Showing posts with label PERDAYA PELAJAR. Show all posts
Showing posts with label PERDAYA PELAJAR. Show all posts

Saturday, January 6, 2018

4290) PTPTN SIASAT DAKWAAN KOLEJ CAJ BAYARAN TERSEMBUNYI – PORTAL ISLAM & MELAYU – 5/1/18



KUALA LUMPUR, 16 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyiasat dakwaan seorang bekas pelajar kolej di utara tanah air bahawa kolejnya telah mengenakan caj tersembunyi dalam yuran ke atas peminjam PTPTN.
PTPTN ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan menyiasat perkara ini.
“Kami mohon pihak yang berkenaan yang berkenaan untuk hadir ke pejabat PTPTN untuk berbincang dan memberi maklumat lanjut,” kata wakil PTPTN.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan satu sidang akhbar berkenaan dakwaan penipuan kolej swasta yang mengenakan lebihan caj ke atas pelajar dan menjanjikan mereka peluang pekerjaan setelah tamat pengajian.
Bekas pelajar kolej itu mendakwa selepas menamatkan pengajian diploma dan ijazah dalam bidang Perbankan Islam dan Kewangan, dia terpaksa menanggung hutang sebanyak RM70,000 apabila jaminan yang diberikan pihak kolej untuk mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian turut palsu.
“Pinjaman untuk program diploma dan ijazah saya RM70,000. Setiap semester saya seharusnya mendapat RM8,000 dan setelah yuran pengajian ditolak, saya seharusnya mendapat baki kira-kira RM4,000.
“Tetapi, pihak kolej saya mengenakan caj berlebihan atas alasan urusan pentadbiran dan sebagainya,” dakwanya ketika sidang media di pejabat PPIM di sini, hari ini.
Katanya, dia yang membuat pinjaman penuh untuk menampung pendidikannya terpaksa mengganggur selama enam bulan dan akhirnya menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk mendapatkan pekerjaan.
Sementara itu Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memantau semua institusi pendidikan swasta bagi mengelakkan pelajar menjadi mangsa penipuan.
“Kami juga menyeru PTPTN untuk menjalankan siasatan ke atas dana pendidikan yang disalurkan supaya pelajar tidak terbeban dengan hutang selepas tamat pengajian dan tiada pekerjaan,” katanya. -Bernama

Artikel Oleh :  BERNAMA
PTPTN SIASAT DAKWAAN KOLEJ CAJ BAYARAN TERSEMBUNYI

4285) GRADUAN TANGGUNG HUTANG RM70,000 – SINAR ONLINE – 5/1/2018





KUALA LUMPUR – Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu.
Namun, ia hanya tinggal janji apabila graduan IPTS itu terpaksa menanggung hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM70,000.
Bekas pelajar kolej berkenaan, Noraini Muslim, 26, mendakwa, pihak pengurusan kolej menolak sejumlah yuran pembiayaan pengajian bagi setiap semester, dengan alasan kos pentadbiran antara kolej dan PTPTN.
“Pinjaman untuk program ijazah dan diploma saya berjumlah RM70,000. Satu semester saya dapat RM8,000 dan jumlah yuran pengajian kira-kira RM3,000, sepatutnya saya dapat RM4,500.
“Tapi setiap semester, pihak kolej akan tolak RM500 atas alasan kos pentadbiran. Saya tidak tahu kenapa pihak kolej buat begitu, sepatutnya tidak ada tolak lagi sebab kita pinjam PTPTN,” katanya pada sidang media selepas membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Menurutnya, perkara itu berterusan sehingga dia tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dan Kewangan, dua tahun lalu.
“Saya rujuk PPIM, mereka kata tidak perlu caj lagi sebab itu pinjaman dengan PTPTN, bukannya dengan pihak kolej,” katanya.
Noraini berkata, lebih mengejutkan bantuan zakat sebanyak RM400 yang diterima setiap tahun turut dipotong.
“Pelik apabila pihak kolej tolak bantuan itu sebanyak 50 peratus. Itu duit saya.
“Pihak kolej beri alasan ada yuran tunggakan dalam penyata bayaran saya. Macam mana boleh ada tunggakan yuran lagi, sedangkan wujud lebihan wang pembiayaan PTPTN daripada potongan yuran pengajian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan PTPTN memantau IPTS yang memberi janji palsu serta mengambil wang pelajar secara halus.
“Ada sesetengah kolej menggalakkan pelajar ambil kursus yang kurang permintaan kerja kerana mahukan keuntungan semata-mata,” katanya.
“Sepatutnya pihak kolej itu telus dan jelas mengenai yuran atau bayaran yang melibatkan wang pelajar. Kita tak nak orang ambil kesempatan terhadap pendidikan kerana ia isu sensitif,” katanya.
Artikel Oleh : Sinar Harian 

GRADUAN TANGGUNG HUTANG RM70,000 

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL