Showing posts with label ANTI BULLY CENTRE. Show all posts
Showing posts with label ANTI BULLY CENTRE. Show all posts

Tuesday, May 5, 2026

BERSAMA HENTIKAN BULI | ANTI BULLY CENTRE (ABC) - PPIM - 04/05/2026

*RINGKASAN ANTI BULLY CENTRE (ABC)*

*1. Berdasarkan Kenyataan Media (Press Release)*

• Tajuk: PPIM Sahut Titah Yang di-Pertuan Agong: Penubuhan Anti Bully Centre (ABC) Sebagai Gerakan Nasional Menentang Krisis Buli.

• Kandungan Utama:

o Menyahut Seruan Diraja: PPIM berdiri teguh menyokong titah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahukan kempen anti buli dilaksanakan secara menyeluruh bagi membendung gejala ini sejak peringkat sekolah rendah.

o Misi ABC: Berperanan sebagai sekretariat rasmi dan pusat rujukan nasional untuk membanteras amalan buli yang kini dianggap sebagai krisis sosial nasional.

o Tujuan Utama: Mengembalikan hak dan maruah mangsa dengan bijaksana serta membina budaya hormat, empati, dan kasih sayang.

o Komitmen Kerajaan: Menyokong langkah tegas kerajaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025.

*2. Lembaran Fakta ABC*

• Definisi Isu: Buli adalah tingkah laku agresif yang merosakkan aspek emosi, mental, jasmani, dan spiritual mangsa.

• Peranan Utama ABC:

o Pusat rujukan nasional bagi usaha membanteras buli.

o Menyediakan sokongan mangsa dan intervensi awal melalui kaunseling dan talian hotline.

o Menjalankan pendidikan, advokasi komuniti, serta penyelidikan dan dokumentasi kes buli.

• Pendekatan Menyeluruh: Melibatkan kerjasama strategik antara kementerian (KPM, KKM, KPWKM), agensi (PDRM), NGO, dan sektor swasta.

*3. Pelan Tindakan Strategik*

ABC dirangka melalui pelan tindakan empat fasa yang menyeluruh:

1. Penubuhan & Persediaan: Membentuk pasukan projek nasional dan menyediakan struktur tadbir urus serta portal rasmi.

2. Pelancaran & Kesedaran: Melancarkan kempen nasional "Stop Bullying Now" dan menganjurkan program advokasi di sekolah serta komuniti.

3. Pemantapan Kapasiti: Membina pakatan strategik dan menjalankan latihan jurulatih utama (master trainers).

4. Penilaian & Pengukuhan: Menjalankan kajian impak nasional dan membina Rangkaian Nasional Sokongan Anti-Buli.

*4. Maklumat Perhubungan & Sokongan*

• Alamat Pejabat: Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Unit Komersil 33D-3-1, Tingkat 3, Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur atau No. 70X, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

• Hotline Aduan: 013-611 6666.

• Laman Web: www.ppim.org.my.

• Media Sosial: fb@ppimstrike/ fb@PPIMOfficial

________________________________________

Slogan Kempen:

"Bersama Hentikan Buli. Bersama Pulihkan Hati."

Wednesday, September 24, 2025

PPIM BONGKAR KES BULI - MALAYSIA GAZETTE - 23/09/2025

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bergambar bersama keluarga dan mangsa buli selepas sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Mangsa yang merupakan pelajar sekolah menengah meluahkan perasaannya melalui lukisan selepas menjadi mangsa buli di sekolah ketika sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Ibu mangsa, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31 menunjukkan lukisan anaknya yang kemurungan selepas menjadi mangsa buli di sekolah ketika sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Mangsa meluahkan perasaannya melalui lukisan selepas menjadi mangsa buli di sekolah ketika sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM DESAK PERKETAT GARIS PANDUAN TANGANI BULI - BERITA HARIAN - 23/09/2025

 

KUALA LUMPUR: Garis panduan menangani kes buli mesti diperketat dengan budaya itu mesti diharamkan sepenuhnya daripada berlaku di sekolah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun ada garis panduan pengurusan buli di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), namun ia dilihat tidak berkesan dengan kes sedemikian sebaliknya semakin menjadi-jadi dan terus bertambah.

"Letakkan satu garis panduan yang tegas iaitu haramkan terus perkara ini daripada berlaku di sekolah.

"Ketika ini kita tak nampak satu tindakan jelas daripada KPM, sedangkan Menteri Pendidikan misalnya melalui 'executive order' boleh arahkan, misalnya letakkan kes buli ini sebagai jenayah.

"Sekarang ini dah beratus, malah mungkin puluhan ribu budak yang kena buli, nak tunggu apa lagi? Kita juga minta Perdana Menteri arahkanlah (tindakan lebih proaktif atasi buli di sekolah), sebab perkara ini dah terlalu meruncing," katanya pada sidang media khas berkaitan kes buli membabitkan tiga pelajar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan 'you touch, you go' diambil Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menangani kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) wajar dipertimbangkan kerajaan dalam usaha menangani kes buli di sekolah secara menyeluruh.

"Satu cadangan saya, ambillah tindakan seperti MRSM buat, tunjukkanlah keseriusan dalam tangani isu ini.

"Selain itu, dalam garis panduan KPM, perlu ada galakan untuk menggalakkan sukarelawan yang bersama-sama menjadi mata dan telinga (bagi mengesan kes buli di sekolah) dan menjadi antara pihak yang menyumbang kepada perubahan ini.

"Ia dah berlarutan dan PPIM sendiri terima banyak aduan buli, takkan kita nak biarkan, malah ramai yang tak berani ke depan. Ini adalah manifesti kegagalan di sekolah. Sekarang ini kes buli bukan hanya berlaku disebabkan perbuatan pelajar, ada aduan kaitkan guru juga membuli.

"Ini akan merosakkan masyarakat, apa lagi bila ada budak yang dibuli ini dia balas balik, buli semula orang yang melakukan perbuatan itu kepadanya," katanya.

Beliau turut menyarankan mana-mana individu yang menjadi mangsa buli supaya membuat aduan melalui Anti Bully Centre (ABC) yang dilancarkan PPIM.

Katanya, pusat itu diwujudkan bagi memberi ruang kepada mangsa atau saksi kejadian buli membuat laporan tanpa rasa takut, selain menjadi saluran cadangan bagi membendung perbuatan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan buli boleh menghubungi talian 013-611 6666.

Artikel oleh: Berita Harian

PPIM DESAK PERKETAT GARIS PANDUAN TANGANI BULI

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/09/1449502/ppim-desak-perketat-garis-panduan-tangani-buli

PELAJAR DIBULI LUKIS MAKHLUK ANEH, KELAR TANGAN DI SEKOLAH - HARIAN METRO - 23/09/2025

 

Kuala Lumpur: "Dia lukis gambar menyerupai makhluk aneh yang ngeri dan menyeramkan, ketika itu baru saya tahu dia rupa-rupanya kemurungan, malah dia turut kelar tangan di sekolah ketika tiada murid lain dalam kelas."

Itu luahan Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, ibu kepada seorang murid perempuan Tingkatan Dua yang mendakwa anaknya dibuli rakan sekelas di sebuah sekolah menengah harian di Hulu Langat.

Nurul Afeeza yang juga ibu tunggal berkata, anaknya dibuli seawal hari kedua berpindah ke sekolah terbabit pada Julai lalu.

"Saya tak tahu pun dia dibuli, dia tak pernah berkongsi cuma banyak berkurung dalam bilik.

"Saya perasan dia banyak asingkan diri, saya hanya tahu dia rupa-rupanya murung akibat dibuli sebelum cuti sekolah, itu pun bila adiknya beritahu kakak lukis gambar mengerikan.

"Jadi saya cuba tanya, dia beritahu tertekan, selalu kena ejek di sekolah sebab giginya agak ke depan (jongang), dia juga dipulaukan rakan-rakan dan perbuatan (mengejek) itu berlaku berhari-hari," katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.

Nurul Afeeza turut kesal kerana mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu terbabit.

Katanya, beliau sudah berjumpa dengan guru kaunseling dan guru disiplin, namun tindakan buli terhadap anaknya masih berlarutan.

"Saya mengadu kepada guru disiplin yang ada murid tarik rambutnya dan ejek, kejadian ini baru lagi, 12 September lalu. Saya juga maklumkan anak saya lukis gambar yang mengerikan, malangnya cikgu seperti tak ambil serius.

"Cikgu cuma beritahu minta anak saya pergi sekolah tapi tak dibenarkan jumpa murid (yang buli) disebabkan ada SOP, sedangkan anak saya dibuli sebegini, tak ada pula ikut SOP, sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima," katanya.

Adik perempuan sebulan tak ke sekolah, trauma dipukul dan disepak

Sementara itu, kakak kepada seorang lagi mangsa buli berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Wan Norasyirah, 24, berkata adik perempuannya itu sudah sebulan tidak ke sekolah kerana trauma selepas dipukul dan disepak pelaku yang juga pelajar perempuan.

Katanya, adiknya mengadu tudung ditarik, muka dipukul dengan tumbler kaca dan disepak di bahagian belakang badan.

"Saya dan keluarga belum sempat buat laporan polis kerana adik baru beritahu insiden dibuli di sekolah, lama dia pendam seorang. Nak gali cerita daripada dia sangat susah sebab dia tak nak berkongsi.

"Bila maklumkan pada cikgu yang dia disepak terajang, adik maklumkan cikgu memihak kepada si pembuli dan dia langsung tak diberikan peluang untuk membela diri.

"Malah, dalam keadaan sekarang adik saya yang dah sebulan tak hadir sekolah, tak ada cikgu yang mencari atau cuba hubungi kami. Bila kami tanya sekolah, mereka hanya maklumkan sepatutnya ibu bapa yang beritahu sekolah (jika tak hadir)," katanya.

Mereka rahsiakan, minta anak saya tandatangan surat tak berlaku buli di sekolah

Sementara itu, bapa kepada seorang pelajar Tingkatan Tiga di Cheras, Mohd Izham Zakri Mohd Desa kecewa kerana aduan dibuatnya di sekolah mengenai kes anaknya ditampar rakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, anaknya turut menghadapi kes buli fizikal dan buli siber membabitkan beberapa guru di sekolah.

"Anak saya aktif dalam sukan malah mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak hingga ke peringkat negeri. Apa yang saya kesalkan, cikgu tahu anak saya dibuli dari 2023 sampai sekarang tapi saya tak diberitahu.

"Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa.

"Malah, ada guru pula yang buat laporan polis ke atas saya, kononnya saya campur tangan hal sekolah," katanya yang memberitahu sudah membuat laporan polis dan melalui SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam).

Katanya, beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan anaknya terus menjadi mangsa buli dalam kalangan guru dan pelajar di sekolah.

Artikel oleh: Harian Metro

PELAJAR DIBULI LUKIS MAKHLUK ANEH, KELAR TANGAN DI SEKOLAH

https://www.hmetro.com.my/utama/2025/09/1267235/pelajar-dibuli-lukis-makhluk-aneh-kelar-tangan-di-sekolah

BULI MESTI DITEGAH SEPENUHNYA DI SEKOLAH - PPIM - HARIAN METRO - 23/09/2025


Kuala Lumpur: Garis panduan buli mesti diperketat dengan budaya itu mesti diharamkan sepenuhnya daripada berlaku di sekolah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun ada garis panduan pengurusan buli di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), namun ia dilihat tidak berkesan dengan kes sedemikian sebaliknya semakin menjadi-jadi dan terus bertambah.

"Letakkan satu garis panduan yang tegas iaitu haramkan terus perkara ini daripada berlaku di sekolah.

"Ketika ini kita tak nampak satu tindakan jelas daripada KPM, sedangkan Menteri Pendidikan misalnya melalui executive order boleh arahkan, misalnya letakkan kes buli ini sebagai jenayah.

"Sekarang ini dah beratus, malah mungkin puluhan ribu budak yang kena buli, nak tunggu apa lagi? Kita juga minta Perdana Menteri, arahkanlah (tindakan lebih proaktif atasi buli di sekolah), sebab perkara ini dah terlalu meruncing," katanya dalam sidang media khas berkaitan kes buli membabitkan tiga pelajar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan you touch, you go diambil Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menangani kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) wajar dipertimbangkan kerajaan dalam usaha menangani kes buli di sekolah secara menyeluruh.

"Satu cadangan saya, ambillah tindakan seperti MRSM buat, tunjukkanlah keseriusan dalam tangani isu ini.

"Selain itu, dalam garis panduan KPM, perlu ada galakan untuk menggalakkan sukarelawan yang bersama-sama menjadi mata dan telinga (bagi mengesan kes buli di sekolah) dan menjadi antara pihak yang menyumbang kepada perubahan ini.

"Ia dah berlarutan dan PPIM sendiri terima banyak aduan buli, takkan kita nak biarkan, malah ramai yang tak berani ke depan. Ini adalah manifesti kegagalan di sekolah. Sekarang ini kes buli bukan hanya berlaku disebabkan perbuatan pelajar, ada aduan kaitkan guru juga membuli.

"Ini akan merosakkan masyarakat, apa lagi bila ada budak yang dibuli ini dia balas balik, buli semula orang yang melakukan perbuatan itu kepadanya," katanya.

Beliau turut menyarankan mana-mana individu yang menjadi mangsa buli supaya membuat aduan melalui Anti Bully Centre (ABC) yang dilancarkan PPIM.

Katanya, pusat itu diwujudkan bagi memberi ruang kepada mangsa atau saksi kejadian buli membuat laporan tanpa rasa takut, selain menjadi saluran cadangan bagi membendung perbuatan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan buli boleh menghubungi talian 013-611 6666.

Artikel oleh: Harian Metro

BULI MESTI DITEGAH SEPENUHNYA DI SEKOLAH - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/09/1267229/buli-mesti-ditegah-sepenuhnya-di-sekolah-ppim

MURID TRAUMA JADI MANGSA BULI HINGGA KEMURUNGAN, CEDERAKAN DIRI - KOSMO - 23/09/2025

 

KUALA LUMPUR – Seorang murid perempuan berusia 14 tahun didakwa mengalami tekanan emosi serius termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri selepas berulang kali menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor.

Menurut ibunya, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, anaknya pernah beberapa kali menceritakan kejadian dibuli sejak berpindah ke sekolah itu iaitu pada Julai lalu, namun masalah tersebut tidak pernah selesai walaupun aduan telah dibuat kepada pihak sekolah.

Suri rumah itu berkata, anaknya dibuli oleh beberapa pelajar sama seawal hari kedua memasuki sekolah tersebut selepas anaknya berpindah dari sebuah sekolah di Kedah.

“Dia beritahu saya pernah diejek serta dipulaukan oleh beberapa rakan. Saya sudah maklumkan kepada guru disiplin, tetapi kes ini tetap berulang.

“Kemuncaknya berlaku pada Jumaat, 12 September lalu sebelum cuti sekolah, apabila dia sekali lagi diejek dan diganggu. Saya mula perasan keadaannya semakin teruk apabila dia duduk terperap dalam bilik dan melukis gambar pelik-pelik,” katanya ketika sidang akhbar di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Tambah Nurul Afeeza, lukisan anaknya termasuk imej gelap dan simbol tekanan yang memberi isyarat kemurungan, malah ada yang menggambarkan idea untuk menamatkan hidup.

“Saya terkejut bila dia tulis ‘saya stress, penat dan serabut’. Dia mengaku rasa berserabut kerana hari-hari kena ejek dan dipulaukan. Saya tak sangka buli ini sampai tahap anak saya nak cederakan diri.

“Tapi, perkara ini tidak terhenti di situ apabila anak saya seorang lagi memaklumkan kepada saya bahawa anak saya ini telah menoreh tangannya dan bila saya periksa memang ada beberapa kesan torehan di pergelangan tangan kiri,” katanya.

Katanya, pihak PPIM telah membantu remaja tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan pakar psikaiatri dan pemeriksaan mendapati murid terbabit menunjukkan skor emosi yang sangat tinggi serta simptom kemurungan berisiko ke arah cubaan bunuh diri tahap satu.

Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah memaklumkan, pakar turut mengesahkan mangsa berdepan buli secara berterusan, termasuk ejekan verbal, fitnah, dan pengasingan sosial yang memberi kesan mendalam kepada mentalnya.

Sementara itu, turut mengalami nasib sama ialah pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Mantin, Negeri Sembilan yang turut menjadi mangsa buli hingga menyebabkan dia berasa takut untuk hadir ke sekolah.

Kakak mangsa, Siti Wan Norasyirah, 24, berkata, adiknya mengalami trauma teruk selepas menjadi mangsa buli sehingga dipukul dengan botol kaca di muka serta ditarik tudung.

“Kejadian berlaku pada 20 Ogos lalu ketika waktu rehat kokurikulum selepas berlaku perselisihan faham kecil.

“Pembuli menuduh adik saya cuba merampas kawan dan teman lelakinya. Disebabkan hal remeh itu, adik saya ditendang di bahagian belakang, tudungnya ditarik sampai nampak rambut dan leher, sebelum wajahnya dipukul menggunakan botol air kaca,” katanya.

Lebih mengejutkan, katanya, pihak sekolah hanya menyelesaikan kes tersebut di bilik kaunseling dengan meminta pembuli memohon maaf, tanpa memaklumkan kepada ibu bapa atau pengetua sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

MURID TRAUMA JADI MANGSA BULI HINGGA KEMURUNGAN, CEDERAKAN DIRI

https://www.kosmo.com.my/2025/09/23/murid-trauma-jadi-mangsa-buli-hingga-kemurungan-cederakan-diri/

PPIM TUBUH ANTI BULLY CENTER, TAWAR SOKONGAN MANGSA BULI - KOSMO - 23/09/2025

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengumumkan penubuhan Anti Bully Center (ABC) sebagai pusat sokongan komuniti bagi menangani kes buli yang semakin membimbangkan di sekolah.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, pusat tersebut akan berfungsi sebagai ruang selamat untuk mangsa tampil mendapatkan bantuan, berkongsi pengalaman, selain menganjurkan seminar dan forum bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Kita percaya, kalau bersama-sama bersungguh-sungguh, kita mampu mencari jalan penyelesaian.

“ABC diwujudkan kerana buli tidak boleh dibiarkan wujud lagi di sekolah, kolej atau universiti. Ia perlu dihentikan segera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Nadzim turut mendedahkan pihaknya menerima pelbagai aduan melibatkan pelajar, termasuk tiga kes yang berlaku di sekolah berbeza dalam tempoh beberapa hari lalu.

“Kami amat serius mahu menghentikan gejala buli ini supaya tidak berlaku lagi kepada anak-anak atau ahli keluarga kita.

“Kerana kita tahu, kes-kes buli ini walau berpunca daripada perkara kecil, implikasinya sangat besar,” katanya.

Sementara itu, Panel Penasihat PPIM, Prof Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sebenarnya telah menyediakan garis panduan serta manual anti-buli, namun kelemahan berlaku di peringkat pelaksanaan di sekolah.

“Perancangan di atas kertas sudah lengkap, tetapi apa yang membuatkan rasa terkilan ialah di peringkat sekolah itu ada yang pelaksanannya tidak seperti mana yang tertulis di dalam arahan dan juga pekeliling.

“Akhirnya mangsa terus menderita dan pembuli terus bebas,” katanya.

Justeru itu katanya, pihaknya berharap penubuhan ABC akan menjadi titik tolak kepada gerakan masyarakat yang lebih besar untuk memastikan isu buli tidak lagi berulang, demi keselamatan dan masa depan anak-anak. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

PPIM TUBUH ANTI BULLY CENTER, TAWAR SOKONGAN MANGSA BULI

https://www.kosmo.com.my/2025/09/23/ppim-tubuh-anti-bully-center-tawar-sokongan-mangsa-buli/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL