Showing posts with label HALFEST JAKIM 2019. Show all posts
Showing posts with label HALFEST JAKIM 2019. Show all posts

Wednesday, July 31, 2019

5116) HALFEST JAKIM 2019 SASAR JUALAN RM70 JUTA - UTUSAN MALAYSIA - 29/07/2019



PUTRAJAYA 29 Julai - Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2019 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pameran halal terbesar dalam negara, menyasarkan jualan sebanyak RM70 juta dan kedatangan pengunjung antara 80,000 hingga 90,000 orang.
Halfest Jakim 2019 akan berlangsung di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan pada 4 hingga 8 September depan.
Buat kali pertama Halfest Jakim dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta beberapa Kementerian, dengan Shapers Malaysia Sdn. Bhd. sebagai sekretariat.
Halfest 2019 dijangka menerima penyertaan lebih 450 usahawan yang bakal memenuhi lebih 500 ruang pameran. Ia bakal dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, selain aktiviti jual beli produk halal, komponen khas Halfest Jakim 2019 ialah Karnival Perbankan Islam, Takaful, Pelaburan dan Fintech sebagai pelengkap kepada inisiatif promosi industri halal negara.
Beliau berkata, objektifnya ialah untuk memberi pendedahan mengenai produk kewangan Islam dan takaful kepada para pengunjung dan usahawan.
“Sesi suai niaga (business matching) turut diadakan untuk menemukan usahawan dengan pembeli, pemborong, pengeksport dan peruncit dari serata Malaysia.
“Sesi ini sangat penting kerana ia membuka peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja di kawasan produk mereka beroperasi malahan ke seluruh negara,” katanya ketika melancarkan Halfest Jakim 2019 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Khadir.
Mujahid berkata, Halfest Jakim merupakan satu inisiatif rahmah yang menonjolkan usahasama Jakim dan MAIWP dalam mengetengahkan usahawan dalam golongan asnaf (asnafpreneur) serta mempromosikan budaya halal bukan sahaja dalam kalangan usahawan atau bukan Islam dengan memberikan pendedahan lebih terperinci mengenai produk-produk dan perkhidmatan pensijilan halal.
“Halfest Jakim boleh dilihat sebagai medan terbaik untuk penyatuan ummah tidak kira bangsa dan agama,” katanya.
Dalam pada itu katanya, satu jawatankuasa bagi mendigitalkan pentadbiran Islam dijangka dibentuk dalam usaha memastikan Malaysia terus menerajui industri halal di peringkat global.
Jelas Mujahid, perkara itu masih diperingkat rancangan dan penubuhannya dijangka diumumkan pada tahun depan. - UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia 
HALFEST JAKIM 2019 SASAR JUALAN RM70 JUTA

5114) HALFEST JAKIM 2019 SASAR NILAI JUALAN RM70 JUTA - KOSMO - 29/07/2019


PUTRAJAYA - Halal Fiesta Malaysia (Halfest) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2019 (Halfest Jakim 2019) yang berlangsung di Pusat Pameran Mines (Miecc), Seri Kembangan pada 4 hingga 8 September depan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM70 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, sasaran jualan itu merupakan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding penganjuran Halfest pada tahun lalu.
Jelasnya, selain itu, Halfest Jakim 2019 juga dijangka mampu menarik seramai 80,000 hingga 90,000 pengunjung dalam tempoh lima hari penganjuran ekspo tersebut.
“Inisiatif rahmah yang dijalankan oleh Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui ekspo ini memberi manfaat kepada masyarakat dengan menjelaskan tentang kepentingan halal kepada semua rakyat.
“Penganjuran ekspo ini dilihat mampu menyokong usaha pihak kerajaan dalam membangunkan Dasar Halal Negara yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Halal Malaysia ke-4 baru-baru ini yang menjadi rujukan kepada pemegang taruh di pelbagai agensi terhadap isi berkaitan halal,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Halfest Jakim 2019 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Abd. Khadir dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Halfest Jakim 2019 dijangka akan menerima penyertaan lebih 450 usahawan yang bakal memenuhi lebih 500 ruang pameran untuk menyajikan pelbagai produk halal berkualiti tinggi kepada pengunjung.
Antara sektor yang diketengahkan sepanjang Halfest Jakim 2019 antaranya makanan,minuman, perbankan islam,takaful, pelaburan patuh syariah, pembungkusan makanan halal, katering, perkhidmatan status halal dan badan keusahawanan.
Ekspo itu dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 5 September depan.
Dalam pada itu, menurut Mujahid, ekspo itu juga berupaya menjadi pusat untuk Jakim dan MAIWP merealisasikan agenda pembangunan ummah berasaslan model Malaysia secara menyeluruh dan menyokong penyertaan usahawan pelapis daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Apabila idea Halfest Jakim 2019 dikemukakan kepada kami, saya berasa amat gembira kerana Jakim dan MAIWP boleh menggunakan seluruh kekuatan dalam pelbagai aspek untuk membantu usaha meningkatkan syiar islam terutamanya dalam aspek halal.
“Ia selaras dengan matlamat kepimpinan kerajaan baharu yang mahukan Islam dilihat secara secara universal serta holistik selain medan terbaik untuk penyatuan ummah tidak kira bangsa dan agama,” katanya. - K! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo
HALFEST JAKIM 2019 SASAR NILAI JUALAN RM70 JUTA

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL