PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan saluran diplomasi bagi memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia yang dilanda banjir.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sokongan kerajaan amat diperlukan bagi mengelakkan kekangan birokrasi serta salah faham dalam urusan merentasi sempadan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa.
“Bila melibatkan hubungan antarabangsa, semuanya menjadi sensitif dan kita tidak mahu timbul sebarang kekeliruan. Sebab itu kita berharap pejabat Perdana Menteri sendiri dapat membantu memudahkan segala urusan yang diperlukan.
“Beberapa wakil NGO telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan termasuk usaha menyelaras penyaluran bantuan secara lebih teratur.
“Kita tidak ada keupayaan untuk bergerak bersendirian. Kerjasama semua pihak amat penting supaya semua bantuan dapat disalurkan dengan baik. Dimaklumkan juga terdapat kira-kira 500 tan bantuan yang masih tersekat,” katanya semasa sidang media hari ini.
Nadzim berkata, pihaknya bimbang sekiranya bantuan disalurkan tanpa prosedur yang jelas dan berisiko tidak sampai kepada golongan sasaran atau gagal diagihkan dengan sempurna.
Katanya, selain boleh menimbulkan laporan tidak tepat, ia juga berpotensi menjejaskan kelancaran usaha bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan.
Sebelum ini, Aceh dilaporkan dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas, kemusnahan kediaman serta gangguan bekalan asas sekali gus mencetuskan keperluan mendesak terhadap bantuan makanan dan keperluan harian. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PPIM MOHON PM GUNA SALURAN DIPLOMASI, MUDAHKAN BANTUAN KE ACEH

No comments:
Post a Comment