Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berwajib menyiasat dakwaan kononnya terdapat 'orang dalam' yang terbabit dalam sindiket pemalsuan sijil nikah di negara ini.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan sijil nikah palsu dalam tempoh empat tahun lalu.
Katanya, berdasarkan aduan pengadu, mereka mendakwa sudah menyemak ketulenan dokumen di pejabat agama, namun ia disahkan palsu.
"Semasa proses nikah berlangsung, ada jurunikah dan saksi. Selepas itu dokumen dikeluarkan, ada cop dan tandatangan pegawai berkaitan.
"Tetapi bila jadi isu, semakan dalam sistem mendapati, tiada rekod saksi dan kadi. Dalam kes Nor ini, dia pula ditinggalkan begitu saja, gantung tak bertali.
"Jadi pihak berwajib perlu siasat. Apakah benar ada pembabitan orang dalam yang menjadi dalang atau berlaku manipulasi lain. Isu nikah ini tidak boleh main-main," katanya.
Nadzim berkata, isu pihak mana yang sepatutnya bertanggungjawab tidak wajar berlaku kerana laporan sudah pun dibuat di pejabat agama dan polis.
Katanya, keadaan seperti ini menyebabkan keyakinan masyarakat kepada pihak berwajib terhakis kerana tiada penyelesaian tuntas kepada kes penganiayaan seumpamanya.
"Saya dengar keluhan pengadu yang sudah penat ke sana ke sini, tapi tidak selesai. Dia dimaklumkan kesnya tiada tindakan lanjut (NFA).
"Bagaimana dengan nasib dia dan anaknya selepas ini. Sebab itu kita memerlu siasatan mengenai insiden ini dengan lebih menyeluruh," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
SIASAT 'ORANG DALAM' TERBABIT PALSU SIJIL NIKAH
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1166039/siasat-orang-dalam-terbabit-palsu-sijil-nikah
No comments:
Post a Comment