HSBC tidak hormati hak, kepentingan pelanggan
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tindakan syarikat perbankan terkemuka Britain, HSBC yang didakwa mengamalkan sikap diskriminasi agama dalam menutup beberapa akaun termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam jelas menunjukkan sikap bank itu yang tidak menghormati hak dan kepentingan pelanggan.
Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, syarikat terbabit perlu bersikap profesional serta mengutamakan keadilan dan hak ke atas semua pelanggannya.
"Perbuatan ini sedikit pun tidak menghormati hak sebenar pelanggan sedangkan wang yang disimpan dalam syarikat perbankan ini adalah hak milik pelanggan dan bukannya miliknya.
"Penutupan akaun ini berkemungkinan besar mempunyai agenda tertentu yang melibatkan kuasa besar Barat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan HSBC dalam notis pemberitahuan pada 22 Julai lalu memaklumkan menutup beberapa akaun yang dikatakan berisiko, berkuat kuasa 22 September ini.
Antara akaun yang ditutup adalah milik Masjid Finsbury Park, Yayasan Kebajikan Ummah Bolton dan Yayasan Cordoba.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyeru semua pihak untuk bertindak segera sebelum perkara ini terus berlanjutan.
"Saya menggesa semua pihak yang mempunyai hubungan dengan syarikat berkenaan agar menutup segera akaun bagi memastikan keadilan sekali gus mengajar mereka untuk lebih bersikap adil dan saksama.
"Sebaliknya, kita tidak perlu mengharapkan keadilan daripada pihak yang sudah pasti tidak akan pernah berlaku adil terutama terhadap Islam," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140802/dn_16/HSBC-tidak-hormati-hak,-kepentingan-pelanggan#ixzz39OU3QMfZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment