Thursday, September 10, 2020

5916) PATUT BATAL SAJA SEMUA LESEN JUDI - ISMAWEB - 09/09/2020


BANGI, 21 Muharram 1442H, Rabu – Sudah tiba masanya kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan semua lesen perniagaan membabitkan aktiviti perjudian.

Bahkan, pihak yang menyalahguna lesen – berselindung di sebalik premis bagi melindungi kegiatan perjudian haram juga wajar dibatalkan lesen, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

“Jika boleh, individu yang berjudi termasuk mereka yang membeli nombor ekor juga perlu disabitkan kesalahan.

“Kalau kita tengok orang beli, maknanya kita juga harus sabitkan kesalahan ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Polis Johor meminta PBT menyenarai hitam mana-mana pemegang lesen perniagaan yang menyalahguna lesen berkenaan bagi melindungi aktiviti perjudian

Tindakan itu bagi memastikan mereka tidak mengulangi perbuatan itu di masa akan datang, kerana siasatan mendapati ada premis yang terus menjalankan aktiviti sama walaupun sudah beberapa kali diserbu.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan polis yang mengenal pasti beberapa fakta tidak tepat menerusi video tular Asri Janggut, Nadzim berkata, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan perkara itu dan mengganggap tindakan pihak berkuasa adalah terbaik.

“Kita rakyat dan orang bawahan. Jadi, apa yang berlaku mungkin berdasarkan siasatan yang dibuat dan ia diluar bidang kuasa kita.

“Kita tengok kepada kes dan biar mahkamah buat keputusan,” katanya.

Hasil siasatan dan laporan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) mendapati beberapa fakta tidak tepat menerusi video ditularkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, beliau telah meneliti laporan tersebut dan mendapati beberapa perkara dibangkitkan dalam video itu kurang tepat.

“Ini kerana pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh tidak menerima sebarang ganjaran atau rasuah bagi banteras kes judi di daerah itu,” katanya.


Artikel oleh: Ismaweb

PATUT BATAL SAJA SEMUA LESEN JUDI

https://ismaweb.net/2020/09/09/patut-batal-saja-semua-lesen-judi/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...