KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan
menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah guna
kuasa pembelian vaksin COVID-19 yang dikatakan didalangi tampuk kepemimpinan
pentadbiran terdahulu.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan
daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai berhubung isu
perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang dikatakan membabitkan puluhan bilion
ringgit.
Beliau menegaskan, isu terbabit akan diketengahkan supaya mendapat
perhatian pihak berwajib terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi kerana ia suatu
perkara yang tidak masuk akal. Kami nak bawa perkara ini secara rasmi.
"Aduan diterima mempunyai fakta yang patut dikaji dan perlu
disiasat secara serius kerana ia membabitkan jumlah perbelanjaan yang sangat
besar.
"Negara
bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita...apa pemimpin buat sehingga ada
dakwaan salah laku seperti ini. Kami harap rakyat Malaysia juga dapat bersama
dalam usaha ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Turut
hadir dalam sidang media itu Penasihat PPIM, Datuk Seri Asri Yusoff dan Pakar
Perunding Histopatologi dan Ahli Statistik, Dr Manimalar Selvi Naicker, selain
Peguam C R Selva dan Pengerusi Valued Partners, Michael Chow.
Sementara
itu, Dr Manimalar menggesa kerajaan baharu memandang serius pelantikan Menteri
Kesihatan selepas ini.
Beliau
berkata, jawatan itu seharusnya digalas individu yang mempunyai latar belakang
khusus dalam bidang perubatan, selain mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya
lima tahun.
"Kami
mahu Menteri Kesihatan selepas ini dilantik dalam kalangan pengamal perubatan.
Ini kerana, bidang perubatan adalah perkara kompleks dan tidak mudah difahami
dan sangat sukar kepada mereka yang bukan dalam kalangan doktor untuk faham
perkara teknikal dalam bidang ini," katanya.
Pada
masa sama, beliau berkata sekiranya tiada ahli Parlimen berkelayakan, kerajaan
perlu melantik seorang senator dalam kalangan pakar perubatan.
Artikel oleh: Berita Harian
TUBUH RCI SIASAT DAKWAAN SALAH GUNA KUASA PEMBELIAN VAKSIN COVID-19
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1031842/tubuh-rci-siasat-dakwaan-salah-guna-kuasa-pembelian-vaksin-covid-19