Showing posts with label KENYATAAN AKHBAR PPIM. Show all posts
Showing posts with label KENYATAAN AKHBAR PPIM. Show all posts

Thursday, December 30, 2021

6155) JEMAAH UMRAH IBARAT 'PENJENAYAH' - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 30/12/2021

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima pelbagai reaksi dan rungutan dari pelbagai pihak mengenai peraturan yang berbeza ke atas mereka yang kembali dari luar negara.

Kelmarin, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan memerlukan mereka yang pulang dari melaksanakan umrah memakai gelang elektronik (electronic bracelet) manakala mereka yang kembali dari London hanya memerlukan gelang merah jambu (pink bracelet).

"Peraturan sebegini seolah-olah mereka yang baru pulang dari Makkah adalah penjenayah yang menjalani perintah sekatan manakala mereka yang pulang dari melancong sebagai rakyat yang diringankan hukumannya" ujar Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi.

Menurut beliau lagi, keadaan di Makkah atau London atau di mana-mana sahaja semuanya telah terdedah kepada virus COVID-19 atau varian terbaharunya, Omicron.

"Adakah arahan berbeza ini menunjukkan bahawa mereka yang pulang dari menunaikan ibadat menjadikan lebih rentan dari mereka yang pulang dari melancong?”

"Saya menyeru kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya MENGHENTIKAN lakonan ini dan berpijak di bumi nyata serta tidak membeza-bezakan layanan terhadap rakyat yang pulang ke negara ini," tambah beliau lagi.

Beliau seterusnya mempersoalkan adakah pihak badan kesihatan dunia seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan negara Arab Saudi sebagai negara yg mempunyai kadar jangkitan Omicron yang tinggi.

Saturday, December 11, 2021

6095) ETHYLENE OXIDE: APA JAMINAN PENGGUNAANNYA SELAMAT? - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 11/12/2021

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius dan ingin membuat bantahan awal terhadap penggunaan swab test COVID-19 yang mengandungi Ethylene Oxide, sejenis gas beracun yang telah dibuktikan boleh menyebabkan penyakit kanser seperti leukimia dan limfoma.

Banyak kajian telah dilakukan dan terbukti bahawa bahan ini adalah satu bahan yang sering mengancam nyawa dan amat membahayakan para pekerja dalam industri kimia. Bahan ini digunakan sebagai pensteril untuk swab test COVID-19. Menurut beberapa kajian, Ethylene Oxide adalah satu bahan yang paling mudah menyebabkan kanser dan mampu merosakkan DNA.

Oleh yang demikian, PPIM mendesak agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan tatacara atau protokol penggunaan bahan ini dalam swab test dan memberi jaminan ianya selamat untuk pengguna. Walaupun demikian, para pengguna juga terdedah kepada bahan ini jika prosedur ini dilakukan dengan kecuaian dan ketidakmahiran kakitangan perubatan.

Sekiranya KKM gagal untuk berbuat demikian, maka kami menganggap KKM sedang menyembunyikan fakta penting dalam kaedah ujian COVID-19 ini dan berharap KKM mencari kaedah lain yang lebih selamat serta lebih berkesan untuk rakyat Malaysia.

Wednesday, December 8, 2021

6077) SAF SOLAT DAN ‘SAF’ BOLA: TOLONG HENTIKAN SANDIWARA INI! - KENYATAAN AKHBAR PPIM 08/12/2021

Perlawanan bola sepak antara pasukan JDT dengan pasukan KL City telah membuatkan pengguna dan rakyat tertanya-tanya apakah sudah ada kelonggaran Prosedur Operasi Standard(SOP) ketika kita masih bergelut dengan wabak COVID-19?

Sering kita menyaksikan satu sandiwara SOP di lapangan-lapangan terbang di mana sebelum menaiki pesawat para penumpang dikehendaki mematuhinya tetapi duduk bersebelahan di kabin.

Begitu juga keadaannya bila beberapa kelonggaran pergerakan diumumkan kita dapat melihat akan pelanggaran SOP di pasaraya-pasaraya, pasar-pasar malam dan lain-lain tempat tumpuan orang ramai.

Namun, keadaan tidak pula di masjid-masjid kerana pihak jawatankuasanya bertegas menguatkuasakan SOP dan masih selesa dengan saf-saf yang berjarak 1-1.5 meter antara Jemaah.

Jelas kini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seolah-olah sedang mempersendakan SOP yang telah ditetapkan dalam menentukan jarak ‘saf’ bola dan saf untuk solat. Ia umpama virus ini hanya akan berkunjung ke masjid-masjid dan surau-surau dan tidak berminat untuk menghadirkan diri di tempat-tempat awam lain.

Kami menggesa agak pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji semula penguatkuasaan SOP di semua premis, dalam apa jua keadaan agar ia tidak kelihatan seperti sebuah jenaka.

Rakyat kini kian bosan dengan keadaan ini dan pihak kerajaan seolah-olah tidak begitu teliti dan peka terhadap perbezaan dari sudut layanan terhadap beberapa keadaan, terutama yang melibatkan aktiviti yang boleh merangsang ekonomi.

Masjid dan tempat ibadat mungkin disifatkan sebagai tempat yang tidak memberikan apa-apa manfaat ekonomi maka SOPnya perlu ketat kerana ramai atau sedikitnya Jemaah tidak memberikan kesan yang ketara.

Jikalau inilah sikap kerajaan maka ia adalah amat menyedihkan dan boleh dianggap bahawa pihak berkuasa terus memperkecilkan institusi kerohanian sebagai satu sumber penyelesaian yang paling ampuh untuk wabak ini dan lakonan sandiwara COVID-19 ini perlu dihentikan segera!

Thursday, November 25, 2021

6043) BANTAH LANJUTAN TARIKH LUPUT VAKSIN - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 24/11/2021

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah jangka hayat vaksin Covid-19 yang bakal tamat tempoh tidak lama lagi.

Pengerusi PPIM, Nadzim Johan berkata, apakah kita yakin keputusan melanjutkan sehingga enam bulan bagi vaksin jenis Pfizer dan Sinovac tidak mendedahkan sebarang risiko kepada para pengguna?

“Sudahlah kita meragui status vaksin terhadap keberkesanannya dalam menjamin kesihatan manusia dan kini, kita tiba-tiba dibebankan dengan vaksin-vaksin yang tamat jangka hayatnya.

“Para pembekal vaksin sepatutnya memikul tanggungjawab termasuk menyerap kos berkaitan sekiranya ada vaksin yang telah luput tarikh. Kalau dalam peraturan makanan pun kita amat peka dengan tarikh luput, apatah lagi dengan bekalan vaksin yang kita tidak maklum akan tindak balasnya kerana kita tidak mempunyai apa-apa rujukan lagi tentang kesan-kesannya. Oleh yang demikian, kami merasakan tidak ada seorang pun pengguna berhak menerima bekalan vaksin yang telah tamat tempoh.

“Sudah menjadi amalan dalam dunia perniagaan bahawa jika ubat-ubatan yang telah luput tarikhnya dilarang keras untuk dijual kepada orang ramai. Vaksin telah tamat tempoh merupakan satu kesilapan Dasar dan Perancangan KKM. Apabila melibatkan keselamatan dan kesihatan ianya perlu dikaji sepenuhnya dengan bukti dan tidak dengan mudah memberi kebenaran berdasarkan kelulusan oleh “Badan Berkuasa Antarabangsa” yang dilaporkan ada menyebabkan kecacatan dan kecederaan.

“Ini merupakan satu kerugian yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan itu sendiri dan kerugian akibat vaksin tidak digunakan tidak boleh diserap melalui penambahan atau pelanjutan tempoh hayat sesuatu vaksin,” kata Nadzim.

Wednesday, November 10, 2021

6020) PENIPUAN, PENINDASAN DAN SALAHLAKU DALAM PENGAMBILAN KEMASUKAN PEKERJA ASING KE MALAYSIA DAN PENGLIBATAN SYARIKAT SWASTA DALAM PERMOHONAN PENGAMBILAN PEKERJA ASING - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 10/11/2021

KEMASUKAN PEKERJA ASING KE MALAYSIA MELIBATKAN SYARIKAT / VENDOR SYARIKAT SWASTA DAN SINDIKET PEMERDAGANGAN PEKERJA ASING (PATI) DI DALAM NEGARA

Sejak tahun 1985 negara kita telah membawa masuk pekerja asing untuk menampung keperluan pekerja asing di beberapa sektor ekonomi. Tidak dinafikan, Negara kita amat memerlukan khidmat tenaga asing kerana rakyat kita tidak berminat berkerja di dalam beberapa sektor. Baru-baru ini kita mendapati isu pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) telah menjadi masalah utama Negara kita. Kini isu ini dipandang berat oleh rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan kesan-kesan sampingan yang dibawa oleh pekerja asing dan PATI.

Sejak tahun 1990, sindiket yang membawa masuk pekerja asing ini telah wujud dan telah menyebabkan satu bencana di Negara kita. Sindiket-sindiket ini lebih mengutamakan keutungan dari kebajikan pekerja dan kepentingan majikan yang membawa masuk pekerja asing ke Negara kita. Sindiket-sindiket ini berselindung di sebalik syarikatsyarikat tempatan di mana pengarah atau pemegang syer adalah rakyat tempatan. Sindiket-sindiket ini telah mengaut keuntungan berbillion dan menyebabkan Negara kita rugi dari segi kutipan hasil cukai. Selain dari kerugian dalam pengutipan cukai, Negara kita rugi dari segi pengaliran keluar wang tunai dari Negara kita tanpa pengetahuan kerajaan. Saya akan sertakan beberapa dokumen dan modus operandi penipuan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat ini.

MONOPOLI SYARIKAT SWASTA DALAM PENGAMBILAN PEKERJA ASING

Sejak tahun 2015 terdapat syarikat swasta menguruskan pengambilan pekerja asing melalui satu sistem yang telah dibangunkan oleh syarikat swasta ini dan disambung dengan sistem Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia. Syarikat swasta ini seolah-olah membantu kerajaan dalam pengambilan pekerja asing ke Negara kita tetapi secara amnya mengutip hasil jutaan ringgit di Negara sumber pekerja asing untuk membawa masuk pekerja asing ke Negara kita. Syarikat swasta ini berurusan dengan syarikat atau sindiket di Negara sumber untuk mengutip bayaran RM 15,000 ke RM 20,000 satu pekerja untuk layak berkerja di Negara kita. Pekerjapekerja ini dijanjikan dengan bayaran gaji yang lumayan tetapi akhirnya menjadi mangsa kepada sindiket-sindiket pemerdagangan orang di Negara kita.

Pekerja-pekerja yang datang berkerja di Negara kita adalah dari golongan rakyat miskin. Pekerja-pekerja ini terdiri dari golongan petani dan buruh biasa di Negara mereka. Mereka dipaksa membayar dengan nilai yang begitu tinggi semata-mata untuk datang berkerja di Negara kita. Mereka sanggup jual tanah, rumah dan ternakan mereka untuk membayar kos kepada sindiket-sindiket ini untuk datang ke sini. Ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk membayar kos permit kerja. Harapan mereka untuk berkerja di Negara kita dan menjaga keluarga mereka hancur kerana gaji yang diperolehi hanya boleh mampu membayar hutang mereka di Negara mereka. Syarikat swasta yang menguruskan pengambilan pekerja asing dan sindiket yang mengaut keutungan berjutaan ringgit tetapi majikan dan pekerja asing mengalami kerugian.

SINDIKET PERDAGANGAN MANUSIA DAN PATI

Baru-baru ini Negara kita dikejutkan dengan berita Amerika syarikat telah menyekat import sarung tangan getah dari Negara kita. Tuduhan mereka adalah, kilang-kilang ini menggunakan buruh paksa. Ini adalah satu tuduhan yang benar. Kilang-kilang ini terpaksa mengambil pekerja-pekerja dari sidiket-sindiket untuk menampung kekurangan pekerja. Sindiket-sindiket ini amat cekap mencari pekerja-pekerja di kalangan PATI. Mereka membekal pekerja-pekerja yang terdiri dari golongan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja asing. Sindiket mengambil jalan yang amat mudah dengan membekal PATI sebagai tenaga kerja. PATI-PATI ini tidak ada pilihan lain selain dari mengikut kehendak sindiket-sindiket ini. Pekerja-pekerja ini ditindas dengan pelbagai cara. Mereka tidak dibayar gaji yang mencukupi dan sindiket akan mengambil sebahagian dari gaji mereka. Mereka tidak mendapat sebarang tambahan seperti kemudahan kesihatan dan lain-lain. Mereka ditindas dengan pelbagai cara.

TANGGUNGJAWAB PENGGUNA

Pengguna juga mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Terdapat banyak peranan sosial yang boleh dimainkan oleh pengguna yang mana ianya sering dipandang remeh oleh mereka. Misalnya, troli pasaraya. Banyak pasaraya yang menyediakan pekerja untuk mengutip troli yang dipakai oleh pelanggan. Jika mereka dilatih atau mempunyai sikap rajin untuk meletakkan semula troli itu ditempat khas troli maka pasaraya-pasaraya tidak perlu menyediakan pekerja khusus untuk mengutip troli yang disepah-sepahkan pengguna.

Jika pengguna mempunyai sikap menjaga kebersihan di kawasan awam, khususnya tandas maka pemilik premis tidak perlu menyediakan pekerja yang khusus untuk membersih tandas. Begitu juga dengan sikap membuang sampah merata-rata.

Friday, April 23, 2021

5593) TEGAS TAK BERTEMPAT - KENYATAAN AKHBAR PPIM - 23/04/2021

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius tindakan Pegawai Kesihatan Persekitaran U42, Zuharnan Rashid yang menyaman Masjid Sri Maulana, Pekan, Pahang kerana tidak memaparkan QR Code dan buku pendaftaran lawatan yang merupakan keperluan pematuhan SOP sedangkan kedua-dua prosedur itu ada di masjid cuma masih belum dipaparkan dan diletakkan di tempat yang sepatutnya kerana masih terlalu awal.

Masjid berkenaan telah dikompaun sebanyak RM10,000 kerana kesalahan tersebut.  Namun, persoalannya mengapakah sebagai seorang Islam, Zuharnan tidak menggunakan pertimbangan sebelum mengeluarkan kompaun dan menasihatkan pegawai masjid itu melakukan apa yang sepatutnya? Mengapa terburu-buru untuk mengeluarkan saman? Adakah Ketua Pengarah Kesihatan ada menawarkan insentif atau ada kuota perlu dipenuhi untuk setiap kompaun? Masjid adalah rumah ibadat umat Islam dan agama itu adalah agama persekutuan dan kita yakin Zuharnan juga seorang Islam, mengapa bersikap tegas tak bertempat?

Rakyat kini sudah jelak dan banyak mempersoalkan pelanggaran SOP yang serupa di mana ketidakadilan berlaku dan tiada tindakan diambil jika kesalahan itu dilakukan oleh artis atau ahli politik walaupun kertas siasatan telah dibuka.

Walaupun kompaun itu telah dikurangkan sebanyak 50 peratus dan diselesaikan oleh seorang individu, jumlah wang RM5000 itu boleh dimanfaatkan kepada perkara yang lain, mungkin untuk dihulurkan bantuan kepada saudara mara Zuharnan sendiri!

PPIM berharap Ketua Pengarah Kesihatan memandang serius perkara ini dan menasihatkan pegawai bertugas agar lebih rasional dalam menjalankan tugas mereka. Kami juga menggesa YBhg Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah mengeluarkan kenyataan khas menjelaskan perkara ini agar kekalutan tindakan pegawai ini tidak menjadi amalan pegawai penguatkuasa yang lain.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL