Showing posts with label KRISIS BEKALAN MAKAN. Show all posts
Showing posts with label KRISIS BEKALAN MAKAN. Show all posts

Thursday, June 2, 2022

PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH HENTIKAN EKSPORT AYAM - MALAKAT TRIBUNE - 23/05/2022

 


CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan dalam menangani krisis harga makanan di negara ini dengan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan kerajaan itu tepat dan amat diperlukan rakyat pada masa kini.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi langkah diambil bagi memastikan harga makanan di pasaran tempatan dapat dikawal.

“Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau yang lebih dikenali sebagai Toqqi turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keperluan rakyat dan membuat keputusan yang wajar serta tidak tergesa-gesa seperti sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kabinet perlu segera bertindak sebelum keadaan menjadi lebih meruncing seperti sekarang.

“Kita lihat kerajaan kita agak terkebelakang dalam membuat keputusan, apabila keadaan
sudah amat meruncing barulah Kabinet akan bermesyuarat untuk berbincang sedangkan isu harga makanan asas yang tinggi bukanlah perkara yang baru.

“Mungkin generasi muda negara ini tidak mengingatinya namun apabila berlaku krisis ekonomi global, perkara pertama yang terjejas adalah harga bahan api, makanan dan sebagainya termasuk kadar pengangguran semakin meningkat.

“Dua tahun dunia dikurung akibat Covid-19 takkan tidak ada seorang pun pakar ekonomi negara ini yang dapat menjangka kesannya kepada ekonomi dunia seterusnya kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Toqqi turut menyelar pihak yang mencadangkan supaya mengurangkan pengambilan stok ayam.

Katanya, pihak berkenaan sepatutnya turun ke padang untuk melihat masalah rakyat dan tidak memberikan cadangan sedemikian.

“Jika tak makan ayam rakyat nak makan apa? Ulat? Serangga? Ubi kayu? Untuk
pengetahuan pihak yang mungkin terlalu sibuk mengisi poket sendiri, ayam adalah sumber protein yang paling murah berbanding produk lain seperti ikan dan daging,” katanya.

“Jika dibandingkan harga ayam sekilo adalah RM8.90, harga ikan kembung sekilo boleh mencecah RM14 dan sekilo ikan kembung tidak mampu menampung keperluan satu keluarga.

“Nak suruh orang beli daging, sekilo paling murah pun RM15, habis tu rakyat nak makan apa, wahai yang berhormat yang bijaksana, apa lagi pilihan yang rakyat ada,” sindirnya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH HENTIKAN EKSPORT AYAM

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/ppim-sambut-baik-langkah-hentikan-eksport-ayam/

Wednesday, June 1, 2022

ALASAN TIADA BEKALAN AYAM TIDAK MASUK AKAL: PPIM - SINAR HARIAN - 22/05/2022

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan beberapa pihak yang mendakwa tiada bekalan ayam di ladang ternakan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna di Malaysia sering menjadi alat oleh mereka untuk menaikkan harga atau mendapatkan keuntungan lebih dalam jual beli.

Justeru beliau mengingatkan kepada pihak tidak bertanggungjawab agar tidak mencetuskan panik dalam kalangan pengguna.

"Dalam isu ketiadaan ayam di pasar terbuka, peniaga runcit boleh dan harus membuat laporan kepada pihak berkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) atau membawa perkara itu ke mahkamah jika dirasakan perlu.

"Pengusaha ladang ayam mempunyai kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong.

"Apa guna mereka bela ayam jika tiada pembeli, mereka akan berusaha mendapatkan kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong secara pukal sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau setahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Nadzim menegaskan kerajaan tidak harus tunduk kepada tuntutan pihak yang tamak dan sering memperbodohkan pengguna untuk kepentingan diri.

"Jangan bebankan pengguna dengan masalah yang tidak masuk akal. Pengguna harus bijak dalam menilai situasi semasa dan kembali mengawal keadaan pasaran negara.

"Kalau dah ladang tu tak boleh membekalkan ayam, maka kita sebagai pengguna boleh pilih untuk membeli produk dari pihak lain yang lebih bertanggungjawab dan tidak memperbodohkan pengguna," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

ALASAN TIADA BEKALAN AYAM TIDAK MASUK AKAL: PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/203531/BERITA/Nasional/Alasan-tiada-bekalan-ayam-tidak-masuk-akal-PPIM

KRISIS BEKALAN GANDUM: TUKAR SEGERA POLISI TANGANI ISU KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN - GESA PPIM - MALAKAT TRIBUNE - 18/05/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menangani masalah kekurangan bekalan makanan dengan meneliti semula polisi sedia ada susulan larangan eksport gandum oleh India baru-baru ini.

Menurut Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan, kerajaan seharusnya merangka satu pelan persediaan awal bagi menghadapi isu kekurangan bekalan makanan yang dijangka dihadapi oleh Malaysia.

“Kita perlu bersedia, daripada hanya mendengar cerita-cerita sedap untuk menyedapkan hati dan sebab itu pentingnya persediaan awal ini.

“Sekiranya apa-apa terjadi kepada kita di masa akan datang apa yang kita boleh buat? Takkan serai dan halia pun kita nak import daripada negara jiran,” katanya kepada Malakat Tribune.

Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, lebih membimbangkan apabila rata-rata penduduk di Malaysia tidak mempunyai simpanan bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh jangka masa panjang.

Katanya, situasi itu akan memberi kesan buruk dan membimbangkan sekiranya krisis makanan berlaku.

“Kalau kita lihat dalam peti sejuk rumah kita sekarang berapa lama stok bekalan makanan itu boleh bertahan?

“Tidak sampai pun dua minggu dan oleh itu kerajaan perlu tukar polisi yang sedia ada ini untuk menghadapi krisis makanan,” katanya.

Kelmarin, India telah melarang eksport gandum susulan gelombang haba yang telah menjejaskan hasil tanaman itu sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Situasi itu telah menyebabkan pengusaha makanan berasaskan tepung dan gandum mula menaikkan harga makanan seperti roti.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara adalah mencukupi.

Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim berkata, belum ada laporan diterima yang me­ngatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.

“Bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara dan kekura­ngan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

KRISIS BEKALAN GANDUM: TUKAR SEGERA POLISI TANGANI ISU KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN - GESA PPIM

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/larangan-import-gandum-tukar-segera-polisi-tangani-krisis-bekalan-makanan-gesa-ppim/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL