Showing posts with label PENIPUAN HOTEL MAKKAH. Show all posts
Showing posts with label PENIPUAN HOTEL MAKKAH. Show all posts

Friday, May 26, 2017

3744) DITIPU RAKAN RM130,000 - HARIAN METRO - 26/5/2017

harian metro 26.5.2017.jpg 2
“Dia kawan baik saya. Sudah lama saya kenal, tetapi sebelum ini dia memang tinggal di Makkah lebih 26 tahun. Saya terfikir untuk buat kerja ke jalan syurga dengan dia tetapi tak sangka dia sanggup tipu kawan sendiri.
“Dia balik ke Malaysia pada 2013 dan kami selalu berjumpa di masjid di Subang Jaya dan Shah Alam. Saya lama bercita-cita nak ambil berkat, berniaga di Tanah Suci, jadi saya percaya dia orang paling layak mencapai hasrat itu,” kata Kasiah Md Idris.
Ahli perniagaan itu antara 30 mangsa penipuan tawaran pajakan hotel di Tanah Suci yang ditawarkan rakannya berusia 50-an yang juga bekas kakitangan Tabung Haji.
Kasiah sebelum ini menyifatkan rakannya itu sebagai ahli agama kerana hanya bercakap soal Islam setiap kali berjumpa.
Menurutnya, selain mencari berkat dalam perniagaan, dia juga dijanjikan keuntungan 70 peratus daripada jumlah pelaburan dengan alasan, hotel di Makkah mendapat permintaan tinggi terutama waktu umrah dan musim haji.
Katanya, selepas beberapa kali berjumpa, dia bersetuju melabur RM130,000 dan menunaikan umrah bersama akhir tahun lalu sebelum tembelang rakan kongsinya itu terbongkar.
“Sewaktu di sana, saya diberitahu perniagaan dijalankannya adalah palsu dan hanya untuk mendapatkan wang dengan mudah.
“Saya memang tak sangka. Niat untuk berniaga sambil beribadat di Tanah Suci bertukar menjadi masalah kepada saya. Selain itu, saya mengajak tiga rakan lagi untuk melabur. Kami rugi keseluruhan RM280,000,” katanya yang membuat tiga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Kali terakhir dia menghubungi rakannya itu pada akhir tahun lalu ketika menunaikan umrah.
“Selepas kegiatannya diketahui, dia cuba mempertahankan diri dengan pelbagai alasan kononnya dia menjadi mangsa keadaan dan ada pihak yang tidak senang dengan kejayaannya,” katanya pada sidang media bersama Ketua Unit Kawal Selia Umrah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Abd Halim Ikhsan.
Menurutnya, dia juga dijanjikan pulangan dalam tempoh enam bulan selepas wang diserahkan, namun apabila sampai masanya, tiada sebarang pembayaran dibuat malah wanita itu cuba mengelakkan diri.
Sementara itu, Abd Halim berkata, PPIM meminta orang ramai berhati-hati dengan tawaran pajakan hotel di Tanah Suci terutamanya ketika musim haji tidak lama lagi. Katanya, siasatan mendapati, pakej pajakan hotel di Makkah itu bermula sejak 2005 membabitkan kerugian keseluruhan RM15 juta.
“Sama seperti skim Hotel Makkah sebelum ini, wanita itu menjanjikan keuntungan sambil beribadat di Makkah menyebabkan ramai yang terpedaya.
“Kita nasihatkan orang ramai tidak terpedaya kerana siasatan kami mendapati memang ia satu penipuan. Setakat ini PPIM menerima 30 aduan mangsa wanita berkenaan dan saya mohon pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

3743) HATI-HATI DENGAN PENIPUAN PAJAK HOTEL - SINAR HARIAN - 26/5/2017

                    sinar harian 26.5.2017
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati untuk terlibat dalam perniagaan atau pelaburan di Arab Saudi berikutan pelbagai penipuan telah dilaporkan. Ketua Unit Pembangunan Sosialnya, Abd Halim Ikhsan berkata, menjalankan perniagaan atau pelaburan di negara itu bukanlah perkara mudah malah ramai pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan penipuan. “Kes terbaharu yang kita terima adalah penipuan pajak hotel di Makkah di mana kita menerima 30 aduan sejak dua bulan lalu. Daripada jumlah itu, empat mangsa tampil hari ini (semalam) dengan kerugian sebanyak RM280,000. “Kesemua mangsa mendakwa ditipu oleh seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang dikenali sebagai Syarifah yang kita percaya dia masih lagi aktif melakukan penipuan di dalam negara mahupun di Makkah,” katanya pada sidang media, hari ini. Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, pihaknya difahamkan Syarifah telah melakukan penipuan tersebut sejak 2005 sehingga melibatkan kerugian sejumlah lebih RM14,000,000. “Sejak 2005 kami difahamkan banyak laporan polis telah dibuat mengenainya tapi agak pelik apabila wanita ini masih mampu bergerak bebas dan mencari mangsa-mangsa baharu. Sekarang pun kita tidak tahu di mana wanita itu berada. “Kami juga dimaklumkan bahawa pihak berkuasa di Makkah juga telah pun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Namun wanita itu berjaya melarikan diri kembali ke negara ini,” katanya. Sementara itu, seorang mangsa, Kasiah Md Idris berkata, dirinya tidak menyangka menjadi mangsa penipuan memandangkan Syarifah adalah teman baiknya sendiri. “Saya mula rapat dengannya sejak 2016 dan pertengahan tahun yang sama dia ada mempelawa saya untuk menjadi rakan kongsi perniagaan pajak hotel. “Sebelum ini saya memang berhasrat untuk memiliki perniagaan di Mekah dan atas dasar percaya, saya bersetuju dan mengajak rakan lain untuk turut membuat pelaburan,” katanya. Kasiah berkata, pelbagai tawaran dijanjikan oleh wanita itu untuk menarik mangsa membuat pelaburan. “Sebagai pelabur, kami ditawarkan keuntungan tanpa riba sebanyak 70 peratus selepas enam bulan pelaburan dibuat. Namun sehingga hari ini kami tidak menerima sebarang berita mengenai pelaburan tersebut. “Saya sendiri memang tidak terfikir akan ditipu memandangkan dia seorang yang selalu bercakap tentang agama. Saya amat berharap dia akan diambil tindakan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsanya,” katanya yang memberitahu telah membuat laporan sebanyak tiga kali di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam sejak Januari lalu.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL