Monday, May 25, 2026

HUTANG KURMA RM1.8 JUTA TAK BAYAR, BERLAKON JADI MANGSA PULA - HARIAN METRO - 23/05/2026

 

Kuala Lumpur: Dakwaan penipuan urus niaga kurma membabitkan seorang ahli perniagaan dari Asia Barat bertukar ancaman apabila seorang akauntan mendakwa diugut dan diganggu pengutip hutang susulan pertikaian tuntutan jutaan ringgit.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Anne, 43, berkata, rumah keluarganya turut diganggu apabila pagar kediaman ditampal nota ugutan sehingga menyebabkan tekanan mental dan ketakutan terhadap keselamatan.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi berhubung kejadian itu.

Dia mendakwa lelaki itu yang juga kenalan suaminya mengemukakan tuntutan palsu kononnya wujud usaha sama perniagaan kurma bernilai lebih RM1.1 juta antara mereka.

Katanya, lelaki berkenaan sebelum itu menyatakan hasrat untuk meminta bantuannya mendapatkan visa dan bekerjasama dalam perniagaan.

Namun katanya, dia kemudiannya menyedari dirinya dipergunakan bagi tujuan mendapatkan dokumen untuk tinggal di negara ini.

"Dia mengambil stok kurma daripada syarikat saya tetapi gagal membuat bayaran lebih RM1.8 juta," katanya yang turut membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, terdapat kemungkinan tuntutan hutang itu tidak berasas selain wujud unsur manipulasi dokumen.

"Nampak ada unsur-unsur yang tidak jelas. Ada kemungkinan ugutan itu memang tidak ada asas dan semata-mata mahu memeras ugut.

"Ada juga kemungkinan berlaku manipulasi dokumen, kerana pengadu mengesahkan memang tidak pernah ada hutang yang wujud antara dua pihak ini.

"Kita dimaklumkan penama adalah pelanggan syarikat swasta yang mengambil stok kurma daripada syarikat pengadu tetapi gagal membuat bayaran," katanya.

Justeru, PPIM menggesa orang ramai supaya tidak panik atau terus membuat bayaran sekiranya menerima ugutan berkaitan hutang tanpa pengesahan sah.

"Kita nasihatkan supaya buat laporan polis, semak dokumen dan ikut proses yang betul jika pasti tidak pernah membuat pinjaman atau menandatangani apa-apa dokumen," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

HUTANG KURMA RM1.8 JUTA TAK BAYAR, BERLAKON JADI MANGSA PULA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/05/1361322/hutang-kurma-rm18-juta-tak-bayar-berlakon-jadi-mangsa-pula

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL