KUALA LUMPUR, 23 November 2021 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan keseluruhan warga kerja berdukacita terhadap kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perubatan Tradisional Dan Komplementari, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Chai Koh Meow. PPIM mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mendiang dan berharap keluarga mendiang Koh Meow tabah mengharungi situasi sukar ini.
Episod duka yang terjadi terhadap mendiang Koh Meow bukanlah satu kes terpencil. PPIM sejak awal pemberian vaksin tahun 2021 telah secara konsisten mahukan dan akan terus mendesak agar KKM untuk lebih telus dan tulus dalam berkongsi data terhadap kes kesan kronik pasca pemberian vaksin lebih-lebih lagi kalau ia melibatkan warga KKM sendiri.
Mengikut rekod, Koh Meow menerima dua dos jenis Sinovac kira-kira enam bulan lalu dan mendiang juga sudah melengkapkan dos vaksinasi penggalak COVID-19 pada 9 November lalu sebelum tiba-tiba meninggal dunia pada 16 November 2021 ketika dalam tidur.
Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak persatuan telah menerima lebih daripada 200 aduan berhubung kesan teruk akibat disuntik vaksin daripada pelbagai jenis namun KKM terus menafikan kebenaran aduan-aduan ini dengan justifikasi tidak munasabah.
“Adakah ini memberi gambaran bahawa KKM enggan bertanggungjawab sebaliknya lebih selesa bersekongkol dengan pengeluar vaksin yang seolah-olah langsung tidak boleh disentuh oleh undang-undang? “Kematian Koh Meow ini perlu membuka mata semua pihak terutama pakar-pakar perubatan bahawa mereka tidak terkecuali daripada kesan buruk vaksin walaupun masing-masing berstatus pakar perubatan”, kata Nadzim.
Sebagai menghormati Koh Meow dan keluarga mendiang, PPIM mendesak satu pengumuman telus dan berani daripada KKM memandangkan penolakan sehingga 40 peratus janji temu untuk dos ketiga sudah cukup menjadi bukti bahawa kementerian yang diterajui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah hilang kepercayaan rakyat, katanya.
Kata Nadzim, KKM tidak boleh membelakangkan hak rakyat dengan menafikan fakta melalui siri “kita akan siasat” kerana akhirnya kematian Koh Meow hanyalah satu langkah untuk menjadi seperti kes pembunuhan tidak terbela anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
“PPIM sejak awal tahun 2021 telah berusaha untuk mengadakan perbincangan secara aktif dengan KKM bagaimanapun, telah ditolak mentah-mentah oleh Khairy dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah”, katanya.
Tambah Nadzim, naratif KKM dalam menggagalkan orang ramai untuk mengambil dos penggalak dan dos tambahan perlu berubah, mulai sekarang atau rakyat jelata akan mula menolak inisiatif vaksin. “Di seluruh dunia kes-kes Covid-19 terus merekodkan angka peningkatan terutama di negara-negara maju. Malaysia sudah tidak mampu lagi mengharungi Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) pada masa akan datang. Bertindak segera sebelum terlambat”, katanya.
Artikel oleh: Samudera.my
ENDEMIK: KITA MAHU KERAJAAN TULUS DAN TELUS
https://www.samudera.my/endemik-kita-mahu-kerajaan-tulus-dan-telus/
No comments:
Post a Comment