Saturday, April 16, 2016

2680) PEGUAM DIDAKWA CURI WANG PAMPASAN INSURANS MANGSA KEMALANGAN – MALAYSIA KINI – 15/4/16




Seorang peguam yang dilantik bagi menguruskan hal berkaitan insurans kemalangan didakwa mencuri wang enam pelanggannya, dengan kos kerugian keseluruhan mencecah RM200,000.

Peguam itu didakwa mengeluarkan wang daripada akaun mangsa kemalangan dengan meniru tandatangan mereka sejak empat tahun lalu.

Perkara ini didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada sidang media di ibu negara hari ini.

Keenam-enam pengadu turut hadir dalam sidang media itu.

Nadzim mendakwa “kerja jahat” itu dibuat melibatkan kerjasama dengan pegawai bank.

“Wang mereka telah dikeluarkan dari bank tanpa pengetahuan mereka.

“Ini perkara yang sangat membimbangkan, kerjasama antara pegawai bank dengan peguam merupakan satu kolaborasi parah yang boleh menjual negara ini dan ia perlu diatasi,” katanya.

Mohd Hafiz Mohd Ariffin, 34, mendakwa peguam itu telah mengambil sejumlah RM16,660 daripada jumlah keseluruhan pampasan yang diterima, sebanyak RM55,000, pada 2011.

“Pelbagai alasan telah diberikan oleh peguam berkenaan apabila diminta untuk menjelaskan tindakannya yang mengambil RM16,660 itu.

“Malah, peguam itu juga telah memalsukan tandatangan saya,” dakwanya.
Hafiz berkata telah membuat laporan polis dan aduan kepada Badan Peguam Malaysia tetapi tiada jawapan diterima sehingga kini.

Mangsa-mangsa lain dikatakan telah membuat tindakan sama.
Sementara itu, Nadzim memohon Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertindak segera terhadap aduan itu.

Badan Peguam Malaysia juga diharapkan dapat “mendisiplinkan ahli-ahli mereka supaya tindakan dapat diambil tanpa wujudnya keraguan”.



Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...