Showing posts with label KEMATIAN PELAJAR. Show all posts
Showing posts with label KEMATIAN PELAJAR. Show all posts

Wednesday, August 13, 2025

'SYAMSUL HARIS SERING DIEJEK, DIPROVOKASI' - IBU KADET PALAPES - HARIAN METRO - 12/08/2025

 

Kuala Lumpur: Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, seringkali diejek dan diprovokasi dengan panggilan nama tertentu.

Mendedahkan perkara itu, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa ada pihak tertentu yang melakukan provokasi terhadap anaknya.

"Dia (arwah) pernah memberitahu saya ada beberapa individu yang tidak berpuas hati dengannya, perkara itu dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada saya.

"Tetapi saya maklumkan kepadanya jika kamu minat (PALAPES) kamu perlu hadapi. Ada orang panggil dia nama lain sedangkan nama dia Haris," katanya pada sidang media bagi menuntut keadilan Syamsul Haris di sini, hari ini.

Ummu Haiman Bee Daulatgun pada sidang media kematian anaknya. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor.

Ummu turut mendakwa anaknya tidak mempunyai penyakit sawan seperti yang dimaklumkan oleh pihak PALAPES.

"Anak saya tidak pernah ada sawan atau penyakit serius lain, jika ada hanya selsema dan demam sahaja.

"Naluri seorang ibu memang mengatakan anak saya bukan meninggal akibat sawan namun ada sesuatu yang berlaku," katanya.

Menurutnya, lebih menghairankan apabila kadet PALAPES yang hadir ketika pengebumian itu dilarang untuk mendekati keluarga.

"Ketika kami cuba tanya, mereka cepat-cepat masuk ke dalam kumpulan, ada yang hanya menjawab dia tidak tahu serta tidak nampak apa yang berlaku.

"Saya juga sedih kerana tidak ada rakan-rakan dari UTM datang untuk menziarahi kami sekeluarga, seolah-olah mereka ini dikunci mulut oleh pihak berkepentingan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ummu menuntut siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya ketika menjalani latihan di PALAPES UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor, dengan sebab kematian belum jelas.

Katanya, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu menjalani bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor, mendapati kecederaan teruk pada tubuh yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian berpunca daripada sawan.

Artikel oleh: Harian Metro

'SYAMSUL HARIS SERING DIEJEK, DIPROVOKASI' - IBU KADET PALAPES

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/08/1251440/syamsul-haris-sering-diejek-diprovokasi-ibu-kadet-palapes?source=widget

KES KEMATIAN SYAMSUL HARIS: IBU MOHON KUBUR ANAK DIGALI SEMULA - BERITA ALHIJRAH - 12/08/2025

 

Sumber: Berita Alhijrah

KES KEMATIAN SYAMSUL HARIS: IBU MOHON KUBUR ANAK DIGALI SEMULA



KEMATIAN PELATIH PALAPES: IBU PERSOAL PERCANGGAHAN MAKLUMAT KEMATIAN - BULETIN TV3 - 12/08/2025

 

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, mendakwa maklumat awal yang diterima berhubung waktu kematian anaknya bercanggah.

Ia didakwa berlaku susulan maklumat kematian yang diberikan oleh jurulatih tidak selari dengan rekod yang dicatatkan di kaunter pendaftaran Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Menurut Ummu Haiman Bee Daulatgun, panggilan kedua yang diterima daripada jurulatih pada kira-kira jam 4.30 petang, 28 Julai lalu, memaklumkan anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital terbabit.

“Pada 28 haribulan, jam 4.04 petang, saya terima panggilan daripada jurulatih yang memaklumkan anak saya dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi kerana baru selesai latihan menembak.

“Dia kemudian meracau dan sawan sehingga hilang pertimbangan. Panggilan kedua pada jam 4.30 petang memaklumkan anak saya meninggal dunia.

“Dalam tempoh masa yang singkat itu, saya rasa tidak puas hati kerana anak saya sudah berada dalam keadaan kritikal baru dibawa ke hospital,” katanya.

Ummu berkata, dia kemudian pergi ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk bertanya jam berapa anaknya dibawa ke hospital.

“Amat mengejutkan apabila saya diberitahu anak saya dibawa dalam keadaan ‘Brought in Dead’ (BID) pada jam 6.23 petang,” katanya.

Lebih menghairankan, waktu kematian anaknya didakwa sekali lagi berubah pada borang pendaftaran.

“Ketika diminta mengisi borang, terdapat waktu kematian anak saya yang dicatatkan pada jam 3.50 petang. Justeru, maklumat awal yang diterima amat bercanggah dan menimbulkan keraguan,” katanya pada sidang akhbar bagi menuntut keadilan kematian Syamsul Haris di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, sebelum ini Syamsul Haris pernah memaklumkan dirinya diprovokasi oleh pihak yang tidak berpuas hati dengannya, malah pernah memberitahu ada pihak memanggilnya ‘Gopal’.

Allahyarham juga tidak pernah menghidap sebarang penyakit, termasuk sawan, sepanjang hidupnya.

Malah, ketika pengebumian, rakan Allahyarham dilihat enggan mengulas mengenai kejadian itu.

Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor.

Hasil bedah siasatan awal bagaimanapun mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes itu.

Sehubungan itu, Ummu menuntut supaya bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula, berikutan beberapa perkara yang meragukan, termasuk pendarahan serta kesan lebam di beberapa bahagian badan jenazah.

Artikel oleh: Buletin TV3

KEMATIAN PELATIH PALAPES: IBU PERSOAL PERCANGGAHAN MAKLUMAT KEMATIAN

https://www.buletintv3.my/nasional/kematian-pelatih-palapes-ibu-persoal-percanggahan-maklumat-kematian/?fbclid=IwY2xjawMI0hRleHRuA2FlbQIxMQBicmlkETFSaUJiTjdwZVdaYjR5WlZuAR61N-nU-xV8icfE4B8tFmlmUE6HXyEn6ctkcf51_7p2K9u_jVujuV0uu1FjGg_aem_jrOQg9fwvDC0VVaOv_6b9Q

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL