Showing posts with label SUARA KEADILAN. Show all posts
Showing posts with label SUARA KEADILAN. Show all posts

Wednesday, March 29, 2023

PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH KERAJAAN TAMATKAN MONOPOLI - SUARA KEADILAN - 25/03/2023

 

Keputusan kerajaan menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun hadapan disambut baik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu bukan sahaja dijangka akan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai, malah akan membuka perkhidmatan kepada pihak lain yang berkelayakan yang akhirnya akan mewujudkan budaya persaingan sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.

"Isu yang timbul melibatkan perkhidmatan Puspakom sebenarnya sudah lama, aduan yang diterima daripada orang ramai tidak dipandang serius memandangkan mereka merupakan penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor.

"Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang akan menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik," kata Nadzim dipetik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bermula 1 Sept 2024, Puspakom tidak lagi akan menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Langkah itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Sementara itu, Nadzim turut menyatakan harapan agar langkah membuka perkhidmatan itu kepada syarikat lain turut disusuli dengan penubuhan satu badan pemantau.

Ia bagi mengawal selia perkhidmatan selain menangani aduan membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat yang bakal dilantik kelak.

"Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk kesan semua kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari Puspakom mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan untuk membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Artikel oleh: Suara Keadilan

PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH KERAJAAN TAMATKAN MONOPOLI

https://www.suarakeadilan.my/post/ppim-sambut-baik-langkah-kerajaan-tamatkan-monopoli

Saturday, December 31, 2022

MOHAMAD SABU JAMIN BAWA ISU CPTPP KE KABINET - SUARA KEADILAN - 28/12/2022

 

Enam tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Jaminan itu diberikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu selepas menerima satu memorandum daripada Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad kepadanya hari ini.

Nurfitri hadir ke Wisma Tani di Putrajaya bagi mewakili 54 organisasi yang membantah perjanjian CPTPP yang dimeterai pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

Katanya, perjanjian itu terlalu kompleks dan seumpama jerangkap kepada ekonomi Malaysia yang dibimbangi bakal menyukarkan Kerajaan Perpaduan merangka polisi mesra rakyat.

"Tujuan memorandum ini supaya kementerian menjalankan penilaian dan kajian terperinci kerana sejak perdebatan mengenai CPTPP ini, tiada satu pun pendirian oleh kementerian berkenaan kesan perjanjian kepada hak petani dan industri secara secara keseluruhan," katanya.

Turut hadir bertemu Mohamad Sabu adalah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman.

Pada 5 Oktober lalu,  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP.

MITI dalam satu kenyataan kemudian berkata, selaras dengan keputusan itu kerajaan menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Sementara itu menurut Nurfitri, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan MITI tidak langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan, usahawan sektor pertanian serta pengguna, malah tiada penilaian kesan kepada keterjaminan makanan negara.

"Antara tuntutan kami adalah negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.

"Konvensyen ini bertujuan memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi.

"Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri," katanya.

Beliau juga bimbang kesan perjanjian itu kepada nelayan.

Di bawah perjanjian itu tegasnya, subsidi untuk nelayan boleh disekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap.

"Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan kepada nelayan kecil sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar.

"Tidak ada pengecualian berkenaan hal ini untuk nelayan kecil atau nelayan pantai," katanya.

Beliau juga bimbang perjanjian itu akan memberi kesan kepada petani apabila perlindungan pemasaran ekslusif terhadap agrokimia akan meningkatkan harga racun

"CPTPP memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda.

"Adalah lebih baik supaya petani beralih kepada kaedah pertanian alami, perubahan mendadak dalam harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar dengan lebih awal," katanya lagi.

Artikel oleh: Suara Keadilan

MOHAMAD SABU JAMIN BAWA ISU CPTPP KE KABINET

Thursday, February 3, 2022

PPDM HANTAR MEMORANDUM KE SEMUA PARTI MINTA SELESAI ISU PEMAIN INDUSTRI PENGANGKUTAN DARAT - SUARA KEADILAN - 02/02/2022

 

Menjelang Pilihan Raya Umum ke 15, Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) berharap parti parti politik yang bersaing untuk menerajui Putrajaya akan melihat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemain industri pengangkutan darat sejak sekian lama di negara ini.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar, dua dari kiri) yang merasmikan majlis PPDM di Putrajaya pagi tadi, pemain industri pengangkutan darat merana sekian lama akibat tidak mendapat pembelaan selayaknya oleh kerajaan dan parti parti politik yang mendukung kerajaan.

Sehubungan itu beliau memuji aktivis PPDM, Kamarudin Mohd Hussain (gambar, dua dari kanan) yang bersusah payah mengumpulkan penggiat industri berkenaan untuk dibela dan diperjuangkan nasib mereka sedaya upaya.

"Keadaan kita hari ini cukup sedih kerana pembelaan kepada mereka yang susah memang cukup sukar diperolehi. Saya dapat menghayati, betapa sukar kita nak menjana kehidupan.

"Tak payah cerita permit, 200 300 Grab ke, tak ada. Nak dapat lesen meniaga pun macam nak menangis. Apa masalahnya, beri sahajalah. Macam macam aduan, ada YDP macam ini, ada penguatkuasa macam ini. Hal ini tidak akan berkesudahan kecuali ada inisiatif macam yang dilakukan saudara Kamal.

"Dia datang berjumpa, saya tertarik dengan kesungguhan dia, saya yakin kita di tengah perjalanan. Hari ini tujuan kita menyatakan hasrat pemain industri ini menyerahkan memorandum kepada wakil parti politik di sini untuk menyatakan kita akan akan sokong (dalam pilihan raya) mereka yang membantu kita," katanya.

Justeru Nadzim berkata, tiba masanya pemain industri yang teraniaya berfikir secara lebih matang dan menolak mana mana calon pilihan raya yang dianggap tidak akan membantu jika telah menjadi kerajaan kelak.

"Kita mahu wakil rakyat faham apa yang dilalui rakyat. Rakyat seksa. Kita dengar kenyataan 'kita akan susahkan mereka yang tak ada vaksin'. Kita nak cari orang yang bantu menyenangkan hidup kita, bukan yang menyeksa kita. Siapa yang menyokong Khairi Jamaludin, siapa yang menyokong brother Kamal kita?

"Saya yakin dengan kesungguhan kita. Kita di PPIM ini telah 25 tahun cuba buat sebaik mungkin tetapi kita hanyalah orang biasa. Hari ini kita nak garab sesiapa yang mahu membantu, bukan mengira parti.

"Sudah masanya kita tak boleh terima perangai bohong, sombong, angkuh, bongkak. Dalam PRU akan datang ini sesiapa wakil rakyat atau calon yang angkuh, sombong kita tolak.

"Kita tak mahu diskriminasi. Tolong orang dia sahaja. Saya teruja dengan kesungguhan kumpulan industri darat ini," katanya.

Nadzim juga membawakan cerita beliau pernah membantu seorang wanita berusia 54 tahun yang hanya tinggal 8 bulan untuk menyelesaikan hutang rumah tetapi pihak bank mahu melelong rumah tersebut kerana beliau sakit dan tidak dapat membayar hutang.

Dengan satu panggilan telefon, kata Nadzim, beliau memberitahu wanita itu perlu menunggu beberapa bulan sahaja lagi sebelum wang KWSPnya dikeluarkan dan berupaya membayar kesemua baki hutang, maka bank bersetuju untuk tidak melelong rumahnya.

"Cuba bayangkan apa yang saya buat, satu panggilan telefon boleh menyelamatkan. Kalau YB Fahmi (Ahli Parlimen Lembah Pantai). Kalau Datuk Bandar, kalau Ketua Polis telefon orang sebelah sana, ok ok (masalah selesai). Ini perlu dijadikan budaya kita," katanya.

Beliau berkata, budaya membantu rakyat itu perlu disematkan sebagai sikap utama wakil rakyat. Manakala yang rakyat yang bakal mengundi pula perlu pastikan wakil yang dipilih itu akan menyenangkan hidup mereka, bukan sombong selepas menang.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil dijemput mewakili parti itu untuk menerima memorandum dari PPDM.


Artikel oleh: Suara Keadilan

PPDM HANTAR MEMORANDUM KE SEMUA PARTI MINTA SELESAI ISU PEMAIN INDUSTRI PENGANGKUTAN DARAT

https://www.suarakeadilan.my/post/ppdm-hantar-memorandum-kepada-semua-parti-minta-selesai-isu-pemain-industri-pengangkutan-darat

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL