KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh pemfailan saman RM60 juta terhadap 25 defendan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seperti yang dilaporkan media semalam.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berpendapat tuntutan ini bakal mendedahkan isu yang lebih besar mengenai vaksin COVID-19 dan kemungkinan ada berlaku penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan dan agensinya.
"Kami memahami keperluan untuk melindungi keselamatan awam melalui vaksinasi, namun kami juga percaya bahawa setiap individu mempunyai hak untuk maklumat yang jelas dan transparen mengenai vaksin yangtelah diberikan kepada mereka. "Kekurangan komunikasi berkesan dan kekaburan maklumat boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap program vaksinasi," katanya.
Di samping itu, Nadzim berkata PPIM turut ingin menyatakan kebimbangan yang serius mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 Akta 342.
"Kami khuatir bahawa pindaan ini boleh membenarkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa, merencatkan hak asasi manusia dan kebebasan individu dalam masyarakat.
"Adalah penting untuk memastikan bahawa apa jua undang-undang yang diluluskan tidak menindas hak dan kebebasan rakyat, serta tidak dijadikan alat untuk melaksanakan tindakan yang melampau," katanya.
Tambah Nadzim, kebebasan untuk bersuara dan mempertahankan hak individu adalah elemen penting dalam masyarakat demokratik, dan setiap usaha harus dibuat untuk melindungi nilai-nilai ini.
PPIM menuntut agar kerajaan mengkaji semula kedua-dua isu ini dengan serius, dan memastikan bahawa semua tindakan diambil demi kepentingan rakyat, bukan untuk tujuan menghalalkan apa yang dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa.
Pemeriksaan dan pengawasan yang ketat terhadap setiap langkah pengagihan vaksin serta pembentangan undang-undang harus dilaksanakan untuk mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan.
"Kami juga menyeru agar suara rakyat didengar dan dihormati. Adalah penting bagi kerajaan untuk menjawab kebimbangan rakyat secara terbuka dan menyediakan platform bagi mereka untuk menyuarakan pandangan dan ketidakpuasan hati," katanya.
Dalam usaha memperbaiki dan memperkukuh sistem, PPIM berpendapat bahawa kolaborasi antara pihak berkuasa dan masyarakat adalah langkah yang perlu diambil sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Kita semua bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil demi kesihatan awam adalah berlandaskan kebenaran dan keadilan.
"PPIM akan terus berjuang untuk hak pengguna dan memastikan bahawa kepentingan rakyat sentiasa dipelihara," katanya.
No comments:
Post a Comment