Saturday, July 13, 2024

PERKONGSIAN KOS MAMPU ELAK HOSPITAL SWASTA SALAH GUNA INSURANS - BERITA HARIAN - 12/07/2024

 

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) disifatkan berupaya mengelak hospital swasta daripada menyalahgunakan takaful perubatan pengguna insurans berkenaan.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata ini memandangkan apabila ciri-ciri pembayaran ini dilaksanakan hospital swasta tidak akan sewenang-wenangnya memasukkan pesakit ke dalam wad kerana perlu mengambil kira pembayaran bersama yang perlu ditanggung pengguna itu.

Justeru, katanya, apabila kadar kemasukan ke hospital berkurangan, peningkatan sumbangan dari semasa ke semasa oleh syarikat insurans dapat dikurangkan dan secara tidak langsung ini juga akan mengurangkan beban rakyat.

"Kebanyakan pengguna insurans inginkan sumbangan yang lebih rendah dan keadaan itu menyebabkan syarikat insurans terpaksa menanggung kadar infalsi perubatan yang sangat tinggi seperti yang dilaporkan antara 12 hingga 15 peratus pada tahun 2023 hingga 2024.

"Jadi apabila ciri pembayaran bersama ini tidak dilaksanakan, syarikat insurans terpaksa meletakkan kadar sumbangan atau pembayaran polisi yang tinggi dan ini pastinya akan membebankan keupayaan rakyat untuk memiliki takaful perubatan.

"Seeloknya, apabila ada ciri pembayaran bersama ini, kadar caruman dapat dikurangkan antara 19 hingga 60 peratus," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan pelaksanaan perkongsian kos atau pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) mulai 1 September, membolehkan pengguna memilih produk pada kos lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor, berpendapat pihak penyedia takaful dan insurans sewajarnya mengurangkan sumbangan pengguna dengan mengurangkan komisen ejen yang didakwa mencecah sehingga 45 peratus.

Katanya, setiap kali berlaku peningkatan kadar bayaran, pengguna yang harus menanggung kesannya dan perkara ini tidak seharusnya berlaku.

"Jangan terus bebani pengguna apabila berlaku peningkatan kos. Perlu dilaksanakan rasionalisasi komisen serta kos-kos lain dan bukannya menyalurkan kos itu kepada pengguna semata-mata.

"Harus diingatkan bahawa penggunalah yang selama ini memberi peluang perniagaan dan keuntungan kepada mereka.

"Malah, BNM harus tegas dalam perkara ini kerana keutamaan mereka adalah memelihara kepentingan pengguna dan bukannya korporat semata,"katanya.

Jelasnya lagi, amat tidak wajar apabila berlaku peningkatan kos, bebanan disalurkan kepada pengguna setiap masa tanpa pihaklain yang terbabit sama perlu berkorban.

Artikel oleh: Berita Harian

PERKONGSIAN KOS MAMPU ELAK HOSPITAL SWASTA SALAH GUNA INSURANS

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1270450/perkongsian-kos-mampu-elak-hospital-swasta-salah-guna-insurans

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL