Monday, August 5, 2024

KENA TIPU SEBAB MALAS MEMBACA - KOSMO - 05/08/2024

 

PETALING JAYA – Lebih 60 aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setiap tahun membabitkan penipuan jual beli kenderaan menerusi media sosial seperti Facebook dan Tele­gram selain platform e-dagang.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, aduan itu dikemukakan mangsa kepada PPIM selepas menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Katanya, kes penipuan ini mula menunjukkan pening­katan setiap tahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila pembeli tidak dapat keluar ke kedai untuk membuat pembelian.

“Dari PKP benda ini jadi trend, orang tak boleh keluar, tapi masih nak membeli. Jadi semuanya akan cari di online (secara dalam talian).

“Modus operandi penipu menggunakan iklan-iklan menarik dengan tawaran harga istimewa jauh lebih murah daripada harga kedai iaitu antara 10 hingga 15 peratus diskaun.

“Penipu ini juga selalunya akan mengenakan bayaran pendahuluan kepada pembeli serendah RM500 dan berjanji kenderaan mereka akan sampai dalam tempoh satu hingga dua bulan dan kemudian terus menghilangkan diri,” katanya kepada Kosmo!.

NADZIM

Tambah Nadzim, selain daripada ‘perangkap’ pembeli ­dengan janji-janji manis, jurujual kenderaan tidak wujud ini akan membantu mereka membuat pinjaman dengan mana-mana bank sehingga lulus sebelum meninggalkan mereka tanpa ­berita.

“Kalau sampai ke tahap pinjaman lulus, pembeli akan lebih percaya. Lepas pinjaman lulus, pembeli perlu buat beberapa bayaran termasuk pengurusan pemasangan aksesori kenderaan, cukai jalan, cukai kastam dan insurans yang boleh cecah ribuan ringgit.

“Ada juga yang beli motosikal secara tunai tanpa pinjaman. Kebanyakan antara RM5,000 hingga RM12,000. Penipu ini akan minta pembeli membuat pembayaran 50 hingga 70 peratus sebelum motosikal tersebut dihantar ke alamat pembeli.

“Akhirnya, mereka tinggalkan pembeli, nombor telefon ditukar serta-merta, nombor pembeli disekat. Ada yang masih berharap, ada juga yang telah buat laporan polis,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ­penipuan jual beli kereta dalam talian menunjukan peningkatan apabila lebih 1,336 kes dilaporkan dengan kerugian RM18.9 juta pada 2022.

Bagi 2021 pula melibatkan 306 kes dengan kerugian RM4.4 juta dan ia terus meningkat kepada 332.4 peratus pada 2022.

Artikel oleh: Kosmo

KENA TIPU SEBAB MALAS MEMBACA

https://www.kosmo.com.my/2024/08/05/kena-tipu-sebab-malas-membaca/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...