Kuala Lumpur: Iklan produk membawa mesej tertentu atau maksud tersirat berbaur lucah tidak seharusnya diguna pakai untuk menarik perhatian pengguna.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dari segi etikanya, perkara itu adalah salah jika ia dilakukan.
"Contohnya ubat-ubatan yang menggunakan perempuan (sebagai iklan) tak berapa kena juga.
"Apapun, jika ia bersandarkan kepada mesej tertentu yang tidak patut, ia tidak boleh (dilakukan)," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila artis dan usahawan, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 35, didakwa mempromosikan produk minuman kesihatan khusus buat isteri.
Bagaimanapun, tindakan itu menerima kritikan netizen berikutan foto pada iklan berkenaan didakwa mempunyai maksud tersirat dan berbaur lucah.
Syarikat Nilofa Group yang dimiliki oleh Neelofa kemudiannya tampil membuat permohonan maaf selepas foto pada iklan produk kesihatan mereka menerima kecaman.
Mengulas lanjut, Nadzim berpandangan, pengiklanan di media sosial amat sukar untuk dikawal dan diambil tindakan berbanding jika ia dilakukan menggunakan media tradisional seperti surat khabar atau televisyen.
"(Iklan) dengan surat khabar ada kawalan tertentu. Contohnya, surat khabar iklan orang mati pun kena ada sijil berbanding kalau menggunakan media sosial," katanya.
Beliau berkata, antara tindakan boleh diambil untuk memberikan pengajaran kepada pihak yang mengeluarkan iklan seperti itu adalah dengan melakukan boikot oleh pengguna.
Selain itu katanya, Kementerian Komunikasi juga digesa untuk mengeluarkan amaran kepada pihak yang melakukan kesalahan.
"Walaupun tidak ada undang-undang mengenai media sosial, tetapi pengaruh kementerian dan kerajaan cukup bagus untuk menyelaraskan apa yang disebarkan.
"Yang jelas dia (Kementerian Komunikasi) kena keluarkan amaran. Mungkin amaran itu tak ada harga, tetapi apabila ia dikeluarkan, ini bermakna rakyat akan melihat perkara ini dari sudut yang serius," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
IKLAN PRODUK BERBAUR LUCAH NEELOFA, PPIM PERSOAL ISU ETIKA
No comments:
Post a Comment