Thursday, April 23, 2026

WARGA EMAS BIMBANG NAMA DIGUNAKAN DAFTAR 18 TALIAN TELEFON - BERITA HARIAN - 23/04/2026

 

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas diselubungi kebimbangan apabila mendapati 18 talian telefon didaftarkan atas namanya tanpa pengetahuan.

Lelaki berkenaan, Suhaimi Shuib, 68, berkata perkara itu disedari semasa mengunjungi sebuah kedai telefon di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada Disember lalu untuk membeli peranti baharu.

"Saya hanya ingin beli sebuah telefon, namun terkejut apabila mendapati 18 talian telah didaftarkan atas nama saya dan tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku," katanya pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shuhaimi berkata, beliau memohon bantuan PPIM bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

Sementara itu, ejen telekomunikasi, Datuk Seri Jason Wong yang turut hadir pada sidang media berkenaan, berkata sebelum ini seseorang individu boleh mendaftarkan jumlah kad SIM yang banyak jika rekodnya bersih.

Sehubungan itu, katanya, prosedur operasi standard (SOP) baharu lebih ketat diperkenalkan dengan had maksimum pendaftaran hanya dua talian bagi setiap individu.Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa segelintir syarikat telekomunikasi (telco) mengeksploitasi pengguna melalui pelbagai caj tersembunyi dan kelemahan dalam sistem pendaftaran talian.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata amalan sedemikian tidak beretika kerana memperdaya pengguna demi meraih untung berlebihan, termasuk melalui panggilan terputus atau drop call.

"Kita masih berdepan masalah panggilan terputus yang tetap dikenakan caj, selain kualiti talian tidak memuaskan walaupun dipromosikan dengan teknologi 5G. Ini jelas satu bentuk penindasan terhadap pengguna dan perlu ditangani segera," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

WARGA EMAS BIMBANG NAMA DIGUNAKAN DAFTAR 18 TALIAN TELEFON

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/04/1537326/warga-emas-bimbang-nama-digunakan-daftar-18-talian-telefon

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL