KUALA LUMPUR: Harga sayuran di negara ini dijangka naik secara berperingkat dalam masa terdekat berikutan peningkatan kos pengeluaran.
Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, berkata pihaknya menjangkakan harga bahan mentah itu naik dalam tempoh seminggu dua lagi.
"Ia mungkin akan naik hingga 50 peratus untuk seketika.
"Namun, harganya kemudian mungkin akan turun sedikit pula hingga 30 peratus," katanya kepada BH, hari ini.
Setakat ini, beliau berkata, belum ada kenaikan harga sayuran walaupun kos pengeluaran meningkat dengan cepat.
Katanya, faktor peningkatan kos pengeluaran termasuklah kenaikan harga baja tanaman, serta diesel yang antara lain diperlukan bagi operasi jentera, generator dan pengangkutan.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, berkata pihaknya sering menasihati pengguna supaya berjimat cermat dalam berbelanja.
Bagi mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah, beliau berkata, orang ramai disaran mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan di kawasan rumah untuk kegunaan sendiri.
Antaranya dengan menggunakan teknik hidroponik untuk tanaman seperti bayam, kangkung dan sawi
Selain itu, beliau berkata, pengguna harus membuat pilihan bijak dengan membuat perbandingan harga bagi mendapatkan produk lebih murah atau berpatutan.
"Pengguna berupaya menentukan harga barangan. Jika bijak memilih harga yang berpatutan, peniaga tiada pilihan kecuali menurunkan harga," katanya.
Dalam pada itu, Nadzim juga berpendapat pihak sekolah boleh memanfaatkan ruang dalam kawasan masing-masing untuk membangunkan projek hidroponik.
Selain berkongsi hasil tanaman dengan pelajar, beliau berkata, pihak sekolah juga boleh menjualnya bagi menjana pendapatan sekolah.
"Malah, program seperti hidroponik di sekolah mampu memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan biologi," katanya.
Nadzim berkata, kelab dan persatuan juga boleh memanfaatkan bangunan mereka untuk memulakan projek hidroponik kecil-kecilan, termasuk bagi menampung keperluan ahli.
Media sebelum ini melaporkan harga barangan asas dijangka meningkat akibat peningkatan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.
Artikel oleh: Berita Harian
HARGA SAYURAN DIJANGKA NAIK, MUNGKIN CECAH 50 PERATUS - PERSATUAN PEKEBUN

No comments:
Post a Comment