Kuala Lumpur: Pengguna digesa memboikot air mineral yang dijual pada harga melampau sebagai pengajaran kepada peniaga tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Lembaga Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pihaknya sudah berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk memperkukuhkan hak pengguna yang kini menjadi fokus utama selepas penurunan harga minyak.
“Sebagai permulaan, kita mengajak orang ramai memboikot air mineral bersaiz 500 mililiter (ml) yang kini dijual mencecah RM3.50 sebotol.
“Tindakan ini adalah sebahagian usaha Pusat Penyelidikan Boikot Pengguna untuk memastikan penurunan harga minyak dapat diterjemah dengan penurunan harga barang tertentu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Jelas Tunku Azwil, pihaknya berbangga kerana isu harga barang disuarakan salah seorang menteri, sekali gus membuka mata ramai pengguna.
“Dalam isu ini, kita tidak bercakap mengenai kaum atau politik tetapi memperjuangkan hak semua pengguna. Kita mahu pengilang, pengeluar, pemborong, peruncit dan peniaga mengambil sikap tanggungjawab dengan memikirkan hak pengguna.
“Jika harga minyak naik dulu mereka memohon kepada Kabinet untuk menaikkan harga barang, kita mahu mereka mengambil pendekatan sama ketika harga minyak turun sekarang,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/28954
No comments:
Post a Comment