Saturday, June 25, 2022

PPIM, KPMC PERKASA PELANCONGAN PERUBATAN - SINAR HARIAN - 18/06/2022

 

KAJANG - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kajang Plaza Medical Center (KPMC) telah menjalinkan kerjasama untuk memperkasakan industri pelancongan perubatan di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, industri pelancongan perubatan tersebut akan menarik warga luar negara untuk mendapat rawatan perubatan sekali gus menyumbang kepada hasil pelancongan negara.

"PPIM sendiri sebagai sebuah organisasi perintis kepada pembentukan Standard Sistem Pengurusan Hospitaliti Mesra Muslim yang pertama di dunia melihat industri ini sangat penting selain KPMC juga menawarkan kemudahan perubatan terbaik dan berkualiti.

"Kerjasama ini juga akan memastikan rawatan alternatif serta tradisional tidak akan terpinggir dan pesakit dapat membuat pilihan di KPMC bentuk rawatan yang akan dipilih dalam pakej pelancongan perubatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama KPMC pada Sabtu.

Pada majlis sama, KPMC turut memeterai MoU bersama Sihat Malaysia Holding Berhad yang diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Dr Jaya Chandran.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPMC Kajang, Datuk Saroni Judi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan PPIM dan ejen pelancongan untuk menjadikan KPMC sebagai lokasi yang akan dilawati pelancong.

"Kami menyedari potensi PPIM yang mempunyai jaringan dalam pelbagai bidang sekali gus akan memastikan industri pelancongan perubatan ini dapat berkembang.

"Selain itu, kami juga menumpukan kepada pelancong yang bukan hanya untuk pelancongan perubatan. Kerjasama ini akan memastikan KPMC menjadi tempat lawatan dan kami akan memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada mereka.

"Jadi, mereka dapat pengalaman di sini dan mereka akan bercakap tentang khidmat atau rawatan perubatan yang diberikan di KPMC apabila pulang ke negara mereka. Itu caranya untuk kita tarik pelancong," katanya.

Mengulas mengenai MoU bersama Sihat Malaysia Holding, Saroni menjelaskan kerjasama itu akan menyaksikan pesakit yang mendapatkan rawatan di KPMC dapat membuat pinjaman tanpa faedah untuk mendapatkan rawatan.

"Ini konsep yang baharu dan boleh menyelesaikan masalah pesakit yang mempunyai kekangan kewangan dan memerlukan rawatan segera. Walaupun nilai yang boleh dipinjam itu tidak banyak iaitu RM3,000 bagi setiap individu, namun sedikit sebanyak dapat membantu pesakit," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM, KPMC PERKASA PELANCONGAN PERUBATAN

https://www.sinarharian.com.my/article/207594/EDISI/PPIM-KPMC-perkasa-pelancongan-perubatan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...