Tuesday, September 8, 2020

5901) PENGGUNA BOLEH FAIL SAMAN - BERITA HARIAN - 07/09/2020

 


KUALA LUMPUR: Pengguna boleh memfailkan saman terhadap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) jika didapati pihak berkenaan cuai dalam menjalankan tugas berkepentingan awam.

Profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata tindakan itu boleh diambil, tetapi susulannya bergantung kepada mahkamah.

"Memang kerajaan negeri dan PBT ada perlindungan undang-undang daripada dikenakan tindakan saman dalam menjalankan tugas awam. Ada dua akta penting mengenai liabiliti agensi awam ini iaitu Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka tidak boleh disaman. Isunya adalah setakat mana mereka cuai dalam menjalankan tugas dan ia memerlukan banyak perincian apabila di mahkamah nanti.

"Saman boleh difailkan pengguna, pihak defendan akan membuat bantahan dan mahkamah perlu menentukan sama ada saman boleh diteruskan ke peringkat perbicaraan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ditanya sama ada syarikat pembekal air bersih juga boleh disaman oleh pengguna termasuk peniaga yang mengalami kerugian apabila bekalan air terputus, beliau berkata, walaupun kerugian dapat dibuktikan, itu saja kadangkala tidak mencukupi.

Katanya, syarikat pembekal air bersih mungkin tidak melakukan sebarang kecuaian sehingga berlaku pencemaran kepada sumber air, sebaliknya insiden berkenaan dilakukan pihak ketiga.

"Bagi pihak industri, kerugian boleh dibuktikan melalui pendapatan mereka yang terjejas, namun bagi pengguna domestik, mereka lebih sukar untuk membuktikan kerugian secara objektif.

"Persoalannya adalah sama ada syarikat pembekal air sudah mengambil langkah munasabah untuk melindungi bekalan air daripada tercemar. Ini adalah beberapa isu yang perlu dilihat dengan mendalam," katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan melakukan proses pemutihan ke atas kilang atau bengkel beroperasi berhampiran sungai bagi memastikan kawalan dan penguatkuasaan dapat dilakukan lebih teliti, sekali gus mengelak pencemaran sumber air itu.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan termasuk di peringkat negeri perlu mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah kilang yang beroperasi di lokasi sedemikian.

"Kita perlu tahu berapa kilang yang ada di tepi sungai, yang boleh menjadi faktor pencemaran. Jangan esok, lima kilang lagi dibenarkan dibuka di situ (tepi sungai). Ini tidak boleh berlaku," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu menyemak semula undang-undang sedia ada, sama ada ia berkesan dalam mengekang masalah pencemaran sumber air, selain membuat pemantauan lebih kerap ke lokasi perindustrian berhampiran sumber berkenaan.

"Ada syarikat (kilang atau bengkel beroperasi berhampiran sumber air) mengaut untung berjuta-juta, tetapi sisa kilang dibuang begitu saja ke dalam sungai. Ini tidak boleh terus berlaku, perlu ada undang-udang lebih tegas untuk mengawal semua ini.

"Pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan sisa industri boleh diuruskan dengan cara lain seperti (rawatan) di kilang itu sendiri atau mana-mana tempat pelupusan yang lebih sesuai dan diluluskan pihak berkuasa," katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

PENGGUNA BOLEH FAIL SAMAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/728587/pengguna-boleh-fail-saman

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...