Tuesday, August 29, 2023

'BUKAN AHLI POLITIK SAJA, TAPI SIASAT JUGA NGO, ORANG AWAM YANG SENTUH ISU 3R' - BERITA HARIAN - 29/08/2023

 

KUALA LUMPUR: Siasatan yang dijalankan terhadap pihak yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi raja (3R) yang boleh menggugat keharmonian negara perlu dilakukan bukan hanya membabitkan ahli politik, tetapi juga pihak lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Langkah itu bagi membuktikan penguatkuasaan undang-undang dilakukan secara adil dan bebas tanpa memihak kepada sesiapa, pangkat atau status.

Susulan itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata tindakan diambil pihak berkuasa menyiasat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar pada minggu lalu, wajar dilakukan.

Beliau berkata, sebagai pemimpin parti yang lama dalam arena politik, Abdul Hadi sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti kaum, agama dan isu membabitkan institusi raja.

"Kita menyokong siasatan dibuat terhadap Abdul Hadi untuk dijadikan pengajaran kerana tindakannya menggunakan isu 3R dalam ceramah seperti ini tidak boleh dijadikan amalan.

"Bagaimanapun, kita berharap siasatan terhadap pihak lain yang turut menyentuh isu 3R ini turut dijalankan kerana perkara itu bukan hanya dilakukan ahli politik, malah NGO dan orang awam juga," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri, dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai mengikut ajaran Islam.

Semalam, polis mengesahkan menyiasat kenyataan Abdul Hadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman yang sabit kesalahan, boleh didenda maksimum hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan dijalankan polis susulan kenyataan Abdul Hadi dalam ceramah di Markas PAS, Bakri, Muar, Johor, pada Sabtu lalu, didapati mempunyai unsur 3R kerana mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan yang mempunyai kaitan dengan institusi raja.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kenyataan dalam ceramah Ahli Parlimen Marang itu, malah sudah menghubungi Abdul Hadi untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan.

Nadzim berkata, pihak berkuasa juga harus menjelaskan had bagi setiap rakyat Malaysia dalam menyuarakan pendapat mengenai isu 3R.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengetahui sama ada orang awam dan NGO yang mempertahankan bangsa dan agamanya dikatakan menyentuh isu 3R atau hanya dalam kes tertentu saja.

"Jika tidak boleh sebut langsung, apa pula peranan NGO yang berasaskan agama Islam atau bukan Islam, bukankah NGO seperti kami sering menyentuh isu agama dan bangsa, jadi adakah itu satu kesalahan.

"Kita akui undang-undang yang ada memang baik untuk menjamin keharmonian negara, namun kami berharap tidak timbul masalah berat sebelah atau hanya menyasarkan golongan tertentu apabila banyak pihak membuat kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.

"Contohnya isu pengajian 40 hadis di sekolah agama baru-baru ini apabila banyak pihak membuat ulasan termasuk mengugut mahu mengambil tindakan mahkamah jika kerajaan meneruskan program itu sedangkan mereka bukan beragama Islam dan tiada kaitan dengan isu berkenaan.

"Adakah itu juga dikategorikan sebagai isu 3R kerana tindakan segelintir ahli politik dan NGO bukan Islam yang menyentuh isu pengajian 40 hadis itu turut mengganggu keharmonian kami sebagai rakyat yang mahu hidup aman di negara ini," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

'BUKAN AHLI POLITIK SAJA, TAPI SIASAT JUGA NGO, ORANG AWAM YANG SENTUH ISU 3R'

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1146141/bukan-ahli-politik-saja-tapi-siasat-juga-ngo-orang-awam-yang-sentuh

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...