Saturday, November 9, 2024

PPIM HANTAR SURAT KEPADA PM BANTAH PINDAAN AKTA 342 MIRIP ISA - SINAR HARIAN - 08/11/2024

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantah pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana didakwa menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Penasihatnya, Datuk Asri Yusoff berkata, surat bersama melibatkan 228 badan bukan kerajaan (NGO) merangkumi aktivis masyarakat, pengamal perubatan dan peguam serta rakyat itu diserahkan pada 30 Oktober lalu.

“Kami juga hantar kepada beberapa ahli Parlimen lain bagi menyatakan rasa amat kecewa dengan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan pindaan akta ini pada 14 Oktober 2024.

“Ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, Akta 342 telah digantung akibat bantahan keras termasuk daripada rakyat kerana RUU ini dianggap bersifat drakonian.

“Kuasa penuh diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan. Malah Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Dzulkifly yang berada dalam pembangkang (ketika itu), turut membantah RUU ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Sebelum ini, Dewan Rakyat pada 14 Oktober meluluskan pindaan Akta 342 yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan menangani ancaman penyakit berjangkit.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Tambah Asri, terdapat lima seksyen baharu yang kritikal dan perlu diberi perhatian kerana terdedah kepada risiko penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran privasi selain kadar kompaun tinggi membebankan golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, salah satu seksyen baharu dalam akta itu memberi kuasa kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menahan seseorang yang dituduh bersalah tanpa perlu bicara di mahkamah.

“Pegawai diberi kuasa juga boleh memerintahkan supaya mana-mana orang dijangkiti untuk menjalani pengasingan serta dibenarkan menggunakan kekerasan.

“Malah boleh mengarahkan seseorang individu untuk memakai dan menggunakan suatu peranti pengesanan,” katanya.

Asri turut mendakwa, akta berkenaan mampu menjadi senjata politik, ekonomi, sosial dan agama apabila menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM HANTAR SURAT KEPADA PM BANTAH PINDAAN AKTA 342 MIRIP ISA

https://www.sinarharian.com.my/article/695515/berita/semasa/ppim-hantar-surat-kepada-pm-bantah-pindaan-akta-342-mirip-isa?fbclid=IwY2xjawGbAvRleHRuA2FlbQIxMQABHX3x1_bZ_S6mOB9KgKSh0AhQ-l96Qn4Mp0aQKY2B-7pOTqH7zBRy4_IiHg_aem_hF24OkyIds_KpB1A_gHpcA&sfnsn=wa

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL