Friday, July 14, 2023

PPIM GESA BNM PANTAU SYARIKAT KUTIP HUTANG - SINAR HARIAN - 13/07/2023

 

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) memantau kegiatan syarikat pengutip hutang yang didakwa bertindak tidak mengikut garis panduan ditetapkan serta melakukan gangguan sehingga menjejaskan kesihatan mental penghutang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung syarikat pengutip hutang yang bertindak melampaui batas.

"Tindakan pengutip hutang atau ‘debt collector’ sewenang-wenangnya bertindak mengugut mangsa tanpa mempertimbangkan usaha mereka dalam menyelesaikan hutang berkenaan.

“Walaupun had kebankrapan sudah dinaikkan, pihak pemungut hutang tidak mempedulikan undang-undang itu malah mengugut untuk melelong harta yang bukan milik mangsa," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Nadzim berkata, PPIM menggesa pihak berkuasa agar bertindak lebih tegas dan memastikan syarikat yang membeli fail hutang lapuk daripada institusi perbankan dikawal selia dan dipantau mengikut peruntukan undang-undang.

"Pihak bank tidak sewajarnya lepas tangan selepas ‘menjual’ akaun penghutang yang mempunyai tunggakan hutang kepada pihak ketiga atau ‘debt collector'.

“Syarikat pengutip hutang pula seperti bebas melakukan apa sahaja untuk mendesak penghutang membayar hutang mereka termasuk melakukan ugutan," katanya.

Beliau berkata, BNM atau kementerian berkaitan perlu menangani isu tersebut.

"BNM wajar melihat dengan lebih mendalam isu ini dengan memastikan syarikat pengutip hutang mematuhi panduan yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Saharah, 40-an, dia kini hidup dalam keadaan tertekan selepas didatangi pengutip hutang mahu melelong rumah dan barangan dalam kediaman keluarganya.

“Pengutip hutang itu turut mencari saya di pejabat bekas majikan dan berjumpa dengan rakan sekerja serta pihak sumber manusia termasuk bekas suami, ia menyebabkan semua orang tahu mengenai masalah saya.

“Pengutip hutang itu kemudian datang bawa notis mahkamah mahu melelong barangan dan kediaman saya sedangkan kediaman itu bukan atas nama saya, ia milik keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia membuat pinjaman peribadi RM100,000 dengan sebuah bank pada 2006 untuk membiayai perubatan ibunya yang menderita kanser dan perbelanjaan lain sebelum ibunya meninggal dunia pada 2011.

Saya tidak mampu membayar pinjaman sejak 2015 kerana terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayah yang menghidap kanser prostat.

"Kini saya dimaklumkan oleh syarikat pengutip hutang itu bahawa tunggakan hutang meningkat sehingga RM226,000," katanya.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nurul, 41, berkata, dia membuat pinjaman peribadi berjumlah RM38,000 pada 2013 dan kini perlu membayar tunggakan berjumlah RM55,000.

“Saya gagal bayar pinjaman sejak 2018 selepas ibu saya meninggal dan saya pula terpaksa berhenti kerja di sektor perbankan dan sehingga kini masih belum bekerja.

“Pada awal Jun lalu, saya didatangi pengutip hutang menghantar notis mahkamah untuk menyita barangan dalam rumah, tapi bila saya minta salinan notis, mereka enggan beri.

“Saya pergi ke mahkamah, namun mereka maklumkan bahawa tiada notis sita dikeluarkan terhadap saya. Ini menunjukkan pengutip hutang itu hanya mahu mengugut saya dengan menggunakan notis mahkamah,” katanya.

Menurut kedua-dua mangsa, mereka bersedia untuk membayar semula hutang berkenaan sekiranya pihak bank mahu menjalankan rundingan untuk pembayaran semula dan bukan dengan syarikat pengutip hutang yang memanipulasi situasi mereka.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA BNM PANTAU SYARIKAT KUTIP HUTANG

https://www.sinarharian.com.my/article/268109/berita/semasa/ppim-gesa-bnm-pantau-syarikat-kutip-hutang

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...