah antara sebab utamanya adalah kelemahan daripada
institusi-institusi di dalam negara kita yang mungkin tak buat kerja
lah,”ujarnya.
Maka,
selepas ini jika adalah lagi pihak yang terus mengimport makanan ternakan dari
luar ini perlulah disemak secara detail termasuk pengesahan dari segi kesihatan
produk berkenaan. Jangan ambil sambil lewa. Apabila sudah ada isu timbul
seperti ini sudah tentu pihak yang terbabit perlu menjalankan tugas-tugas
mereka turun padang, siasat dan kaji.
“Buat kerjalah nak tunggu apa lagi, buat kajian
secara terperinci, bukannya kita tidak ada pakar,” tegasnya.
Ditanya, sejauh mana Kerajaan peka terhadap
kajian daripada penyelidik yang dibuat persatuan penternak ayam menunjukkan
kadar toksik dalam dedak itu boleh menyebabkan kanser kepada orang yang makan
ayam?
Menurut Toqqi, sebenarnya setiap agensi yang
dilantik ataupun ditubuhkan dan terlibat dengan perkara-perkara bersangkutan
perlu mengambil peranan serius. Agensi kena buat sesuatu, jangan nak tunggu
kena tekan baru nak bergerak, di mana sikap dan tanggungjawab yang diberi untuk
memastikan hal-hal seumpama ini dapat diatasi ataupun lebih tepat dapat
dielakkan. Buat semakan, perlu ambil inisiatif dan perbanyakkan kajian supaya
hal berkenaan dengan dedak ayam ini tidak menjadi lebih teruk lagi di masa akan
datang.
“Bagi saya hal ini tidak sepatutnya terjadi dan
tidak masuk akal, seolah-olah pihak yang diberi tanggungjawab untuk memantau
hal ini seperti tidak tak buat kerja.”
Banyak persoalan dari masyarakat awam yang juga
pengguna, mengapa tidak diwujudkan sahaja akta bagi mengawal kartel pengeluar
supaya tidak lagi meletakkan apa sahaja ramuan di dalam dedak ayam di Malaysia
untuk mengeluarkan produknya?
Beliau berkata, ini pun masalah juga, bukan
tidak boleh diwujudkan akta untuk mengawal kartel pengeluar ini supaya tidak
lagi meletakkan apa sahaja ramuan di dalam dedak ayam di Malaysia untuk
mengeluarkan produk. Tetapi malangnya, tidak ada pemimpin yang berani bersuara
pun dalam isu ini, mana nak datangnya cadangan, sudahlah cadangan pun tidak ada
maka sudah tentulah lagi jauh yang nak menyokong untuk dijadikan akta.
Jadi, antara solusi lain kepada permasalahan ini dan siapakah yang mesti bertanggungjawab sebenarnya adalah kita sendiri perlu mengubah masalah attitude kita, masalah adab dan masalah akhlak kita yang memeningkan kepala kita pasainya kita telah mewujudkan satu budaya yang cukup teruk dalam negara ini di mana kita boleh tengok semua perkara bermula daripada kartel di dalam negara ini. Sehinggakan kartellah yang membuat segala macam polisi.
Persoalannya, kenapa pihak berwajib yang
seharusnya memantau, gagal mengesan perkara ini lebih awal?
Menurut Toqqi, kadang-kadang semua ini, dia ada
kira-kiranya dan polisi yang dibuat oleh kartel-kartel ini. Kartel-kartel ini
sudah duduk di kementerian, di agensi dan membuat polisi itu sendiri sehingga
mereka ini jugalah yang memberi arah tuju dan cadangan.
Justeru, kita sepatutnya membuat polisi sendiri
tanpa campur tangan mana-mana pihak seperti kartel-kartel ini. Cukuplah, kita
sudah sangat teruk dengan polisi-polisi ini. Maka, sampai masanya kita sendiri mengawal
selia seratus peratus polisi di dalam negara kita tanpa ada lagi campur tangan
kartel-kartel ini.
Timbul juga persoalan mengenai
tindakan-tindakan yang dilihat kononnya dikenakan ke atas kartel-kartel seperti
ini apabila hal seumpama ini berlaku tetapi ia seolah-olah ringan dan macam
just a slap on the wrist.
Maka, sebab itu perlu ada tindakan yang lebih
berani dan tegas dari pihak Kerajaan untuk pastikan mereka-mereka ini mengambil
pengajaran dan tidak berulang lakukan penganiayaan dan penipuan yang sama.
Balik-balik rakyat yang juga merupakan pengguna lah yang menjadi mangsa dan
terpaksa menanggung apa saja eksperimen dari kartel-kartel ini.
“Kena ada kesedaran daripada rakyat terhadap
hak kepenggunaan terutamanya hak sebagai rakyat. Kita sedar sekarang ini
pilihan raya yang semakin dekat jadi pandai-pandailah kita memilih
mereka-mereka yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat. Kita perlukan
orang-orang yang boleh buat kerja termasuk juga agensi pun kena buat kerja,
jangan buat kerja benggong yang menyusahkan dan mengkhianati amanah rakyat,”
katanya mengakhiri kenyataan.
Artikel oleh: Samudera.my
'DEDAK KANSER': PPIM KESAL SIKAP KARTEL, PENGUAT KUASA
https://www.samudera.my/dedak-kanser-ppim-kesal-sikap-kartel-penguat-kuasa/