Menurut Datuk Nadzim Johan, PPIM terpanggil untuk tampil dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan bagi menyuarakan penderitaan sebenar yang sedang dihadapi rakyat Aceh. Beliau menegaskan bahawa bencana tersebut bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda dalam skala besar, malah turut mengancam nyawa, maruah serta kelangsungan hidup ribuan penduduk yang terjejas. “Situasi di Aceh kini berada pada tahap kecemasan yang tidak boleh ditangguhkan. Ia memerlukan perhatian serius serta tindakan segera daripada semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pelbagai halangan yang sedang dihadapi dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan terjejas. Antaranya melibatkan isu dokumentasi, cukai serta kelewatan pentadbiran yang secara langsung menjejaskan keupayaan bantuan sampai kepada mangsa yang amat memerlukan bantuan asas seperti makanan, air bersih, rawatan perubatan dan perlindungan sementara. Dalam sidang media itu, PPIM turut menekankan peranan penting pihak media sebagai suara rakyat bagi memastikan tragedi kemanusiaan ini tidak terus didiamkan. Liputan yang menyeluruh dan berterusan disifatkan amat penting untuk membuka mata pelbagai pihak serta menggerakkan sokongan di peringkat nasional dan antarabangsa.
PPIM memaklumkan bahawa dalam masa terdekat, wakil warga Aceh akan tampil bersama bagi menerangkan situasi sebenar dan perkembangan terkini di lapangan, sekali gus membantu mempercepatkan penyelarasan dan penyaluran bantuan yang lebih berkesan. Mengakhiri sidang media, PPIM menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan dan bersatu hati dalam membantu mangsa bencana di Aceh, selaras dengan mesej kemanusiaan yang ditekankan.
Artikel oleh: Harapan Daily
PPIM DESAK TINDAKAN SEGERA TANGANI BANJIR BESAR DI ACEH
https://harapandaily.com/2025/12/19/ppim-desak-tindakan-segera-tangani-banjir-besar-di-aceh/






No comments:
Post a Comment