PETALING JAYA: Langkah kerajaan menghalang pembantu rumah bukan Islam bekerja di rumah orang Islam mendapat sokongan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tetapi ditentang MCA yang tidak setuju agama dan bangsa menjadi pertimbangan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata langkah Jabatan Imigresen itu bagi mengawal amalan keluarga Islam.
“Contohnya kalau ambil pekerja bukan Islam macam orang Filipina, bila dia masuk ke rumah orang bukan Islam dia mungkin tak dapat mendidik anak orang Islam dalam amalan Islam itu sendiri,” kata Nadzim kepada FMT.
Bagaimanapun, MCA mengingatkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali supaya tidak sewenang-wenang memperkenalkan dan menguat kuasakan peraturan.
Pengerusi biro keharmonian agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker memberitahu FMT, peraturan yang berlandaskan agama dan kaum boleh menjurus kepada diskriminasi malah akan hanya menyusahkan orang ramai.
“Perlu konsisten dan jelas niat dan tujuan (sesuatu peraturan) demi kebaikan negara dan kebajikan semua,” katanya, yang menambah Malaysia sudah pun sarat dengan pelbagai dasar atas nama agama dan kaum.
Terdahulu, pelbagai pihak mempertikaikan peraturan Jabatan Imigresen yang enggan membenarkan pembantu rumah bukan Islam bekerja di rumah orang Islam.
Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) berkata dasar itu hanya menafikan pembantu rumah untuk majikan beragama Islam di kala kekurangan dalam sektor tersebut.
Ia menganggap peraturan itu tidak rasional dan mahu penjelasan Jabatan Imigresen.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/15/halang-pembantu-rumah-bukan-islam-ppim-sokong-mca-tentang/
No comments:
Post a Comment