Monday, August 15, 2011

BERITA 376) PILIHAN HARIAN METRO 14 OGOS 2011 : Ubat ‘haram’ masih berleluasa



Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my



APABILA sakit badan, demam, pening kepala atau sakit gigi, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran setiap daripada kita pastinya adalah ubat.

Bukan sekadar sakit saja, sebaliknya dalam kehidupan kita juga, ubat adalah satu kemestian, terutama dalam penjagaan tubuh badan.

Paling mudah adalah penggunaan ubat gigi bagi melindungi gigi dan sabun bagi melindungi badan daripada bakteria dan kekotoran.

Menjadi kelaziman, kita yakin ubat diambil mampu menyembuhkan sakit dan disebabkan itu juga mentaliti masyarakat akan mengatakan ubat adalah bagus dan baik untuk tubuh.


Oleh kerana itu juga, tidak hairan pelbagai ubat-ubatan boleh didapati dengan mudah sama ada melalui preskripsi diberi pakar perubatan di pusat perubatan, farmasi, kedai . Apabila sakit badan, demam, pening kepala atau sakit gigi, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran setiap daripada kita pastinya adalah ubat.

Bukan sekadar sakit saja, sebaliknya dalam kehidupan kita juga, ubat adalah satu kemestian, terutama dalam penjagaan tubuh badan.

Paling mudah adalah penggunaan ubat gigi bagi melindungi gigi dan sabun bagi melindungi badan daripada bakteria dan kekotoran.

Menjadi kelaziman, kita yakin ubat diambil mampu menyembuhkan sakit dan disebabkan itu juga mentaliti masyarakat akan mengatakan ubat adalah bagus dan baik untuk tubuh.

Oleh kerana itu juga, tidak hairan pelbagai ubat-ubatan boleh didapati dengan mudah sama ada melalui preskripsi diberi pakar perubatan di pusat perubatan, farmasi, kedai runcit hinggalah di kedai kaki lima asalkan ubat diambil mampu menyembuhkan sakit dialami.

Namun tahukah anda, walaupun ubat dalam pasaran dihasilkan untuk satu tujuan iaitu menyembuhkan penyakit, sebenarnya ada yang menggunakan bahan diharam oleh syarak, sekali gus haram diambil umat Islam.

Bukan hanya kerana prosesnya tidak mengikuti hukum syarak, malah kebanyakannya menggunakan bahagian daripada bangkai haiwan yang tidak disembelih, termasuk babi.

Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, rakyat di negara ini sememangnya terdedah kepada pengambilan ‘ubat haram’ tidak kira bagi tujuan rawatan perubatan, kecantikan atau penjagaan kesihatan.

“Berdasarkan ujian dilakukan, kami dapati boleh dikatakan banyak ubat dalam pasaran di negara ini diperbuat daripada campuran unsur babi.

“Bahagian babi ini pula bukan hanya membabitkan penggunaan gelatin, sebaliknya semua bahagian, daripada kulit, bulu, kelenjar pituitari, pankreas, usus, otak, plasma hinggalah hempedu,” katanya.

Kegunaan bahagian haiwan, termasuk babi

Mungkin akan timbul persoalan mengapa pula bahagian haiwan seperti babi digunakan dalam proses perubatan?

Adakah kerana penemuan saintifik mengenai keberkesanan bahagian babi dalam menyembuhkan badan terhadap melawan serta merawat penyakit dihidapi?

Jawapan sebenarnya mudah, ini kerana unsur daripada haiwan seperti babi digunakan sebagai ‘pembawa’ atau ‘pengikat’ terhadap kandungan ubat dihasilkan.

Pembawa atau pengikat dimaksudkan adalah unsur seperti ‘gliserin’ atau minyak yang dicampurkan bagi membolehkan sebatian ubatan berkenaan digunakan.

“Dalam konteks sains, memang wujud pelbagai unsur yang digunakan bagi menghasilkan ubat seperti yang berbentuk gel atau nano partikel. Namun kos untuk menggunakannya sangat tinggi kerana bahan berkenaan mahal, sekali gus menyebabkan produk dihasilkan perlu dijual mahal.

“Bagi menjimatkan kos, syarikat yang mengeluarkan produk ubatan berkenaan menggunakan bahan daripada babi yang secara tidak langsung mengurangkan harga jualan produk ubatan mereka serta mampu dibeli orang ramai,” katanya.

Bahagian daripada babi digunakan secara meluas dalam penghasilan ubat berikutan lebih mudah didapati dan kosnya murah berbanding bahagian haiwan lain seperti lembu.

Selain itu, ketiadaan undang-undang yang mensyaratkan setiap produk ubatan dihasilkan perlu dilabelkan sebagai haram atau halal menyebabkan ramai masyarakat kurang berhati-hati dan berwaspada dalam pengambilannya.

“Ramai daripada kita pergi berjumpa doktor atau farmasi untuk mendapatkan ubat jika sakit. Kita bertanya adakah ubat itu elok untuk sakit dialami dan mampu merawatnya atau tidak, tetapi langsung tidak bertanya kandungan sebenar ubat.

“Ini satu punca lambakan ubat haram di pasaran kerana masyarakat tidak membuat pilihan, sebaliknya hanya menerima saja apa yang boleh didapati dengan mudah. Jika masyarakat dapat menolak kehadiran ubat haram dan mengambil ubat halal, lambakan ubat haram tidak berlaku,” katanya.

Sudah lumrah bila sebut pasal ubat, orang beranggapan ia membabitkan penggunaan teknologi makmal sains perubatan yang mendalam dengan pelbagai uji kaji yang pastinya bebas daripada unsur memudaratkan kesihatan dan bertindak sebagai ejen rawatan.

“Yang perlu difahami sebenarnya adalah ubat dihasilkan hanya diuji supaya selamat diambil, tidak memberi kesan sampingan serta memberi kesan mujarab sebagaimana kegunaannya iaitu bagi menahan kesakitan, mengekalkan kecantikan dan kesihatan mahupun merawat sakit dialami.

“Namun ia tidak diuji sama ada halal digunakan atau tidak,” katanya.

Menurut Syed Azhar, kebanyakan ubat berkenaan diimport, namun tidak dinafikan ada ubat dihasilkan dalam negara juga mempunyai unsur daripada bahagian babi.

Ini berdasarkan kajian Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, yang mengesahkan wujudnya kandungan daripada unsur babi terhadap ubat yang turut didapati dengan mudah di kedai runcit dan boleh dibeli oleh kanak-kanak seawal usia sekolah rendah.

Kajian dijalankan juga mendapati daripada setiap 10 produk ubatan di pasaran negara ini, tiga diuji positif mempunyai kandungan babi.

Ubat-ubatan berkenaan membabitkan pelbagai jenis sama ada moden mahupun tradisional, termasuk bagi rawatan kecantikan, perubatan mahupun ubatan berbentuk supplemen yang meliputi pelbagai jenis vitamin bagi memastikan diri sentiasa kekal sihat dan cergas.

“Ubat haram ini bukan saja membabitkan pil, tablet, kapsul, cecair yang disapu pada kulit, ditelan atau disuntik, malah turut membabitkan jamu, campuran herba dan serbuk.

“Namun, paling merisaukan kita adalah ada antara ubat ini memang boleh didapati dengan mudah,” katanya.

Fatwa mengenai penggunaan gelatin haiwan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Kelapan yang bersidang pada September 1984 membincangkan mengenai isu penggunaan gelatin dalam ubat.

Muzakarah memutuskan, penggunaan gelatin dalam ubat pada waktu itu diharuskan kerana darurat.

Jika ada bahan halal yang dapat menahan ubat daripada cepat rosak, penggunaan
gelatin dalam ubat tidak lagi diharuskan.

Namun, selepas tempoh itu adakah penggunaan gelatin daripada bahan haram berkenaan masih diharuskan, sedangkan wujud kaedah yang mampu menghasilkan gelatin daripada sayuran serta haiwan yang disembelih mengikut kaedah Islam dan hukum syarak.

Menurut Syed Azhar, masyarakat perlu tahu ubat-ubatan mengandungi bahagian babi dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat pendaftaran ditetapkan, terutama daripada segi kualiti, selamat dan tiada kesan sampingan yang memudaratkan.

Disebabkan itu, masyarakat perlu mengambil peranan dengan membuat semakan dengan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM atau mana-mana makmal milik swasta atau kerajaan di negara ini mengenai status kandungan produk ubatan yang mereka ingin ambil.

Menurut Syed Azhar, dalam kebanyakan kes, tidak timbul isu bahawa pengguna mahupun pesakit, khususnya yang beragama Islam, tiada pilihan dan terpaksa mengambil ubatan yang mempunyai unsur haram berikutan kebanyakan ubat pada masa kini sebenarnya mempunyai alternatifnya sendiri.

“Tidak timbul dilema bahawa wujudnya keterpaksaan dalam pengambilan ubat-ubatan kerana ubat atau kaedah perubatan yang wujud pada masa kini bukan hanya dihasilkan oleh negara bukan Islam.

“Sebaliknya, boleh dikatakan kebanyakan negara Islam di seluruh dunia menghasilkan ubatan yang mengikuti hukum syarak serta halal, berfungsi
serta berkesan seperti produk ubatan haram yang ada,” katanya.

FAKTA

Mungkin ramai orang Islam tidak tahu bahawa label bertulis ‘This product contain substance from porcine’ sebenarnya bermaksud ‘Produk ini mengandungi bahan daripada babi’. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah ‘The source of gelatin capsule is porcine’ yang bermaksud ‘Kapsul dari gelatin babi’. 

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi

1. Pork: Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan
2. Swine: Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesies babi
3. Pig: Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kurang daripada 50kg
4. Hog: Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50kg
5. Porcine: Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan sumber yang berasal daripada babi
6. Boar: Babi liar
7. Lard: Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun
8. Bacon: Daging haiwan yang disalai, termasuk babi
9. Ham: Daging pada bahagian paha babi
7. Sow: Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan)
8. Sow Milk: Susu babi

Bahagian babi yang sering diguna dalam penghasilan produk

PANKREAS - bagi menghasilkan insulin
LEMAK - digunakan dalam proses pembuatan susu, alat kosmetik, perisa serta pewarna tambahan, tablet serta minyak
DARAH - digunakan bagi menghasilkan serum atau vaksin serta tablet
TULANG - bagi penghasilan gelatin, cairan atau emulsifier dalam ubat, minuman dan makanan. Juga digunakan dalam penghasilan kalsium fosforus dalam produk ubat gigi serta susu
KULIT - penghasilan kolagen dalam perkakasan kosmetik serta ubat bagi rawatan kecantikan
ORGAN DALAMAN - bagi penghasilan media fermentasi seperti etanol, laktat, aseton atau butirat


KETIADAAN LABEL HALAL KELIRUKAN PENGGUNA

KUALA LUMPUR: “Pengguna perlu bijak menangani isu ini kerana isu halal atau haram bukan saja mengenai soal makan dan minuman, sebaliknya membabitkan seluruh perkara, termasuk pengambilan ubat-ubatan,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengenai lambakan ubat haram di pasaran, terutama yang menggunakan bahagian babi.

Menurut Nadzim, masyarakat perlu memandang serius masalah ini dan jangan hanya menerima saja apa diberi pakar perubatan, ahli farmasi atau membeli ubat-ubatan secara membuta tuli tanpa meneliti atau mengesahkan kandungan ubatan berkenaan.

“Sebenarnya, isu ini sudah lama menarik perhatian PPIM kerana kita merasakan dengan perkembangan teknologi masa kini, ubat-ubatan halal banyak dihasilkan bagi menggantikan ubatan haram yang dulunya diharuskan untuk diambil oleh pengguna Islam.

“Pada masa kini, banyak syarikat Islam turut mengeluarkan ubat-ubatan yang memang dijamin halal. Namun kerana tiadanya peruntukan yang mensyaratkan keperluan meletakkan label haram atau halal, pengguna menjadi keliru,” katanya.


Nadzim berkata, kekeliruan itu akhirnya menyebabkan masyarakat, khususnya pengguna Islam yang sememangnya kurang pengetahuan mengenainya, memandang remeh isu pengambilan ubat, sekali gus tidak mempedulikan soal halal dan haram.

Katanya, pihak bertanggungjawab seperti jabatan agama serta Kementerian Kesihatan perlu sedar mengenai hakikat ini dan mempraktikkan undang-undang yang mensyaratkan pengeluar ubat-ubatan dalam negara atau ubat yang diimport meletakkan label halal atau haram.

“Yang menjadi persoalan pada masa kini, mengapa undang-undang ini tidak dapat dipraktikkan. Ini sebenarnya bukan saja membabitkan isu kepenggunaan, malah tanggungjawab pihak berwajib serta hak pengguna.

“Jika ini pun gagal dilaksanakan, bermakna ia menafikan hak pengguna untuk mengetahui perkara benar,” katanya.

Menurutnya, sebagai agensi bertanggungjawab, mereka sepatutnya bertindak sebagai badan yang menguar-uarkan perkara betul kepada masyarakat, sekali gus mendidik mereka, dan bukan memandang sepi perkara ini.

“Memang kita mengetahui dalam sesetengah kes perubatan, ubatan haram perlu digunakan kerana ketiadaan ubatan halal untuk merawatnya, tetapi pengguna perlu dimaklumkan mengenainya kerana ia membabitkan soal hak.

“Jadi, mahu atau tidak untuk mengambilnya, terserah kepada pengguna berdasarkan kepercayaan mereka,” katanya.

Selain itu, Nadzim berkata, pengguna perlu bijak dan berani bertanya mengenai isi kandungan ubatan yang diberi kepada mereka dan pihak farmasi atau pakar perubatan perlu mewujudkan satu etika pemberian ubat-ubatan kepada pesakit.

“Kini kita ada etika pemberian ubat, di mana ubat hanya diberi kepada pesakit yang menerima preskripsi mengikuti aturan pengambilan betul. Cuma sayangnya, kita tiada etika bagi mewajibkan pakar perubatan dan ahli farmasi menerangkan isi kandungan ubatan berkenaan.

“Paling tidak sekalipun, kita mengharapkan diwujudkan satu senarai ubat-ubatan halal atau haram bagi membolehkan pengguna membuat rujukan mengenainya.

“Jika ubatan itu haram, nyatakan juga ubatan halal yang boleh digunakan mereka sebagai alternatif,” katanya.

 



1 comment:

azlyana said...

sejauhmanakah kita boleh mempercayai ubat2 yang diberikan kepada kita oleh pihak hospital dan klinik???....saya rasa memang patut dan merupakan hak pengguna islam untuk mengetahui details terhadap sesuatu ubat..patut ada halal..harap kerajaan dapat lakukan sesuatu....

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...