Monday, May 30, 2016

2780) PENDUDUK MALAYSIA BAZIR 15,000 TAN MAKANAN SEHARI – MALAYSIA GAZETTE – 30/5/16



Sebanyak 15,000 tan makanan dibazirkan oleh penduduk negara ini sehari, malah ada antaranya dibuang begitu sahaja tanpa disentuh.

Pembaziran makanan itu berlaku sepanjang masa dan ia tidak terkecuali pada bulan Ramadan yang menuntut umat Islam menahan nafsu dari dahaga dan lapar.

Berikutan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu budaya yang tidak sihat itu dibendung dengan pihak berkuasa merangka garis panduan yang boleh menghukum dan mendidik individu yang melakukan pembaziran makanan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa terbabit seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan garis panduan bagi mengelakkan pembaziran makanan.

“Bayangkan 15,000 tan makanan atau 30 hingga 50 peratus makanan dibazirkan (sehari) di Malaysia yang mana ia dibuang walaupun langsung tidak dihidang dan dimakan.

“Biasanya rakyat kita makan sedikit tetapi ambil banyak (sebab) takut makanan habis diserbu orang lain, ini tabiat tidak sopan. Jika bukan sekarang, sampai bila lagi kita hendak membenarkan budaya ini tanpa pencegahan,”

“Saya sudah bincang dengan Ketua Pengarah DBKL bagi kuatkuasakan kempen berbentuk kawalan dan denda hotel yang ada pembaziran makanan melampau.

“Malah DBKL boleh menjadi peneraju utama dalam implimentasi polisi garis panduan tegas ini,” katanya bersama aktivis, Muhammad Yusuf Azmi pada sidang media cara mengelakkan pembarizan makanan di bulan Ramadhan di ibupejabat PPIM hari ini.

Bagi mengelakkan pembaziran daripada berterusan, Nadzim mencadangkan setiap hotel menyediakan data pembaziran makanan kepada pihak berkuasa tempatan setiap hari dan mengenakan surcaj kepada pelanggan yang melakukan pembaziran bagi tujuan mendidik.

Katanya, Jepun dan Jerman telah melaksanakan surcaj kepada pelanggan yang melakukan pembaziran dan kaedah ini boleh dicontohi Malaysia.

“Selain denda surcaj terhadap pelanggan, makanan berlebihan yang tidak disentuh juga boleh diedar kepada golongan gelandangan dan asnaf selain dihantar ke masjid,” tambah beliau sambil menambah makanan yang tidak habis dimakan juga boleh diproses menjadi baja organik dengan kos yang rendah. – MalaysiaGazette

Sumber : http://ift.tt/1TQWmnH



Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL