Monday, November 22, 2021

6040) KERAJAAN DIDESAK SELESAI ISU INDUSTRI PENGANGKUTAN DARAT - UTUSAN MALAYSIA - 21/11/2021

 

SHAH ALAM : Persatuan pengangkutan awam darat terdiri daripada bas, lori, e-hailing, p-hailing dan teksi mendesak kerajaan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan industri  terbabit yang berlarutan sejak sekian lama.

Persatuan terbabit antaranya mahu supaya kerajaan mewujudkan lebih daripada satu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), isu ketidaksamarataan tambang dan komisyen melibatkan pemandu teksi dengan kenderaan e-hailing dan p-hailing serta subsidi bahan bakar antara 25 hingga 30 peratus.

Hal demikian dijelaskan Yang Dipertua (YDP) Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain yang memaklumkan, isu dihadapi pemain industri pengangkutan darat itu tidak selesai walaupun tiga kali bertukar kerajaan.

“Hari ini enam persatuan terdiri daripada persatuan bas, lori, e-hailing, p-hailing, teksi merangkumi kereta sewa, limosin, teksi lapangan terbang seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menandatangani memorandum ini.

“Kita mempunyai 1.2 juta ahli di seluruh negara dan ini merupakan sejarah di Malaysia yang mana kita akan satukan semua komuniti persatuan pengangkutan darat ini dalam satu pasukan,” katanya pada sidang akhbar penyatuan pemain industri pengangkutan darat Malaysia di sini semalam.

Sidang akhbar itu turut dihadiri YDP Gabungan Teksi Sabah, Tamrin Eraba; Pengerusi Persatuan Bas SKH Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Mohd. Haron Mohd. Sidik; Pengerusi KPePM (E-hailing), Mohd. Hezri Izmir Shahril; AMT Persatuan Lori dan Bas Perak, Mohd. Khairillah Md. Ali dan Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani.

Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, Kamarudin memberitahu, mereka melihat suara industri pengangkutan darat tidak didengar ketika bergerak sendirian dan mahu kerjasama dilakukan memberikan impak besar terhadap tuntutan tersebut.

Justeru, pihaknya akan mencadangkan kepada kumpulan besar itu untuk berani berubah daripada kumpulan merayu kepada mendapatkan punca kuasa untuk mengubah segala dasar yang merugikan kumpulan itu selama ini.

“Kita dulu terlalu mempercayai orang politik tapi apabila mereka menang (pilihan raya), mereka tidak nampak kita semua.

“Kalau kita bergerak dalam bukan menerusi  pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita sekadar setakat merayu. Jadi kita perlu keluar daripada kotak. Kita perlu mendapatkan punca kuasa untuk mengubah segala dasar tidak baik untuk kita.

“Jadi, kita ambil keputusan untuk menyasarkan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk mendapatkan kerusi Kementerian Pengangkutan. Kita mahu wakil industri diangkat sebagai menteri menggantikan orang-orang politik yang tidak pernah rasa keperitan dan kesusahan pemain industri,” ujarnya.

Sementara itu, Nadzim berharap kerajaan dapat mengambil berat permasalahan dihadapi pemain industri terbabit.

“Kita harap kerajaan buat sesuatu. Jadi kita (PPIM) hendak kumpulan ini sedar dan bersatu, ini amaran kepada siapa jadi pemimpin kena tengok ini (masalah mereka).

“Mereka ada sejuta ahli dan kita mahu perkara ini berubah. Mereka juga ada kekuatan politik. Kalau parti nak sokongan, bagi mereka ini suara. Mereka ini suara pun tidak ada. Menteri (pengangkutan) cerita pasal lain, pasal tanah, Vellfire baru,” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

KERAJAAN DIDESAK SELESAI ISU INDUSTRI PENGANGKUTAN DARAT

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/11/kerajaan-didesak-selesai-isu-industri-pengangkutan-darat/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...